Industri / Persaingan / Soalan Lazim (FAQs)

Persaingan Soalan Lazim (FAQs)

Mengenai Persaingan

1. Apakah undang-undang persaingan yang terpakai bagi perkhidmatan penerbangan, i.e. Akta Persaingan 2010 atau Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015?

Berkuat kuasa daripada 1 Mac 2016, undang-undang persaingan yang terpakai bagi perkhidmatan penerbangan di Malaysia adalah seperti yang tertakluk di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015, khususnya Bahagian VII (Persaingan) Akta tersebut. Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 juga telah dikecualikan daripada pemakaian Akta Persaingan 2010 melalui penyenaraiannya di bawah Jadual 1, Akta Persaingan 2010 yang berkuat kuasa daripada 1 Mac 2016.

Oleh itu, isu berkaitan dengan undang-undang persaingan bagi perkhidmatan penerbangan di Malaysia adalah tertakluk di bawah bidang kuasa MAVCOM.

2. Apakah perkhidmatan penerbangan yang tertakluk kepada Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015?

Tafsiran “perkhidmatan penerbangan” di bawah Seksyen 2, Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 ialah “mana-mana daripada perkhidmatan yang berikut:

  • (a) membawa penumpang, mel atau kargo untuk sewa atau upah melalui udara atau dengan menggunakan mana-mana pesawat udara di antara dua tempat atau lebih, yang sekurang-kurangnya satu tempat itu berada di Malaysia;
  • (b) pengadaan mana-mana perkhidmatan pengendalian darat sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual Kedua di Malaysia;
  • (c) pengendalian sesuatu aerodrome di Malaysia bagi pelepasan dan pendaratan mana-mana pesawat udara yang terlibat dalam membawa penumpang, mel atau kargo bagi sewa atau upah; atau
  • (d) apa-apa perkhidmatan lain yang ditentukan sebagai perlu atau suai manfaat oleh Suruhanjaya bagi membawa penumpang, mel atau kargo yang disebut dalam perenggan (a),
    sama ada atau tidak perkhidmatan itu diadakan oleh pemegang lesen, pemegang permit atau selainnya”.

3. Adakah Bahagian VII (Persaingan), Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 hanya terpakai bagi aktiviti atau transaksi yang menyentuh perkhidmatan penerbangan di dalam Malaysia?

Bahagian VII (Persaingan), Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 terpakai bagi apa-apa activiti komersial, perjanjian atau percantuman:

  • aktiviti komersial, perjanjian atau percantuman yang menyentuh perkhidmatan penerbangan di dalam Malaysia; dan
  • aktiviti komersial, perjanjian atau percantuman yang dibuat atau dilaksanakan di luar Malaysia yang mempunyai kesan terhadap persaingan dalam apa-apa pasaran perkhidmatan penerbangan di Malaysia.

4. Apakah aktiviti komersial, perjanjian dan percantuman yang dikecualikan daripada pemakaian Bahagian VII (Persaingan), Akta Suruhanjaya Persaingan Malaysia 2015?

Aktiviti komersial, perjanjian atau percantuman yang dikecualikan daripada pemakaian Bahagian VII (Persaingan), Akta Suruhanjaya Persaingan Malaysia 2015 dinyatakan dalam Jadual Ketiga, Akta tersebut.

5. Adakah MAVCOM menyiarkan apa-apa garid panduan berkenaan dengan Bahagian VII (Persaingan), Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015?

MAVCOM kini sedang menyediakan garis panduan bagi menjelaskan pelaksanaan Bahagian VII (Persaingan), Akta Suruhanjaya Persaingan Malaysia 2015. Garis panduan tersebut akan dikeluarkan dan disiarkan selewat-lewatnya pada akhir tahun 2017.

6. Adakah MAVCOM mengenakan apa-apa fi bagi permohonan yang dibuat di bawah Bahagian VII (Persaingan), Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015?

Pada masa ini, MAVCOM tidak mengenakan apa-apa fi bagi permohonan yang dibuat di bawah Bahagian VII (Persaingan), Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015. Fi bagi permohonan berkenaan dengan persaingan akan dikenakan melalui peraturan-peraturan pada masa hadapan.

