Ruang Berita / Kenyataan Media / Suruhanjaya Penerbangan Malaysia membatalkan Permit Penerbangan Udara Eaglexpress

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia membatalkan Permit Penerbangan Udara Eaglexpress

20 Dis, 2016

Kuala Lumpur, 20 Disember 2016: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (“MAVCOM”) membatalkan Permit Perkhidmatan Udara (“ASP”) Eaglexpress Air Charter Sdn. Bhd. pada hari ini.

Dengan pembatalan ASP ini, Eaglexpress adalah dilarang untuk membawa melalui udara atau menggunakan mana-mana pesawat bagi membawa penumpang, mel atau kargo untuk sewa atau upah dalam perjalanan tidak berjadual sama ada di laluan domestik atau antara bangsa. Jika syarikat penerbangan tersebut terus menjalankan perkhidmatan sedemikian,  ianya merupakan suatu kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771]. ASP Eaglexpress  adalah dibatalkan berkuat kuasa 21 Disember 2016.

MAVCOM telah pada 30 Ogos 2016, memberikan Eaglexpress suatu ASP bagi tempoh 12 bulan (bermula dari 1 September 2016 sehingga 31 Ogos 2017) berserta syarat-syarat tertentu yang perlu dipatuhi oleh syarikat penerbangan tersebut dalam tempoh masa seperti yang telah ditetapkan oleh MAVCOM. Namun demikian, Eaglexpress telah gagal untuk mematuhi syarat-syarat tersebut.

Pada 1 Disember 2016, MAVCOM telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Eaglexpress, untuk memberikan peluang kepada syarikat penerbangan tersebut untuk memberikan representasi secara bertulis.

Eaglexpress telah pun menyerahkan kepada MAVCOM suatu representasi bertulis pada 14 Disember 2016. Walau bagaimanapun, setelah meneliti representasi bertulis tersebut, MAVCOM mendapati bahawa Eaglexpress telah gagal untuk mengemukakan penjelasan yang memuaskan dan oleh yang demikian, MAVCOM telah memutuskan untuk membatalkan ASP milik Eaglexpress. Syarikat penerbangan tersebut telah gagal untuk memberikan bukti yang cukup untuk meyakinkan MAVCOM bahawa ia akan dapat menyelesaikan semua isu berbangkit dan dapat mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan MAVCOM.

Sebagai  pengawal selia perkara ekonomi yang bebas seperti yang ditubuhkan  menurut Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015, matlamat MAVCOM adalah untuk menjadikan industri penerbangan awam di Malaysia berdaya maju dari segi komersial, berorientasikan pengguna dan berdaya tahan, agar dapat menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

“Kejadian terbaru melibatkan Eaglexpress dan sebelum ini, Rayani Air, seharusnya menjadi peringatan kepada bakal pengusaha serta pengusaha sedia ada bahawa pengendalian syarikat penerbangan komersial (sama ada bagi perjalanan berjadual atau tidak berjadual) adalah sangat mencabar dan memerlukan perancangan rapi, pengetahuan mendalam mengenai hal kewangan pengetahuan berkenaan perkara-perkara operasi serta kemampuan pelaksanaan untuk berjaya.

“MAVCOM ingin menegaskan bahawa asas komersial yang kukuh dan mendalam merupakan prasyarat penting untuk mana-mana pengusaha industri penerbangan awam – sama ada untuk pemegang ASP atau Lesen Perkhidmatan Udara (“ASL”). MAVCOM akan terus berusaha untuk memastikan hanya perusahaan yang bersedia dan memiliki asas-asas ini dibenarkan untuk beroperasi,” kata YBhg. Jen. Tan Sri Dato’ Sri Abdullah Ahmad RMAF (R), Pengerusi Eksekutif, MAVCOM.

MAVCOM yang mula beroperasi dari 1 Mac 2016 antara lain, bertanggungjawab terhadap hal-hal yang berkaitan dengan pelesenan syarikat penerbangan, caj lapangan terbang, peruntukan laluan udara, penyelesaian pertikaian di antara penyedia perkhidmatan penerbangan dan perlindungan pengguna.