Ruang Berita / Kenyataan Media / Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) lantik Ketua Pegawai Operasi

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) lantik Ketua Pegawai Operasi

23 Mac, 2016

Kuala Lumpur – 23 Mac 2016 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), sebuah badan bebas di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015, hari ini mengumumkan pelantikan Azmir Zain sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) Suruhanjaya berkuat kuasa 1 April 2016. Azmir pada masa ini adalah Pengarah Pelaburan di Khazanah Nasional Berhad, dan memiliki pengalaman lebih 15 tahun di bidang perancangan strategik, kewangan dan pelaburan, serta industri penerbangan.

Sebagai COO, Azmir akan merangka dan memacu arah tuju strategik Suruhanjaya dalam lingkungan Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015, serta akan menerajui pasukan pengurusan dalam pembangunan industri dan usaha-usaha kawal selia.

“Saya yakin bahawa pengalaman dan kepakaran Azmir akan memberi manfaat besar kepada Suruhanjaya semasa tempoh awal penubuhannya ketika kita berusaha membina sebuah organisasi yang akan bersedia untuk melaksanakan peranannya  sebagaimana digariskan di dalam Akta,’’ kata Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Y. Bhg. Jen. (B) Tan Sri Dato’ Sri Abdullah bin Ahmad.

Azmir memiliki Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Oxford dan MBA dari INSEAD. Beliau juga merupakan Akauntan Bertauliah Bersekutu daripada Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales dan turut merupakan anggota Institut Akauntan Malaysia.