Ruang Berita / Kenyataan Media / MAVCOM Umum Pindaan kepada Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC)

MAVCOM Umum Pindaan kepada Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC)

31 Okt, 2016

MAVCOM Umum Pindaan kepada Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC)
Semakan termasuk pengenalan kategori PSC baharu yang lebih rendah untuk penerbangan ke semua destinasi ASEAN

Rumusan:

  • PSC dikurangkan daripada RM65 kepada RM35 untuk penerbangan ke mana-mana destinasi ASEAN
  • Pindaan berperingkat ke arah kesamarataan kadar PSC di KLIA dan klia2
  • PSC Malaysia antara yang terendah di rantau Asia dan global
  • Pembentukan rangka kerja untuk meningkatkan tahap perkhidmatan lapangan terbang

Kuala Lumpur, 31 Oktober 2016: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (“MAVCOM”) hari ini mengumumkan pindaan kepada Caj Pekhidmatan Penumpang (“PSC”) yang akan dikenakan di semua lapangan terbang di Malaysia. Ciri-ciri utama pindaan terhadap kadar PSC baharu ini adalah:

  1. Pengenalan kepada kategori baharu PSC yang lebih rendah untuk penerbangan ke negara-negara ASEAN dari lapangan-lapangan terbang utama di Malaysia, menjadikan Malaysia negara ASEAN pertama yang memperkenalkan kategori sedemikian.
  2. Kadar PSC yang sama rata di KLIA dan klia2 untuk menggalakkan persaingan, yang akan diperkenalkan secara berperingkat dengan:
    • kesamarataan segera PSC bagi penerbangan domestik dan ASEAN;
    • pengurangan kepada perbezaan PSC antarabangsa (selain ASEAN) di KLIA dan klia2; dan
    • penyemakan PSC yang akan dilakukan pada tahun 2017 untuk penyamarataan kadar PSC yang lengkap;
  3. Pindaan kadar domestik dan antarabangsa untuk semua lapangan terbang; dan
  4. Kadar PSC di Malaysia kekal antara yang terendah di Asia dan antarabangsa

Kadar yang dipinda ini bakal dikuatkuasakan pada 1 Januari 2017 dan akan dikenakan hanya kepada tiket yang dikeluarkan pada dan selepas tarikh tersebut. Tiket yang dikeluarkan sebelum 1 Januari 2017 tidak dikenakan kadar baharu tersebut walaupun tarikh penerbangan dijadualkan pada atau selepas 1 Januari 2017.

Jadual 1 di bawah menjelaskan kadar PSC semasa dan baharu. Bagi mengelakkan keraguan, kadar di bawah adalah termasuk Caj Perkhidmatan Keselamatan Penumpang:

Jadual 1: PSC semasa dan baharu

PSC Semasa (RM)PSC Baharu, bermula 1 Januari 2017 (RM)

Domestik

ASEANAntarabangsaDomestikASEANJarak Jauh

KLIA

965651135

73

klia2

632321135

50

Lain-lain lapangan terbang965 /26*651135

73

Sumber: MAVCOM

* Kadar istimewa untuk perlepasan dari semua lapangan terbang domestik kecuali KLIA, klia2, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching, Langkawi dan Johor Bahru ke destinasi ASEAN atau ke BIMP-EAGA dan IMT-GT.

Suruhanjaya ini mengambil maklum bahawa Malaysia Airports Holdings Berhad (“MAHB”) tidak mengenakan caj PSC di semua STOLport di Sabah dan Sarawak untuk penerbangan Perkhidmatan Udara Luar Bandar yang menghubungkan kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak.

PSC, yang merupakan suatu caj aeronautikal yang terdapat di dalam Warta di bawah Peraturan-Peraturan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Caj Perkhidmatan Penerbangan) 2016, dikenakan ke atas penumpang yang berlepas bagi laluan domestik dan antarabangsa dari semua lapangan terbang dalam negara. PSC dikumpul oleh syarikat penerbangan semasa pembelian tiket dan dibayar kepada pengendali lapangan terbang selepas penerbangan. Penumpang yang tidak meneruskan penerbangan setelah membeli tiket mereka, layak mendapat bayaran balik PSC sepenuhnya. Sebelum penubuhan MAVCOM, kadar PSC telah didaftarkan di bawah Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 1996. Kali terakhir PSC disemak adalah pada 15 September 2011.

(1) Pengenalan kategori PSC ASEAN yang lebih rendah – hampir separuh daripada kadar sebelumnya

MAVCOM memperkenalkan kategori PSC baharu yang lebih rendah untuk penerbangan ke negara-negara ASEAN dari semua lapangan terbang utama Malaysia. Kategori baharu PSC ke destinasi ASEAN adalah RM35 dan merupakan pengurangan sebanyak RM30 daripada kadar PSC semasa iaitu RM65 bagi setiap penumpang.

