Industri / Pelesenan / Permit Perkhidmatan Udara

Permit Perkhidmatan Udara

Permit Perkhidmatan Udara (ASP) diperlukan untuk mengangkut penumpang, mel atau kargo melalui udara bagi tujuan yang berkaitan dengan aktiviti memberi sewa dan mengambil upah (hire or reward) di antara mana-mana dua tempat atau lebih, yang mana salah satu daripadanya terletak di dalam sempadan Malaysia. Setiap lesen merangkumi syarat-syarat terperinci yang terikat dengan undang-undang, yang mana ia menyatakan jenis perkhidmatan yang diberikan hak pelaksanaan kepada pemegang lesen, tempoh sah lesen dan juga syarat-syarat lain yang berkaitan.

ASP hanya boleh digunakan untuk perkhidmatan penerbangan tidak berjadual. Bagi perkhidmatan penerbangan berjadual, lesen yang tepat untuk dipohon ialah Lesen Perkhidmatan Udara.

Pemohon juga dikehendaki mengemukakan permohonan Sijil Perakuan Pengendali Udara (AOC) kepada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) untuk operasi yang dicadangkan. ASP hanya akan dikeluarkan kepada pemohon yang memiliki AOC sah yang dikeluarkan oleh DCA.

Memohon Permit Perkhidmatan Udara (ASP)

Mana-mana entiti yang berhasrat untuk memohon ASP hendaklah mengemukakan borang ini yang telah lengkap diisi kepada MAVCOM, bersekali dengan maklumat-maklumat yang disenaraikan pada Lampiran C pada borang permohonan ASP.

Pemohon dinilai oleh MAVCOM berdasarkan beberapa kriteria, termasuk tetapi tidak terhad kepada yang berikut:

  • struktur pemilikan pemohon tersebut yang mana sama ada pemohon adalah sebuah syarikat yang ditubuhkan di Malaysia dan dikawal secara langsung oleh syarikat/warganegara Malaysia;
  • permintaan bagi pengangkutan udara di dalam kawasan operasi yang dimohon;
  • pengalaman dan kecekapan pasukan pengurusan syarikat;
  • kebolehlaksanaan pelan perniagaan yang dicadangkan;
  • daya tahan kewangan perniagaan; dan
  • kewujudan perkhidmatan lain yang serupa serta kecekapan dan kekerapan perkhidmatan yang ditawarkan .

Permohonan bagi ASP memerlukan minima 90 hari untuk diproses. MAVCOM hanya akan memulakan proses penilaian sesuatu permohonan setelah menerima permohonan lengkap bersama dengan bayaran yang ditetapkan. Permohonan yang tidak lengkap boleh menyebabkan kelewatan di dalam memproses permohonan tersebut dan berkemungkinan ditolak. Keputusan terkini berkaitan ASP yang diluluskan oleh MAVCOM boleh didapati di sini.

Sekiranya pemegang permit gagal mematuhi mana-mana syarat berkaitan permit yang ditetapkan oleh MAVCOM, MAVCOM berhak untuk meminda, membatal, atau menggantung permit tersebut.

MAVCOM boleh meluluskan ASP untuk tempoh sehingga sepuluh (10) tahun dari tarikh kuat kuasa.

Memperbaharui Permit Perkhidmatan Udara (ASP)

Untuk memperbaharui ASP anda, permohonan bertulis hendaklah dikemukakan kepada MAVCOM bersekali dengan maklumat yang disenaraikan di Lampiran C borang permohonan ASP.

Setiap pemegang ASP dikehendaki mengemukakan laporan operasi dan kewangan secara berkala kepada MAVCOM sebagai sebahagian daripada syarat lesen mereka.

Permohonan bagi pembaharuan lesen hendaklah dibuat sekurang-kurangnya 90 hari sebelum tarikh tamat permit sedia ada dan hendaklah disertakan dengan bayaran yang ditetapkan.