Ruang Berita / Pengumuman / Khidmat Nasihat: MAVCOM menggesa pelanggan Rayani Air untuk mendapatkan bayaran balik sebelum 13 Oktober 2016

Khidmat Nasihat: MAVCOM menggesa pelanggan Rayani Air untuk mendapatkan bayaran balik sebelum 13 Oktober 2016

29 Sep, 2016

Kuala Lumpur, 28 September 2016: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (“MAVCOM” atau “Suruhanjaya”) ingin menggesa pelanggan Rayani Air yang masih belum membuat permohonan bayaran balik untuk berbuat demikian dengan pihak bank yang telah mengeluarkan kad kredit atau debit mereka sebelum 13 Oktober 2016.

Pada 26 Ogos 2016, Suruhanjaya telah menasihati pelanggan Rayani Air yang telah membuat pembelian menggunakan kad kredit atau debit tetapi tidak dapat meneruskan penerbangan berikutan pembatalan operasi Rayani Air, untuk membuat permohonan bayaran balik dengan pihak bank yang telah mengeluarkan kad kredit atau debit mereka bagi kemungkinan mendapatkan bayaran balik.

MAVCOM telah berhubung dengan Bank Negara Malaysia dan pihak-pihak lain yang berkaitan untuk mengenalpasti langkah-langkah terbaik bagi menangani masalah kerugian pelanggan Rayani Air. Di dalam hubungan ini, MAVCOM difahamkan bahawa segelintir pelanggan telahpun berjaya mendapatkan bayaran balik mereka.

Proses bayaran balik adalah melibatkan urusan di antara pelanggan yang terjejas dan bank berkaitan. Oleh yang demikian, semua pertanyaan berhubung perkara ini hendaklah diajukan secara terus kepada pihak bank yang telah mengeluarkan kad kredit atau debit tersebut di bawah kategori “servis yang diterima” atau dalam kategori yang sama. Pelanggan juga mungkin perlu mengemukakan dokumen-dokumen yang berkaitan kepada bank tersebut bagi proses bayaran balik. Bank yang mengeluarkan kad kredit/debit tersebut boleh mengambil masa di antara 90 hingga 120 hari untuk memproses suatu bayaran balik.

Khidmat nasihat ini merupakan susulan dari nasihat pertama Suruhanjaya dan merupakan notifikasi bagi pelanggan Rayani Air yang terjejas untuk menghubungi bank yang mengeluarkan kad kredit/debit masing-masing sebelum 13 Oktober 2016. Walau bagaimanapun, jika para pelanggan menghadapi kesukaran berhubung dengan bank berkaitan, mereka boleh menghubungi Suruhanjaya di www.mavcom.my atau 03-2772 0677 dari Isnin ke Jumaat, 9AM hingga 5PM (tidak termasuk hujung minggu dan cuti umum).