Ruang Berita / Kenyataan Media / DCA keluarkan arahan penggantungan sementara terhadap Rayani Air dan MAVCOM akan menilai kedudukan komersialnya

DCA keluarkan arahan penggantungan sementara terhadap Rayani Air dan MAVCOM akan menilai kedudukan komersialnya

11 Apr, 2016

Kuala Lumpur – 11 April 2016 – Jabatan Penerbangan Awam (DCA) hari ini mengeluarkan arahan penggantungan sementara terhadap Rayani Air, Sijil Pengendali Udara (AOC) No. 54 berkuatkuasa serta-merta. Penggantungan itu adalah selaras dengan Peraturan 87(1), Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 1996.

DCA akan melaksanakan audit pentadbiran penuh dan keselamatan terhadap operasi Rayani Air, bagi menilai pematuhannya terhadap AOC. Dalam hal ini, Rayani Air akan diminta untuk mengemukakan kesnya sebelum DCA mengambil sebarang keputusan berhubung status AOC mereka.

Sebelum perintah penggantungan sementara itu, DCA telah mengeluarkan dua surat amaran terhadap Rayani Air ekoran ketidakpatuhan mereka terhadap peraturan-peraturan semasa serta prestasi perkhidmatan yang di tahap tidak memuaskan. Namun, di sebalik amaran berkali-kali, Rayani Air tetap melanggar syarat-syarat AOC mereka.

Jika syarikat penerbangan tersebut berhasrat untuk menghentikan operasi, mereka hendaklah mengemukakan notis 6 bulan kepada DCA. Mengikut peraturan, hanya DCA sahaja yang berkuasa untuk menggantung syarikat penerbangan.

Dengan penggantungan sementara AOC Rayani Air, MAVCOM yang kini mengawal selia Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) akan melaksanakan penilaian terhadap kedudukan dan keupayaan komersial Rayani Air bagi menentukan keupayaan syarikat itu untuk terus kekal sebagai pemegang ASL.

DCA, Kementerian Pengangkutan dan MAVCOM juga sedang bekerjasama dengan semua pihak berkaitan untuk membantu menyelesaikan aduan-aduan pengguna.