Industri / Hak Trafik Udara

Hak Trafik Udara

Operasi Berjadual

Sijil Hak Trafik Udara (ATRC) diperlukan bagi mana-mana syarikat penerbangan Malaysia yang berhasrat untuk melaksanakan pengangkutan udara atau menggunakan mana-mana pesawat untuk mengangkut penumpang, mel atau kargo bagi tujuan sewa atau upah (hire or reward) secara perkhidmatan penerbangan berjadual di antara dua lokasi atau lebih dengan sekurang-kurangnya salah satu daripadanya adalah di Malaysia. ATRC dianugerahkan oleh MAVCOM kepada syarikat penerbangan yang berjaya dalam permohonan mereka, berdasarkan kapasiti yang ada bagi setiap laluan.

Pemegang ATRC dikehendaki menggunakan kesemua kapasiti yang diperuntukkan kepadanya dalam tempoh 6 bulan dari tarikh operasi yang diluluskan. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan hak-hak trafik yang tidak digunakan terbatal.

Pemegang ATRC boleh menyerahkan kembali sijil kepada MAVCOM secara bertulis tidak kurang daripada 6 bulan sebelum tarikh cadangan penyerahan semula hak trafik yang tidak digunapakai. Penyerahan kembali sijil hak trafik udara akan berkuatkuasa 6 bulan dari tarikh MAVCOM menerima notis atau mana-mana tarikh lain yang mungkin ditetapkan oleh MAVCOM.

MAVCOM mengambil kira beberapa syarat semasa membuat penguntukan ATRC, termasuk:

  • permintaan pasaran dan kepentingan pengguna pengangkutan udara (penumpang, pelanggan kargo);
  • kualiti perkhidmatan dan daya maju ekonomi penerbangan yang dicadangkan;
  • tahap persaingan, terutama sekali di laluan antarabangsa; dan
  • impak ke atas lapangan terbang dan industri penerbangan Malaysia

Sekiranya Pemegang Sijil gagal mematuhi mana-mana syarat yang berkaitan Sijil atau ASL yang ditetapkan oleh MAVCOM, MAVCOM berhak untuk membatal atau menggantung Sijil tersebut.

Memohon Sijil Hak Trafik Udara

Untuk mengemukakan permohonan, membuat bantahan atau mengemukakan maklumbalas terhadap permohonan sedia ada atau mengemukakan maklumbalas berkaitan keputusan dasar MAVCOM, sila hubungi kami secara bertulis. Keputusan terbaharu MAVCOM berkaitan Sijil Hak Trafik Udara boleh didapati di sini.

Rumusan Hak Trafik Udara

Sehingga kini Malaysia telah memeterai Perjanjian Perkhidmatan Udara (ASA) dengan lebih daripada 100 buah negara. Untuk maklumat berhubung ASA yang telah dimeterai oleh Malaysia, sila rujuk Senarai Perjanjian Perkhidmatan Udara. Peruntukan hak trafik udara antara syarikat-syarikat penerbangan Malaysia juga boleh didapati di sini.