Pengguna / Syarikat Penerbangan dan Harga Tiket / Komunikasi mengenai perubahan status penerbangan

Komunikasi mengenai perubahan status penerbangan

Perubahan terhadap suatu penerbangan boleh berlaku atas pelbagai sebab, termasuk pembatalan, penangguhan dan pelencongan laluan. Ini boleh menjejaskan rancangan anda, dan oleh sebab itulah syarikat penerbangan diwajibkan untuk memaklumi anda mengenai sebarang perubahan sejurus sahaja ia berlaku. Hal ini hendaklah dinyatakan dengan jelas dalam terma dan syarat-syarat tiket anda.

Malah, syarikat penerbangan yang beroperasi di Malaysia juga bertanggungjawab untuk mengambil segala langkah yang wajar bagi menghubungi anda dengan segera apabila berlaku sebarang perubahan penerbangan. Jika anda percaya bahawa usaha sewajarnya tidak diambil untuk menghubungi anda mengenai perubahan status penerbangan, anda harus membawa perkara ini kepada syarikat penerbangan pengendali tersebut (lihat Butiran) sebelum menghubungi MAVCOM.

Ilustrasi 1

Ali telah membuat tempahan penerbangan untuk sebuah percutian di Australia. Dua minggu sebelum penerbangan beliau, Syarikat Penerbangan ABC menghantar sebuah e-mel kepada Ali memberitahu beliau yang penerbangan tersebut telah dijadualkan semula. Ali diberi pilihan untuk terbang 2 hari kemudian atau untuk mendapat bayaran balik sepenuhnya. Ali mahu meneruskan percutian beliau tetapi kecewa kerana bayaran beliau untuk pakej darat selama 2 hari kini sia-sia. Apa yang harus Ali lakukan?

  • Dalam kes ini, berdasarkan kontrak pengangkutan, syarikat penerbangan bertanggungjawab untuk memastikan Ali sampai ke destinasi dari Kuala Lumpur ke Australia seperti yang dinyatakan dalam tiket penerbangan beliau.
  • Pertukaran jadual penerbangan tidak dapat dielakkan dalam industri penerbangan oleh sebab pelbagai hal operasi. Syarikat penerbangan wajib memberi notis yang secukupnya serta pilihan penerbangan alternatif seawal mungkin atau bayaran balik sepenuhnya kepada penumpang yang terjejas.
  • Ali telah diberi notis yang secukupnya tentang pertukaran jadual penerbangan beliau. Dia boleh memilih sama ada:

      (i) untuk mendapat bayaran balik sepenuhnya; atau
      (ii) untuk terbang 2 hari kemudian menurut jadual penerbangan baru yang diberi oleh syarikat penerbangan.

Jika Ali tidak mahu pakej darat beliau selama 2 hari untuk menjadi sia-sia, dia boleh memilih pilihan (i) iaitu mendapat bayaran balik sepenuhnya bagi tiket penerbangan dan membeli tiket penerbangan baru dengan syarikat penerbangan pilihannya. Akan tetapi, Ali tidak akan dapat menuntut perbezaan tambang antara tiket yang baru dan tiket yang dibeli sebelumnya dengan Syarikat Penerbangan ABC. Ini kerana Ali telah diberi notis yang secukupnya tentang pilihan untuk memilih sama ada untuk mendapat bayaran balik sepenuhnya atau penerbangan alternatif.

Ilustrasi 2

Penerbangan Hani telah dijadualkan untuk bertolak pada jam 6.30am ke Langkawi. Semasa di pintu perlepasan pada jam 6.00am, sebuah pengumuman telah dibuat oleh syarikat penerbangan bahawa penerbangan Hani akan ditangguhkan oleh sebab kelewatan ketibaan pesawat. Dia berasa kecewa kerana tidak dimaklumkan mengenai kelewatan pesawat tersebut dan mungkin akan terlepas mesyuarat beliau pada pukul 9.00am.

  • Pertukaran jadual penerbangan tidak dapat dielakkan dalam industri penerbangan oleh sebab pelbagai hal operasi. Syarikat penerbangan wajib memaklumkan tentang sebarang perubahan dalam status penerbangan yang sekurang-kurangnya 30 minit kepada penumpang seberapa segeranya yang dianggap wajar.
  • Dalam kes ini, disebabkan Hani telahpun berada di lapangan terbang, syarikat penerbangan tersebut telah membuat sebuah pengumuman bahawa penerbangan akan ditangguhkan oleh sebab kelewatan ketibaan pesawat.

Untuk keterangan lanjut, sila rujuk kepada Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) – Bahagian II, Perenggan 8: Takat Perkhidmatan Minimum dan Standard Prestasi Syarikat Penerbangan dan Pengendali AerodromPemakluman Tentang Perubahan Status Penerbangan.