7. Siapakah yang boleh membuat aduan mengenai aktiviti anti-persaingan yang disyaki yang melanggar mana-mana larangan di bawah Bahagian VII (Persaingan), Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015?

Mana-mana individu atau perusahaan boleh membuat aduan mengenai aktiviti anti-persaingan dalam perkhidmatan perkidmatan udara yang disyaki yang melanggar mana-mana larangan di bawah Bahagian VII (Persaingan), Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015. Oleh sebab Akta tersebut berkuat kuasa mulai 1 Mac 2016, MAVCOM hanya akan mempertimbangkan aduan-aduan yang diterima mengenai pelanggaran yang disyaki berlaku atau masih wujud pada atau selepas 1 Mac 2016.

8. Bagaimanakah cara untuk membuat permohonan atau aduan kepada MAVCOM berkenaan dengan Bahagian VII (Persaingan), Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015?

Untuk maklumat lanjut, sila e-mel kepada competition@mavcom.my.

9. Bagaimanakah saya boleh hubungi MAVCOM untuk bertanya tentang apa-apa perkara berkenaan dengan Bahagian VII (Persaingan), Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015?

Sila e-mel sebarang pertanyaan berkenaan dengan Bahagian VII (Persaingan), Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 kepada competition@mavcom.my.

Percantuman

10. Adakah pemberitahuan percantuman yang dijangkakan atau percantuman mandatori?

Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 memperuntukkan pemberitahuan secara sukarela bagi percantuman yang dijangkakan dan percantuman. Di bawah seksyen 55 dan 56 Akta tersebut, pihak-pihak kepada percantuman yang dijangkakan atau percantuman mempunyai pilihan untuk memberitahu percantuman tersebut kepada MAVCOM dan memohon keputusan sama ada ia mematuhi peruntukan seksyen 54. Pihak-pihak percantuman hendaklah menjalankan penilaian kendiri bagi menentukan sama ada pemberitahuan adalah wajar, and mendapatkan nasihat guaman mengenainya, jika perlu.

Suatu percantuman yang tidak diberitahu kepada MAVCOM yang membangkitkan persoalan persaingan di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 akan membawa risiko kepada pihak-pihak percantuman tersebut. Jika MAVCOM memutuskan bahawa suatu percantuman yang dijangkakan atau percantuman melanggar larangan di bawah seksyen 54 Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015, MAVCOM boleh menghendaki percantuman tersebut  dibubarkan atau diubah suai, dan mengenakan penalti kewangan kepada pihak-pihak percantuman tersebut.

11. Bilakah pihak-pihak kepada percantuman yang dijangkakan atau percantuman wajar untuk memberitahu percantuman tersebut kepada MAVCOM?

Pihak-pihak kepada percantuman yang dijangkakan atau percantuman hendaklah membuat penilaian sama ada permohonan kepada Suruhanjaya adalah wajar bagi percantuman tersebut. Secara amnya, suatu percantuman wajar diberitahu kepada Suruhanjaya jika pihak-pihak kepada percantuman tersebut akan mengakibatkan pengurangan persaingan yang substantial dalam mana-mana pasaran perkhidmatan penerbangan.

Pada masa ini, kemungkinan bagi Suruhanjaya untuk menyiasat suatu percantuman adalah rendah kecuali jika:

  • kadar gabungan perolehan (combined turnover) di Malaysia bagi pihak-pihak percantuman pada tahun kewangan sebelum urus niaga tersebut ialah sekurang-kurangnya RM50 juta; atau
  • kadar gabungan perolehan (combined turnover) sedunia bagi pihak-pihak percantuman pada tahun kewangan sebelum urus niaga tersebut ialah sekurang-kurangnya RM500 juta.

12. Bagaimanakah boleh saya hubungi MAVCOM untuk membuat pemberitahuan bagi percantuman yang dijangkakan atau percantuman?

Untuk maklumat lanjut mengenai pemberitahuan percantuman yang dijangkakan atau percantuman, sila e-mel kepada competition@mavcom.my.