Ruang Berita / Kenyataan Media / Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia diperkenalkan untuk pengguna di Malaysia

Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia diperkenalkan untuk pengguna di Malaysia

18 Jul, 2016

Kuala Lumpur – 18 Julai 2016 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (“MAVCOM”), sebuah badan bebas yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (“Akta”), hari ini mengumumkan penguatkuasaaan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (“MACPC” atau “Kod”).

Kod tersebut yang julung kali dikuatkuasakan di Malaysia merupakan hasil daripada perbincangan di pelbagai peringkat, telah digubal dengan mengambilkira kepentingan pengguna dan turut diselaraskan dengan garis panduan sedia ada di peringkat antarabangsa termasuk Konvensyen Montreal 1999 dan International Civil Aviation Organization (ICAO)’s Core Principles on Consumer Protection.

“Bagi pengguna, setiap kali mereka menggunakan perkhidmatan pengangkutan udara sama ada di Malaysia atau dari Malaysia, hak mereka jelas termaktub dalam undang-undang tempatan. Hak tersebut turut meliputi semua urusan mereka yang berkaitan dengan pihak syarikat penerbangan, lapangan terbang serta pembekal perkhidmatan penerbangan yang lain, termasuklah syarikat penerbangan asing yang beroperasi ke dan dari Malaysia”, menurut Pushpalatha Subramaniam, Pengarah Hal Ehwal Pengguna, MAVCOM.

“Objektif utama MAVCOM seperti yang terkandung di dalam Akta ini adalah untuk melindungi hak dan kepentingan pengguna. Para pengguna adalah penting bagi kami dan adalah menjadi sebahagian daripada misi kami untuk mewujudkan industri penerbangan yang berorientasikan pengguna. Susulan kepada usahakami untuk memperjuangkan hak pengguna, kami akan bekerjasama secara rapat dengan semua pihak yang berkaitan termasuklah pihak syarikat penerbangan dan lapangan terbang bagi memastikan hak pengguna akan sentiasa dilindungi dan dipertingkatkan,” tambah Pushpalatha semasa pelancaran MACPC di Kuala Lumpur hari ini.

Penetapan had minimum perkhidmatan dan standard seperti yang termaktub di dalam Kod tersebut akan memanfaatkan pengguna secara langsung. Sebagai contoh, salah satu ciri utama Kod tersebut adalah di mana semua syarikat penerbangan kini diwajibkan untuk menyelesaikan aduan pengguna dalam tempoh 30 hari dari tarikh aduan diterima. Lanjutan daripada itu, Kod tersebut juga memberikan perlindungan tambahan kepada pengguna yang merangkumi pampasan dan perlindungan yang disebabkan oleh penundaan penerbangan bagi tempoh melebihi dua jam, pembatalan penerbangan dan kehilangan atau kerosakan bagasi. Kod tersebut juga turut mewujudkan garis panduan yang lebih jelas serta telus berhubung dengan hak pengguna serta kaedah bagaimana pengguna dapat menuntut hak mereka khususnya berkaitan dengan perubahan jadual penerbangan, harga tiket, bagasi dan lain-lain perkara.

Bagi memastikan Kod tersebut dapat dikuatkuasakan dengan lancar, MAVCOM telah mewujudkan Consumer Management System bermula 5 Mei 2016. Sekiranya para pengguna tidak berpuas hati dengan maklumbalas yang telah diberikan oleh syarikat penerbangan atau lapangan terbang kepada aduan yang telah dibuat, pengguna kini boleh merujuk aduan tersebut kepada MAVCOM melalui sistem ini yang boleh diakses melalui laman web MAVCOM www.mavcom.my. Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat lengkap berkenaan Kod ini di laman web tersebut.

MAVCOM telah memulakan operasinya pada 1 Mac 2016 dan fungsi utamanya adalah untuk mengawal selia sektor ekonomi dan komersial yang berkaitan dengan industri penerbangan awam negara. Tanggungjawab MAVCOM selain daripada mewujudkan mekanisma perlindungan pengguna adalah untuk mengeluarkan lesen bagi aktiviti komersial industri ini yang merangkumi lesen bagi perkhidmatan penerbangan, pengendalian darat serta penetapan caj-caj lapangan terbang dan pembahagian hak trafik penerbangan udara.