Pengguna / Aduan / Pengenalan dan prosedur

Pengenalan dan prosedur

Pihak kami bersedia untuk mempertahankan hak-hak anda sebagai pengguna perkhidmatan udara. Bagi membantu kami menangani aduan anda sebaik mungkin, anda dipohon untuk menyediakan butiran aduan anda, termasuk:

  • aduan bertulis yang anda telah kemukakan kepada syarikat penerbangan atau lapangan terbang, bersama-sama dengan maklum balas syarikat tersebut;
  • butiran penerbangan anda, termasuk nombor penerbangan dan tarikh/masa;
  • nama lapangan terbang, lokasi dan tarikh; dan
  • apa-apa bukti lain, seperti salinan tiket/tempahan, salinan imbasan pas masuk pesawat, gambar/ tangkap layar (screenshot), salinan sijil perubatan (jika berkenaan), salinan pasport/kad pengenalan (jika berkenaan), laporan bagasi dll.

Anda boleh kemukakan aduan kepada MAVCOM menerusi borang ini.

Anda akan menerima maklum balas awal dari kami dalam tempoh 7 hari daripada tarikh aduan anda dikemukakan kepada kami. Seterusnya, MAVCOM mungkin akan memohon anda untuk memanjangkan dokumen-dokumen lanjut atau menanyakan soalan tertentu kepada anda semasa proses siasatan aduan tersebut.

MAVCOM berhak untuk menolak sebarang aduan yang tidak berkaitan dengan industri penerbangan atau dianggap remeh-temeh.

Aduan kepada syarikat penerbangan

Sebelum membangkitkan aduan anda kepada MAVCOM, kami menyarankan agar anda menghubungi syarikat penerbangan atau lapangan terbang yang terlibat terlebih dahulu untuk menyatakan isu atau aduan anda. Semua syarikat penerbangan yang beroperasi ke atau dari Malaysia (termasuk syarikat asing) dikehendaki untuk:

  • menyatakan secara jelas tempat untuk anda mengemukakan aduan anda kepada syarikat tersebut iaitu alamat surat-menyurat, nombor telefon dan e-mel atau laman web;
  • mengesahkan penerimaan aduan anda dalam tempoh 24 jam; dan
  • menyediakan penyelesaian terhadap aduan anda dalam tempoh 30 hari.