Pengguna / Penundaan dan Pembatalan Penerbangan

Penundaan dan Pembatalan Penerbangan

Jika penerbangan anda ditunda atau dibatalkan, syarikat penerbangan anda berkemungkinan besar perlu menyediakan anda pampasan bagi membantu anda meneruskan perjalanan. Bergantung kepada punca penundaan atau pembatalan, pampasan ini mungkin merangkumi:

  • makanan, panggilan telefon dan akses internet (bagi penangguhan selama 2 jam atau lebih);
  • penginapan hotel dan pengangkutan (untuk penangguhan selama 5 jam atau lebih);
  • pembayaran balik secara penuh atau penerbangan alternatif (jika penerbangan anda dibatalkan).

Satu-satunya pengecualian adalah apabila berlakunya suatu “keadaan luar biasa” yang termasuk risiko keselamatan atau cuaca ekstrem, yang mana syarikat penerbangan tidak dapat menjangkanya.

Jika anda berpandangan bahawa anda tidak menerima pampasan sewajarnya, sila kemukakan aduan rasmi kepada syarikat penerbangan tersebut sebelum anda menghubungi MAVCOM.

Ilustrasi 1 – Penundaan Penerbangan

Ali telah membeli dua tiket penerbangan berlainan dari Beijing ke Kuala Lumpur daripada Syarikat Penerbangan ABC dan dari Kuala Lumpur ke Singapura daripada Syarikat Penerbangan XYZ. Penerbangan beliau dengan Syarikat Penerbangan ABC telah ditunda selama 8 jam. Disebabkan penundaan ini, Ali telah terlepas penerbangan sambungan beliau dengan Syarikat Penerbangan XYZ ke Singapura. Adakah Ali berhak untuk mendapat pampasan dan jagaan bagi penerbangan sambungan beliau ke Singapura?

  • Syarikat Penerbangan ABC hanyalah bertanggungjawab untuk penerbangan Ali dari Beijing ke Kuala Lumpur. Oleh kerana penundaan ini lebih daripada 5 jam, Syarikat Penerbangan ABC bertanggungjawab untuk menyediakan Ali dengan yang berikut:
    i. Makanan, panggilan telefon yang terhad dan akses kepada internet (di mana tersedia)
    ii. Penginapan di hotel (di mana pengguna didapati perlu bermalam)
    iii. Pengangkutan antara lapangan terbang dan hotel (di mana perlu);
  • Oleh kerana Ali mempunyai tempahan yang berasingan dengan Syarikat Penerbangan XYZ ke Singapura, Syarikat Penerbangan ABC tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kos langsung yang berkaitan dengan urusan perjalanan Ali untuk penerbangan sambungan beliau.

Ilustrasi 2 – penundaan penerbangan

Hani mempunyai satu tiket penerbangan dari Pulau Pinang ke London dengan transit di Kuala Lumpur dengan Syarikat Penerbangan ABC. Penerbangan beliau dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur telah ditunda selama 3 jam. Akibat daripada itu, dia akan terlepas penerbangan sambungan beliau ke London. Apakah hak Hani sebagai penumpang pesawat?

  • Syarikat Penerbangan ABC bertanggungjawab untuk membawa Hani ke destinasi terakhir beliau (London) kerana dia memegang satu tiket daripada Syarikat Penerbangan ABC dari Pulau Pinang ke London. Oleh kerana kelewatan itu disebabkan oleh Syarikat Penerbangan ABC, ia adalah tanggungjawab Syarikat Penerbangan ABC untuk menempatkan Hani dalam penerbangan seterusnya ke London tanpa sebarang kos tambahan.
  • Sementara itu, Hani juga berhak untuk mendapat makanan, panggilan telefon, akses internet (di mana tersedia) dan penginapan (di mana pengguna didapati perlu bermalam).

Ilustrasi 3 – pembatalan penerbangan

Penerbangan Ali dari Beijing ke Kuala Lumpur dengan Syarikat Penerbangan ABC telah dibatalkan. Oleh itu, Syarikat Penerbangan ABC menawarkan samaada penerbangan alternatif pada keesokan hari kerana itu merupakan penerbangan yang tersedia serta-merta, atau bayaran balik sepenuhnya. Ali mendapati bahawa penerbangan alternatif itu tidak bersesuaian dan membuat keputusan untuk membeli tiket lain dengan Syarikat Penerbangan XYZ. Bolehkah Ali meminta Syarikat Penerbangan ABC untuk membayar tiket penerbangan beliau yang telah dibeli dengan Syarikat Penerbangan XYZ?

  • Penjadualan semula penerbangan tidak dapat dielakkan dalam industri penerbangan oleh sebab pelbagai keadaan operasi. Namun, syarikat penerbangan wajib memberi notis yang mencukupi serta menyediakan penerbangan alternatif seawal mungkin atau bayaran balik sepenuhnya kepada penumpang yang terjejas.
  • Dalam kes ini, Syarikat Penerbangan ABC telahpun menawarkan penerbangan alternatif atau bayaran balik sepenuhnya kepada Ali. Syarikat Penerbangan ABC telah menjalankan tanggungjawabnya dan tidak bertanggungjawab untuk membayar tiket yang Ali telah beli dengan Syarikat Penerbangan XYZ.

Untuk keterangan lanjut, sila rujuk kepada Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) – Bahagian III, Perenggan 12: Hak Penumpang Pesawat UdaraKelewatan dan Pembatalan Penerbangan.

Anda juga boleh merujuk kepada video animasi pendek kami berkenaan topik ini: