Industri / Hak Trafik Udara / Perkhidmatan Berjadual (Penumpang dan Kargo)

Perkhidmatan berjadual (penumpang dan kargo)

Syarikat Penerbangan Tempatan

Mana-mana syarikat penerbangan tempatan yang berhasrat untuk mengoperasikan hak trafik yang diperuntukkan sebagaimana ditetapkan pada Sijil Hak Trafik Udara bagi sebarang laluan domestik dan antarabangsa hendaklah memohon kepada MAVCOM menerusi Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dengan membuat pemfailan permohonan mereka sebelum ia boleh memulakan perkhidmatan.

Pemohon dibenarkan untuk membuat pemohonan secara serentak kepada MAVCOM menerusi DCA untuk urusan pemfailan operasi dan kepada Penguntukan Slot Kebangsaan Malaysia bagi penguntukan slot. Namun, pemohon hanya dibenarkan untuk mengendalikan perkhidmatan berjadual yang dipohon itu selepas mendapat kelulusan daripada MAVCOM.

Pemfailan untuk Kelulusan Perkhidmatan Berjadual

Pemfailan operasi hendaklah berdasarkan kepada Jadual Musim Panas dan Musim Sejuk IATA.

Hanya pemegang Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) dengan Sijil Hak Trafik Udara yang sah sahaja yang layak untuk membuat pemfailan operasi-operasi berjadual.

Mana-mana hak trafik yang tidak digunakan selepas tempoh 6 bulan dari tarikh kuat kuasa operasi akan secara automatik dibatalkan oleh MAVCOM.

Seandainya pemohon berhasrat untuk membuat pemfailan untuk operasi yang berbeza daripada operasi yang dinyatakan dalam Sijil Hak Trafik Udara, pemohon dikehendaki memohon kepada MAVCOM untuk membuat pindaan terhadap Sijil Hak Trafik Udara terlebih dahulu sebelum membuat pemfailan untuk operasi tersebut. Pindaan butiran operasi merangkumi perkara berikut:

  • pertambahan atau penurunan daripada segi kekerapan penerbangan;
  • pengurangan atau penambahan destinasi (yang turut merangkumi fifth freedom traffic rights);
  • perubahan jenis pesawat; dan
  • perubahan tarikh operasi.

Prosedur-prosedur untuk memohon Sijil Hak Trafik Udara boleh didapati di sini.

Permohonan bagi perkhidmatan penerbangan berjadual memerlukan minima 30 hari untuk diproses. MAVCOM hanya akan memulakan proses penilaian sesuatu permohonan setelah menerima borang lengkap yang dikemukakan melalui DCA. Permohonan yang tidak lengkap boleh mengakibatkan kelewatan dalam pemprosesan dan berkemungkinan ditolak.

Syarikat Penerbangan Asing 

Mana-mana syarikat penerbangan daftaran asing yang berhasrat untuk mengaplikasikan hak trafik di bawah Perjanjian Perkhidmatan Udara dua hala dan/atau pelbagai hala boleh memohon kepada MAVCOM menerusi DCA dengan membuat pemfailan permohonan mereka sebelum memulakan perkhidmatan.

Pemohon dibenarkan untuk membuat pemohonan secara serentak kepada MAVCOM menerusi DCA untuk urusan pemfailan operasi dan kepada Penguntukan Slot Kebangsaan Malaysia untuk penguntukan slot. Namun, pemohon hanya akan dibenarkan untuk menjalankan penerbangan perkhidmatan berjadual yang dimohon itu selepas menerima kelulusan daripada MAVCOM.

Pemfailan untuk Kelulusan Perkhidmatan Berjadual

Pemfailan operasi hendaklah berdasarkan kepada Jadual Musim Panas dan Musim Sejuk IATA.

Hanya syarikat yang telah dilantik seiring dengan Perjanjian Perkhidmatan Udara dua hala dan/atau pelbagai hala yang dimeterai oleh Malaysia dan negara berkaitan sahaja yang dibenarkan untuk membuat pemfailan bagi operasi penerbangan berjadual ke dan dari Malaysia.

MAVCOM akan hanya meluluskan permohonan berdasarkan hak trafik yang ada seperti yang termaktub pada perjanjian yang disebut di atas sahaja. Mana-mana permohonan bagi perkhidmatan berjadual yang tidak dinyatakan di bawah perjanjian tersebut akan ditolak oleh MAVCOM.

Permohonan bagi perkhidmatan berjadual akan memerlukan minima 30 hari untuk diproses. MAVCOM akan hanya memulakan proses penilaian terhadap permohonan yang difailkan setelah menerima permohonan lengkap melalui DCA. Permohonan yang tidak lengkap boleh mengakibatkan kelewatan dalam pemprosesan dan berkemungkinan ditolak.