Kadar RM35 ini bermaksud penerbangan ke destinasi ASEAN adalah lebih murah. Kategori baharu untuk ASEAN ini ditetapkan di antara kadar baharu PSC iaitu RM11 untuk penerbangan domestik; dan RM73 dan RM50 untuk penerbangan antarabangsa dari semua lapangan terbang (kecuali klia2) dan klia2.

Sebelum semakan ini, kadar PSC ke destinasi ASEAN dari KLIA, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching, Langkawi dan Johor Bahru adalah RM65, setaraf dengan kadar PSC bagi penerbangan ke semua destinasi antarabangsa.

Malaysia merupakan negara pertama di ASEAN yang memperkenalkan kategori PSC ASEAN dan pengenalan ini dijangka akan meningkatkan pergerakan trafik keluar dan masuk dari negara-negara ASEAN.

Seterusnya meningkatkan hubungan antara rantau ASEAN dan kumpulan sub-serantau yang akan memberi manfaat kepada semua negara ASEAN melalui perdagangan yang dipertingkatkan, pelaburan, pelancongan dan pembangunan.

Pengenalan kategori PSC ASEAN juga boleh meningkatkan peluang pembukaan gerbang kedua di ASEAN dan seterusnya meningkatkan aliran masuk trafik ke Malaysia.

Ini juga selaras dengan ASEAN Single Aviation Market (ASEAN-SAM) atau yang juga dikenali sebagai Perjanjian ASEAN Open Sky, yang merupakan dasar penerbangan utama di rantau ini. ASEAN-SAM menjurus ke arah pembangunan pasaran penerbangan yang bersatu dan tunggal di kalangan ahli-ahli ASEAN di Asia Tenggara.

(2) Pindaan berperingkat ke arah kesamarataan kadar PSC di KLIA dan klia2

Sejak permulaan operasinya pada Mei 2014, kadar PSC klia2 adalah lebih rendah daripada semua lapangan terbang lain di Malaysia kerana ia mengguna pakai kadar PSC LCCT KLIA, yang telahpun berhenti beroperasi sebagai terminal lapangan terbang ekoran kekangan kapasiti. Memandangkan perkhidmatan, kemudahan dan infrastruktur di klia2 adalah lebih setanding dengan KLIA berbanding LCCT, Suruhanjaya ini berpendapat bahawa kesinambungan kadar PSC yang lebih rendah pada klia2 memberikan kelebihan harga yang tidak adil bagi mana-mana syarikat penerbangan yang beroperasi di klia2.

Di samping itu, penerusan kesinambungan daripada kadar PSC yang berbeza di kedua-dua terminal boleh menimbulkan risiko yang mana penumpang di KLIA memberi subsidi kepada penumpang di klia2. Oleh itu, adalah wajar untuk menyamaratakan kadar PSC di antara kedua-dua terminal.

MAVCOM, yang berpegang kepada prinsip persaingan yang adil, mengambil langkah-langkah awal untuk menyamaratakan kadar PSC di KLIA dan klia2 sepenuhnya, walaupun secara berperingkat. Selaras dengan langkah-langkah ini, MAVCOM akan:

  • menyamaratakan PSC di KLIA dan klia2 untuk kategori domestik dan ASEAN – di mana, PSC di kedua-dua terminal dipinda kepada RM11 bagi penerbangan domestik dan RM35 bagi penerbangan ASEAN yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2017;
  • mengurangkan perbezaan PSC antarabangsa (selain ASEAN) di KLIA dan klia2 – kadar PSC untuk penerbangan antarabangsa (kecuali ASEAN) di KLIA dan klia2 semasa adalah RM65 dan RM32, hendaklah dipinda kepada RM73 dan RM50, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2017; dan
  • melaksanakan semakan PSC dalam masa setahun bertujuan untuk menyamaratakan kadar PSC di KLIA dan klia2 untuk penerbangan antarabangsa (selain ASEAN)

MAVCOM juga berpendapat bahawa dalam jangka masa panjang, penyamarataan kadar PSC akan menggalakkan budaya persaingan yang sihat antara syarikat-syarikat penerbangan yang beroperasi di kedua-dua terminal. Penyamarataan kadar PSC di KLIA dan klia2 juga membolehkan Malaysia menjadi lebih sejajar dengan garis panduan antarabangsa, termasuk prinsip Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (“ICAO”) bagi penentuan harga tanpa diskriminasi di lapangan terbang.

(3) PSC Malaysia antara yang terendah di rantau Asia dan antarabangsa

Dalam merumuskan kadar PSC untuk lapangan terbang di Malaysia, MAVCOM juga mengambil kira kadar PSC sedia ada di lapangan terbang lain di seluruh rantau ini dan juga di peringkat global. Selepas struktur sedia ada dipinda, MAVCOM mengambil maklum bahawa caj lapangan terbang penumpang di Malaysia kekal antara yang paling rendah di peringkat serantau dan di peringkat global.

