Ruang Berita / Kenyataan Media / MAVCOM telah meluluskan 30 permohonan lesen pengendalian darat komersial

MAVCOM telah meluluskan 30 permohonan lesen pengendalian darat komersial

8 Jun, 2017

KUALA LUMPUR, 8 JUN 2017 – Sejajar dengan mandat untuk memacu pembangunan industri penerbangan Malaysia, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (“MAVCOM”) pada hari ini telah mengumumkan senarai lesen pengendalian darat komersial kepada 30 syarikat yang telah diluluskan untuk mengusahakan perkhidmatan pengendalian darat di Malaysia. Perkhidmatan pengendalian darat merangkumi perkhidmatan pengendalian penumpang, pengendalian bagasi, perkhidmatan katering, pengendalian tanjakan dan pengendalian bahan api dan minyak.

MAVCOM telah meluluskan syarikat-syarikat yang berikut untuk mengusahakan perkhidmatan pengendalian darat secara komersial di lapangan terbang tertentu.

Selain daripada kelulusan oleh pihak MAVCOM, syarikat-syarikat ini juga perlu mendapatkan kelulusan teknikal yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA). Oleh yang demikian, penggiat industri penerbangan Malaysia adalah dinasihatkan untuk berurusan dengan pengendali perkhidmatan pengendalian darat yang telah diluluskan oleh MAVCOM sahaja.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, YBhg. Gen. Tan Sri Dato’ Sri Abdullah Ahmad, RMAF (B), berkata “Sebagai satu entiti bebas dengan fungsi mengawal selia perkara komersial dan ekonomi berhubungan industri penerbangan awam, MAVCOM telah menjalankan penilaian sama rata dengan mengambil kira kepentingan terhadap syarikat lapangan terbang, syarikat penerbangan, dan pengendali perkhidmatan pengendalian darat yang lain yang turut memainkan peranan dalam industri penerbangan Malaysia. Memandangkan perkhidmatan yang bakal diberikan oleh pengendali perkhidmatan pengendalian darat berkait rapat dengan pengalaman perjalanan penerbangan, MAVCOM perlu memastikan bahawa syarikat-syarikat yang diluluskan berupaya untuk memenuhi keperluan industri penerbangan Malaysia. Secara dasarnya, langkah ini diambil dengan objektif untuk melindungi pengguna dan pada masa yang sama bertujuan untuk meningkatkan daya saing dalam aspek penerbangan di rantau ini.”

Sejak penubuhan MAVCOM pada Mac 2016, mana-mana pengendali yang ingin menawarkan perkhidmatan pengendalian darat secara komersial sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual Kedua Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771] adalah disyaratkan untuk memohon lesen pengendalian darat dengan MAVCOM. Justeru itu, MAVCOM telah membuat pengumuman kepada semua pengendali perkhidmatan pengendalian darat untuk memohon lesen pengendalian darat dari MAVCOM pada atau sebelum 31 Mei 2017.

MAVCOM ingin menekankan bahawa Akta 771 memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang mengusahakan perkhidmatan pengendalian darat tanpa lesen boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan yang berterusan, sebagai tambahan kepada penalti yang diberikan, pesalah itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan. Hukuman ini juga adalah tertakluk kepada mana-mana orang yang berurusan dengan pengendali darat yang tidak berlesen.

Sebarang kelulusan dan senarai pengendali perkhidmatan pengendalian darat boleh didapati di laman web MAVCOM di www.mavcom.my.