Industri / Halaman Pengenalan

Halaman Pengenalan

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah ditubuhkan secara rasmi pada 1 Mac 2016 di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 711) sebagai sebuah entiti bebas yang bertanggungjawab untuk mengawal selia industri penerbangan awam di Malaysia khususnya  perkara berkaitan ekonomi dan komersial.

MAVCOM bertanggungjawab untuk mengawal selia perkara yang berkaitan dengan aspek ekonomi dan komersial bagi industri penerbangan. Tanggungjawab ini merangkumi pemberian Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) bagi perkhidmatan penerbangan komersial secara berjadual dan Permit Perkhidmatan Udara (ASP) bagi perkhidmatan penerbangan secara tidak berjadual seperti penerbangan carter. Suruhanjaya ini juga memberi Lesen Pengendali Aerodrom kepada pengendali lapangan terbang dan Lesen Pengendalian Perkhidmatan Darat kepada sesiapa yang berhasrat untuk melaksanakan perkhidmatan pengendalian darat di Malaysia.

Tanggungjawab MAVCOM juga turut meliputi pentadbiran dan penentuan penguntukan hak trafik udara di kalangan syarikat penerbangan Malaysia berdasarkan kapasiti yang tersedia bagi setiap laluan serta menguruskan permohonan pendaratan.

MAVCOM juga diberi kuasa untuk mentadbir dan mengurus laluan obligasi perkhidmatan awam. Di Malaysia, contoh utama bagi laluan ini ialah Perkhidmatan Udara Luar Bandar yang menyediakan perhubungan secara pengangkutan udara bagi kawasan pedalaman, kurang berpenghuni serta kawasan yang tidak dapat dihubungkan melalui mod pengangkutan yang lain.

Kesemua tanggungjawab ini tertera di dalam matlamat dan fungsi utama Suruhanjaya, sebagaimana yang dinyatakan dalam Seksyen 17 Akta 117 tersebut, iaitu:

  • mengawal selia perkara ekonomi yang berhubungan dengan industri penerbangan awam di Malaysia;
  • memperuntukkan suatu mekanisme bagi perlindungan kepada pengguna bagi industri penerbangan awam di Malaysia;
  • memperuntukkan suatu mekanisme bagi penyelesaian pertikaian antara penyedia perkhidmatan penerbangan;
  • mentadbir dan mengurus hak trafik udara;
  • memantau penguntukan slot untuk syarikat penerbangan atau pengendali pesawat lain;
  • mentadbir dan mengurus laluan-laluan di bawah obligasi perkhidmatan awam, termasuk menasihat Kementerian Pengangkutan berkaitan dengan dasar-dasar bagi obligasi perkhidmatan awam;
  • memudah cara dan menyelaras urusan berkepentingan kepada industri penerbangan awam Malaysia antara penyedia perkhidmatan bagi industri penerbangan dan agensi kerajaan; dan
  • melaksanakan fungsi-fungsi lain yang perlu dilaksanakan bagi kelangsungan mana-mana fungsi di atas.