Ruang Berita / Kenyataan Media / Suasa Airlines mengaku salah berikutan siasatan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia

Suasa Airlines mengaku salah berikutan siasatan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia

9 Jan, 2017

Kuala Lumpur, 9 Januari 2017:  Suasa Airlines Sdn Bhd (“Suasa Airlines”) telah mengaku salah di Mahkamah Sesyen Sepang pada hari ini bagi kesalahan beroperasi tanpa Permit Perkhidmatan Udara (“ASP”) yang sah dan telah dikenakan denda sebanyak RM380,000.

Suasa Airlines telah mengaku salah (untuk kesalahan di bawah seksyen 36 Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771]) kerana membawa penumpang untuk sewa atau upah dalam perjalanan tidak berjadual di antara Kuala Lumpur dan Langkawi tanpa ASP yang sah.

Perkara-perkara berkaitan pengeluaran, penggantungan dan pembatalan Lesen Perkhidmatan Udara (“ASL”) dan ASP adalah di bawah bidang kuasa MAVCOM sejak penubuhannya pada 1 Mac 2016. Syarikat-syarikat penerbangan yang tidak mempunyai ASL atau ASP yang sah adalah tidak dibenarkan untuk membuat sebarang operasi perkhidmatan udara komersial di Malaysia. Bagi membolehkan suatu entiti menjalankan operasi sebagai syarikat penerbangan komersial, entiti tersebut perlu mempunyai kedua- dua ASL atau ASP yang dikeluarkan oleh MAVCOM dan Perakuan Pengendali Udara (“AOC”) yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerbangan Awam Malaysia.

Pada 22 Julai 2016, MAVCOM telah menolak permohonan Suasa Airlines untuk mengendalikan suatu penerbangan komersial tidak berjadual dari Kuala Lumpur ke Langkawi kerana syarikat penerbangan tersebut tidak memiliki ASP yang sah. Namun begitu, pada hari yang sama, Suasa Airlines masih mengendalikan penerbangan tersebut sebagai “penerbangan demonstrasi”.

Berikutan itu, Suruhanjaya kemudiannya menjalankan suatu siasatan menyeluruh yang seterusnya dibawa kepada pihak Jabatan Peguam Negara (“AGC”). Kes ini dikendalikan oleh Mohamad Abazafree Mohd Abbas, Ketua Unit Jenayah Am dan Ketenteraman Awam bersama Afzainizam Abdul Aziz.

“MAVCOM ingin menekankan kepentingan mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan yang merupakan keperluan asas untuk penyertaan dalam industri ini. Syarikat-syarikat penerbangan hendaklah mempunyai semua kelulusan daripada pihak berkuasa sebelum beroperasi, seperti mana yang dikehendaki bukan sahaja oleh undang-undang Malaysia tetapi juga menurut taraf dan amalan-amalan antarabangsa.

“Langkah-langkah ketat yang diambil oleh Suruhanjaya adalah untuk melindungi pengguna dan oleh itu, Suruhanjaya adalah tegas dalam pendiriannya dan akan mengambil tindakan terhadap pesalah-pesalah yang tidak mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan industri ini,” kata YBhg. Jen. Tan Sri Dato’ Sri Abdullah Ahmad RMAF (R), Pengerusi Eksekutif, MAVCOM.