Ruang Berita / Kenyataan Media / DCA keluarkan arahan penggantungan sementara terhadap Rayani Air dan MAVCOM akan menilai kedudukan komersialnya

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Rayani Air

25 Mei, 2016

Kuala Lumpur, 25 Mei 2016: Ekoran arahan penggantungan sementara Sijil Pengendali Udara (AOC) terhadap Rayani Air oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) pada 11 April 2016, pihak Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah membuat penilaian terhadap daya tahan kewangan serta daya saing syarikat tersebut bagi menentukan keupayaannya untuk terus memegang Lesen Perkhidmatan Udara (ASL).

Hasil daripada penilaian tersebut, MAVCOM hari ini telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Rayani Air. Syarikat penerbangan tersebut dikehendaki untuk membuat representasi secara bertulis kepada MAVCOM dalam tempoh 14 hari sebelum sebarang keputusan berhubung status ASL mereka ditentukan.

Susulan daripada penubuhan MAVCOM pada 1 Mac 2016, perkara-perkara yang berkaitan dengan urusan untuk meminda, menggantung dan membatal ASL kini terletak di bawah bidang kuasa MAVCOM. Bagi membolehkan Rayani Air menjalankan operasi dan perniagaan pengangkutan udara untuk membawa penumpang dan kargo, syarikat tersebut memerlukan kedua-dua ASL dan AOC. Sekiranya ASL tersebut dibatalkan oleh MAVCOM, syarikat penerbangan tersebut tidak dibenarkan untuk menjalankan operasi perniagaan pengangkutan udara secara komersil di Malaysia.

Sementara itu, semua pengguna dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang tempahan yang berkaitan dengan urusan penerbangan penumpang dan kargo dengan syarikat penerbangan tersebut bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

Pihak MAVCOM juga sedang bekerjasama dengan semua pihak berkaitan untuk membantu menyelesaikan aduan-aduan pengguna.