Ruang Berita / Kenyataan Media / Suruhanjaya Penerbangan Malaysia membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara Rayani Air

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara Rayani Air

13 Jun, 2016

Kuala Lumpur, 13 Jun 2016: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (“MAVCOM” atau “Suruhanjaya”) telah membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) Rayani Air berkuatkuasa pada hari ini.

MAVCOM telah mendapati bahawa Rayani Air telah melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan pada ASL tersebut serta mempunyai kedudukan kewangan dan komersial yang lemah untuk terus beroperasi sebagai sebuah syarikat penerbangan komersial. Oleh yang demikian, Rayani Air tidak lagi dibenarkan untuk beroperasi sebagai sebuah syarikat penerbangan komersial berkuatkuasa pada hari ini.

MAVCOM telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada pihak Rayani Air pada 25 Mei 2016 susulan daripada hasil penilaian Suruhanjaya terhadap daya tahan kewangan serta daya saing syarikat tersebut bagi menentukan keupayaannya untuk terus beroperasi sebagai pemegang ASL. Dalam surat tunjuk sebab tersebut, Rayani Air dikehendaki untuk membuat representasi secara bertulis kepada MAVCOM dalam tempoh 14 hari sebelum sebarang keputusan berhubung ASL mereka dimuktamadkan.

Rayani Air telah menyerahkan representasi secara bertulis pada hari terakhir dalam tempoh yang ditetapkan oleh Suruhanjaya ini. MAVCOM telah meneliti representasi bertulis tersebut dan mendapati bahawa Rayani Air telah gagal untuk mengemukakan penjelasan yang memuaskan. Oleh yang demikian MAVCOM telah menghantar surat pembatalan ASL kepada syarikat penerbangan tersebut pada hari ini.

Pengguna perkhidmatan Rayani Air

Rayani Air masih bertanggungjawab untuk memulangkan wang kepada para pengguna perkhidmatan mereka. Para pengguna yang telah membeli tiket dengan Rayani Air tetapi tidak dapat meneruskan perjalanan mereka boleh membuat aduan dan mengemukakan borang tuntutan untuk proses pemulangan wang. Sekiranya pengguna gagal mendapat pulangan wang, para pengguna boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat penerbangan tersebut berdasarkan undang-undang sedia ada.

Sebagai alternatif, para pengguna yang terjejas dengan pembatalan ASL ini boleh membuat aduan dengan MAVCOM. MAVCOM telah diperuntukkan oleh undang-undang untuk mendengar dan membuat keputusan terhadap aduan tersebut bagi melindungi hak-hak pengguna yang sah. MAVCOM turut diberi  kuasa untuk memohon agar keputusan yang telah dibuat olehnya didaftarkan sebagai keputusan Mahkamah Tinggi. 

Harapan pihak MAVCOM

Sebagai badan pengawalseliaan ekonomi bebas yang ditubuhkan berdasar Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771), matlamat MAVCOM adalah untuk menjadikan industri penerbangan awam di Malaysia berdaya maju dari segi komersial, berorientasikan pengguna dan berdaya tahan, agar dapat menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

“Kejadian seperti ini merupakan peringatan bahawa pengendalian syarikat penerbangan komersial berjadual adalah sangat mencabar dan memerlukan tahap perancangan yang tinggi, pengetahuan kewangan yang mendalam, juga pengetahuan operasi dan keupayaan pelaksanaan untuk berjaya. Ini terutamanya disebabkan keadaan industri penerbangan awam yang sangat kompetitif. Oleh itu, asas komersil yang kukuh merupakan prasyarat penting untuk mana-mana penggiat industri penerbangan awam. Justeru, MAVCOM akan terus berusaha untuk memastikan hanya perusahaan yang bersedia dan lengkap dengan asas-asas ini dibenarkan untuk beroperasi,” kata YBhg. Gen. Tan Sri Dato’ Sri Abdullah Ahmad RMAF (R), Pengerusi Eksekutif, MAVCOM.

MAVCOM, yang mula beroperasi dari 1 Mac 2016 bertanggungjawab terhadap hal-hal yang berkaitan dengan pelesenan syarikat penerbangan, caj lapangan terbang, peruntukan laluan udara, penyelesaian pertikaian di antara penyedia perkhidmatan penerbangan dan perlindungan pengguna, antara lain.

“MAVCOM berhasrat untuk melindungi integriti dan reputasi industri penerbangan awam Malaysia dan akan bekerjasama erat dengan pihak berkepentingan untuk mewujudkan industri penerbangan yang memberi impak, mampan serta memberi manfaat kepada penumpang udara dan penggiat industri,” kata Abdullah.