Jadual 2 di bawah menunjukkan perbandingan antara kadar semasa PSC Malaysia, kadar PSC baharu dan kadar PSC serta caj-caj kerajaan di lapangan terbang lain di Asia dan Timur Tengah untuk penerbangan ke destinasi antarabangsa. Perbandingan ini menunjukkan bahawa kategori PSC baharu bagi ASEAN untuk lapangan terbang di Malaysia adalah yang paling rendah di kalangan lapangan terbang di Asia, kecuali Jogjakarta. Kadar PSC yang disemak semula untuk destinasi antarabangsa yang lain dari semua lapangan terbang Malaysia juga kekal berdaya saing, dan kekal lebih rendah berbanding dengan lapangan terbang Asia yang lain seperti Changi (Singapura), Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi (Bangkok), Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang (Bangkok) dan lapangan terbang antarabangsa di Manila, Yangon, Phnom Penh, Delhi, Mumbai, Beijing, Shanghai, Hong Kong, Incheon, Tokyo, Osaka dan Dubai.

Jadual 2: Jumlah kos kepada penumpang antarabangsa yang berlepas dari KLIA dan klia2 – Perbandingan Serantau

international-passengers-flying-out-of-klia-and-klia2

Sumber: Analisis MAVCOM

*Kadar PSC di Malaysia tidak termasuk GST

Jadual 3 menunjukkan perbandingan antara PSC semasa Malaysia, PSC baharu dan kadar PSC termasuk caj-caj kerajaan di lapangan terbang lain di Asia dan Timur Tengah, untuk penerbangan ke destinasi domestik. Suruhanjaya ini mengambil maklum bahawa PSC baharu untuk perjalanan domestik di Malaysia adalah yang paling rendah di Asia, dengan pengecualian, Hanoi dan Ho Chi Minh City.

Jadual 3: Jumlah kos kepada penumpang domestik yang berlepas dari KLIA dan klia2 – Perbandingan Serantau.

domestic-passengers-flying-out-of-klia-and-klia2

Sumber: Analisis MAVCOM

*Kadar PSC di Malaysia tidak termasuk GST

(4) Pembentukan rangka kerja untuk meningkatkan tahap perkhidmatan lapangan terbang

Selain kadar PSC baharu, Suruhanjaya ini akan memperkenalkan langkah-langkah untuk memastikan pengendali lapangan terbang kekal komited dan bertanggungjawab untuk meningkatkan tahap perkhidmatan lapangan terbang dan kecekapan kewangan, untuk manfaat semua pengguna perkhidmatan pengangkutan udara di Malaysia. Selaras dengan objektif ini, MAVCOM kini sedang membentukkan satu rangka kerja yang menghubungkan pendapatan penerbangan kepada tahap kepuasan pelanggan dan pihak-pihak berkepentingan. Rangka kerja ini akan diperkenalkan pada tahun 2017.

Struktur PSC baharu yang akan menggalakkan penerbangan Malaysia dan perkembangan negara dalam jangka panjang

Suruhanjaya ini yang mana objektifnya adalah termasuk menggalakkan pembangunan ekonomi yang berterusan bagi industri penerbangan Malaysia – termasuklah syarikat-syarikat penerbangan dan lapangan terbang – menyedari bahawa pendapatan yang dijana oleh pengendali lapangan terbang di Malaysia melalui PSC akan digunakan ke arah operasi, penyelenggaraan dan pembangunan lapangan terbang negara – untuk manfaat semua pengguna perkhidmatan pengangkutan udara di Malaysia.

Dengan ini, MAVCOM telah menjalankan kajian yang menyeluruh mengenai PSC dan membawa Malaysia lebih hampir ke arah penerapan amalan antarabangsa yang baik bagi peraturan caj lapangan terbang, manakala pada masa yang sama memastikan kadar PSC Malaysia kekal antara yang paling rendah di rantau ini. Di samping itu, Suruhanjaya ini juga telah bekerjasama dengan pihak berkepentingan yang berkaitan sepanjang tempoh kajian.

“Sejak ditubuhkan pada Mac 2016, kami telah mula membuat persiapan untuk mengubah industri penerbangan awam di Malaysia. Suruhanjaya ini telah juga memperkenalkan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) dan telah melaksanakan proses permohonan pelesenan komersial yang lebih ketat bagi syarikat-syarikat penerbangan di Malaysia.

“Kami memberi tumpuan kepada hasil jangka panjang yang mampan. Usaha kami dengan kajian semula PSC adalah bertujuan untuk melindungi kepentingan pengguna, menggalakkan persaingan yang adil dan memastikan pengendali lapangan terbang terus meningkatkan tahap perkhidmatan mereka. Pada masa yang sama, Suruhanjaya ini akan terus berusaha untuk menjaga hak-hak pengguna perkhidmatan udara melalui MACPC,” kata Y. Bhg. Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Abdullah Ahmad TUDM (R), Pengerusi Eksekutif MAVCOM.

Lampiran:

Kod Lapangan Terbang Antarabangsa pdf