Pengguna / Larangan Menaiki Pesawat

Larangan Menaiki Pesawat

Ada kalanya anda mungkin berdepan dengan situasi di mana anda dilarang daripada menaiki pesawat – mungkin disebabkan oleh tempahan berlebihan bagi penerbangan tersebut atau isu-isu operasi lain. Ini boleh menjejaskan perancangan perjalanan anda. Sesebuah syarikat penerbangan hanya boleh menghalang anda daripada menaiki pesawat jika:

  • anda melepaskan tiket anda secara sukarela; atau
  • bilangan orang yang melepaskan tiket mereka secara sukarela tidak mencukupi.

Hanya apabila bilangan orang yang melepaskan tiket mereka secara sukarela tidak mencukupi, barulah sesebuah syarikat penerbangan boleh menghalang anda daripada menaiki pesawat tanpa persetujuan anda.

Tanpa mengira sama ada anda dilarang menaiki pesawat secara sukarela atau tidak, syarikat penerbangan hendaklah menawarkan pampasan kepada anda dengan segera. Bentuk atau jumlah pampasan bergantung kepada situasi anda, tetapi ia hendaklah merangkumi:

  • makanan, panggilan telefon dan akses internet;
  • tempat tinggal dan pengangkutan (yang sewajarnya); dan
  • pilihan antara pampasan penuh atau penerbangan gantian.

Jadual Pertama, Kod Perlindungan Pengguna mengandungi butiran terperinci mengenai pampasan yang anda berhak perolehi.

IlustrasiLarangan menaiki pesawat kerana terlebih tempahan oleh syarikat penerbangan

Ali yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah, tiba di lapangan terbang 3 jam sebelum waktu perlepasan yang telah dijadualkan untuk penerbangan beliau. Walau bagaimanapun, beliau dilarang untuk menaiki pesawat atas sebab terlebih tempahan oleh syarikat penerbangan. Adakah beliau layak untuk mendapat pampasan?

  • Pesawat terlebih tempahan merupakan situasi di mana syarikat penerbangan telah menjual lebih banyak tiket daripada bilangan tempat duduk yang ada untuk penerbangan tertentu. Ini adalah satu norma industri yang diamalkan oleh kebanyakan syarikat penerbangan di seluruh dunia untuk mengelakkan pembaziran tempat duduk penerbangan dan kekurangan pendapatan. Apabila berlakunya terlebih tempahan, syarikat penerbangan itu biasanya akan meminta sukarelawan untuk menyerahkan tempat duduk mereka sebagai gantian untuk manfaat tertentu. Jika bilangan sukarelawan tidak mencukupi, syarikat penerbangan itu terpaksa melarang penumpang untuk menaiki pesawat tersebut dan menawarkan pampasan atau jagaan selaras dengan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC).
  • Dalam kes ini, syarikat penerbangan tersebut haruslah menawarkan Ali yang berikut:

    i. Makanan, panggilan telefon yang terhad dan akses kepada internet (di mana tersedia)
    ii. Penginapan di hotel (di mana pengguna didapati perlu bermalam)
    iii. Pengangkutan antara lapangan terbang dan hotel (di mana perlu); 
    dan pilihan antara:

    i. Bayaran balik sepenuhnya kos tiket penerbangan yang tidak digunakan dalam tempoh 30 hari; atau
    ii. Perubahan laluan penerbangan pada peluang terawal

Untuk keterangan lanjut, sila rujuk kepada Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) – Bahagian III, Perenggan 11: Takat Perkhidmatan Minimum dan Standard Prestasi Syarikat Penerbangan dan Pengendali AerodromTidak Dibenarkan Menaiki Pesawat.

Anda juga boleh merujuk kepada video animasi pendek kami berkenaan topik ini:

IlustrasiLarangan menaiki pesawat kerana dokumen perjalanan tidak lengkap

Ali merupakan seorang warganegara Malaysia yang mempunyai pengesahan tempahan tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Melbourne. Di kaunter daftar masuk, beliau dilarang untuk menaiki pesawat kerana visa yang tamat tempoh dan sah laku pasport yang kurang daripada 6 bulan.

  • Adalah tanggungjawab pengguna untuk memastikan bahawa mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan lengkap sebelum perjalanan mereka.
  • Dalam kes ini, Ali gagal mengemukakan dokumen-dokumen perjalanan yang diperlukan untuk perjalanan beliau dan syarikat penerbangan tersebut terpaksa menafikan perjalanannya. Ali tidak layak menerima sebarang pampasan di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC).