Pengguna / Tuntutan dan Pampasan / Kehilangan, kerosakan dan kelewatan bagasi

Kehilangan, kerosakan dan kelewatan bagasi

Penumpang selalunya menjangka untuk mendapatkan beg mereka sejurus sahaja mereka mendarat. Jika beg anda tidak sampai bersama dengan penerbangan anda, atau hilang atau rosak semasa penerbangan, anda mungkin berhak menerima pampasan bagi sebarang kesulitan yang dihadapi. Bagi menuntut pampasan, anda hendaklah mengemukakan aduan bertulis kepada syarikat penerbangan anda:

  • semasa ketibaan atau dalam tempoh 7 hari dari tarikh ketibaan jika beg anda rosak; atau
  • semasa ketibaan atau dalam tempoh 21 hari dari tarikh ketibaan jika beg anda terlewat sampai.

Adalah dinasihatkan supaya resit atau bukti nilai barangan di dalam bagasi anda disimpan untuk pengesahan tuntutan. Resit untuk pembelian barangan keperluan asas yang dibeli selama tempoh bagasi lewat sampai juga perlu disimpan untuk penilaian syarikat penerbangan dan untuk menyokong tuntutan anda. Sila ambil perhatian bahawa tuntutan yang dibuat haruslah bermunasabah selaras dengan tempoh kelewatan penerbangan dan tahap kerugian yang dialami.

Adalah dimaklumkan bahawa syarikat penerbangan tidak akan bertanggungjawab untuk membayar pampasan di atas kerosakan bagasi akibat haus dan lusuh seperti potongan atau calar kecil.

Jika anda merasakan bahawa anda tidak menerima pampasan yang adil, sila hubungi MAVCOM dan hantarkan salinan aduan bertulis anda dan maklum balas syarikat penerbangan.

IlustrasiKehilangan dan kelewatan bagasi

Hani tidak membeli apa-apa insurans perjalanan apabila dia membuat tempahan dengan Syarikat Penerbangan ABC untuk terbang ke Perth. Sebaik tiba di Perth, dia menyedari bahawa bagasinya tidak tiba dan dia membuat laporan kepada Syarikat Penerbangan ABC di lapangan terbang. Adakah Hani berhak mendapat pampasan daripada Syarikat Penerbangan ABC?

  • Syarikat penerbangan bertanggungjawab untuk membayar pampasan sekiranya bagasi hilang atau lewat, tidak kira sama ada pengguna telah membeli insurans perjalanan atau tidak. Walau bagaimanapun, pengguna masih dinasihatkan untuk membeli insurans perjalanan kerana ia meliputi perlindungan untuk keadaan di luar dugaan seperti insiden perubatan dan kecemasan semasa di luar negara.
  • Pengguna amat digalakkan untuk menyimpan semua resit pembelian semasa perjalanan mereka.
  • Liabiliti maksimum syarikat penerbangan bagi kehilangan atau kelewatan bagasi adalah 1131 Hak Pengeluaran Istimewa (SDR). Nilai SDR adalah berdasarkan kepada lima mata wang utamadolar Amerika Syarikat, Euro, Yen Jepun, Pound Sterling dan renminbi China (semua yang turun naik berbanding Ringgit dari semasa ke semasa). Sila klik pada pautan di bawah untuk kadar SDR semasa: https://www.imf.org/external/np/fin/data/rms_sdrv.aspx.
  • Dalam kes ini, Hani berhak untuk mendapat pampasan daripada Syarikat Penerbangan ABC. Untuk menuntut pampasan, Hani perlu menyediakan resit dan dokumen sokongan untuk mengesahkan jumlah tuntutan.

IlustrasiKerosakan bagasi

Hani mendapati bagasi dia retak apabila tiba di Kuching. Beliau membuat laporan sebelum meninggalkan lapangan terbang. Adakah Hani berhak untuk mendapat pampasan?

  • Syarikat penerbangan bertanggungjawab untuk membayar pampasan sekiranya bagasi rosak, tidak kira sama ada pengguna telah membeli insurans perjalanan ataupun tidak. Walau bagaimanapun, pengguna masih dinasihatkan untuk membeli insurans perjalanan kerana ia meliputi perlindungan untuk keadaan di luar dugaan seperti insiden perubatan dan kecemasan semasa di luar negara.
  • Liabiliti maksimum syarikat penerbangan bagi kehilangan atau kelewatan bagasi adalah 1131 Hak Pengeluaran Istimewa (SDR). Nilai SDR adalah berdasarkan kepada lima mata wang utamadolar Amerika Syarikat, Euro, Yen Jepun, Pound Sterling dan renminbi China (semua yang turun naik berbanding Ringgit dari semasa ke semasa). Sila klik pada pautan di bawah untuk kadar SDR semasa : https://www.imf.org/external/np/fin/data/rms_sdrv.aspx.
  • Syarikat penerbangan akan menilai semua kes bagasi rosak berdasarkan situasi setiap kes untuk mengesahkan tahap kerosakan dan kebolehgunaan bagasi.
  • Dalam kes ini, Hani berhak untuk mendapat pampasan tertakluk kepada penilaian oleh syarikat penerbangan terhadap tahap kerosakan dan kebolehgunaan bagasi. Hani perlu menyediakan resit dan dokumen sokongan untuk mengesahkan jumlah tuntutan.

For more information, please refer to the Malaysian Aviation Consumer Protection Code 2016 (MACPC) – Part III, Paragraph 13: Air Passenger’s Rights – Pampasan Bagi Kehiilangan, Kerosakan Dan Kelewatan Bagasi.

Anda juga boleh merujuk kepada video animasi pendek kami berkenaan topik ini: