Ruang Berita / Kenyataan Media / Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) memulakan siasatan terhadap Suasa Airlines Sdn Bhd dan seterusnya membuat laporan polis terhadap Monspace Sky Airlines

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) memulakan siasatan terhadap Suasa Airlines Sdn Bhd dan seterusnya membuat laporan polis terhadap Monspace Sky Airlines

25 Jul, 2016

Kuala Lumpur, 25 Julai 2016: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (“MAVCOM”) mengumumkan bahawa ia akan mula menjalankan siasatan terhadap Suasa Airlines Sdn Bhd (“Suasa Airlines”) dan seterusnya membuat laporan polis terhadap Monspace Sky Airlines.

Sejak penubuhan MAVCOM pada 1 Mac 2016, perkara-perkara berkaitan pengeluaran, penggantungan dan pembatalan Lesen Perkhidmatan Udara (“ASL”) dan Permit Perkhidmatan Udara (“ASP”) terletak di bawah salah satu bidang kuasa Suruhanjaya ini.

Sehingga hari ini, Suasa Airlines tidak mempunyai ASP yang sah dan oleh yang demikian, syarikat penerbangan tersebut tidak dibenarkan untuk membuat sebarang operasi penerbangan komersial.

Mana-mana entiti yang ingin menjalankan operasi sebagai syarikat penerbangan komersial, perlu mempunyai ASP dan Sijil Operator Udara (“AOC”).

Suasa Airlines telah memfailkan permohonan kepada pihak MAVCOM untuk mengendalikan operasi penerbangan komersial dari Kuala Lumpur ke Langkawi pada 22 Julai 2016, dan permohonan mereka tersebut telah ditolak oleh Suruhanjaya ini. Namun begitu, Suasa Airlines didapati telah mengendalikan penerbangan secara “penerbangan demonstrasi” pada hari yang sama dan isu ini sedang disiasati oleh pihak MAVCOM.

Pada masa yang sama, MAVCOM juga akan membuat laporan polis terhadap Monspace Sky Airlines yang telah mengelirukan pihak awam. Berdasarkan bukti yang terkumpul setakat ini, MAVCOM mendapati bahawa Monspace Sky Airlines memasarkan syarikat mereka sebagai sebuah syarikat penerbangan komersial walaupun tidak mempunyai ASL atau ASP.

Menurut Seksyen 36 dalam Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771), “tiada seorang pun boleh mengusahakan untuk membawa melalui udara atau menggunakan mana-mana pesawat udara bagi membawa penumpang, mel atau kargo untuk sewa atau upah dalam perjalanan tidak berjadual di antara dua tempat atau lebih yang sekurang-kurangnya satu daripada tempat itu berada di Malaysia kecuali di bawah dan mengikut suatu permit perkhidmatan udara yang diberikan oleh Suruhanjaya”.

MAVCOM ingin menegaskan kepentingan untuk mana-mana syarikat penerbangan yang ingin beroperasi dalam industri penerbangan untuk mematuhi undang-undang dan perutusan industri.

MAVCOM juga ingin menasihati para pengguna untuk tidak membuat sebarang tempahan penerbangan dengan Suasa Airlines dan Monspace Sky Airlines untuk mengelak sebarang kesulitan dalam urusan penerbangan.