Tentang Kami / Pesuruhjaya

Pesuruhjaya

YBhg. Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Abdullah Ahmad (B)Pengerusi Eksekutif

Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Abdullah Bin Ahmad (B) merupakan Panglima Tentera Udara, dari tahun 2003 hingga 2004. Sepanjang kerjaya tenteranya bersama Tentera Udara Diraja Malaysia, beliau telah memegang beberapa jawatan kanan yang antara lainnya termasuklah Pengarah Divisyen Latihan TUDM; Komander Pertahanan Udara; Komandan Kolej Pertahanan Malaysia dan Panglima TUDM.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pusat Latihan Aeroangkasa Langkawi dan Pengarah di Atlan Holdings Bhd, Naluri Corporation Bhd dan DFZ Capital Bhd. Beliau telah menamatkan penggajian di Royal Air Force Staff College di Bracknell, United Kingdom pada tahun 1982; dan merupakan pemegang ijazah muda dan sijil dari Monterey Naval Academy dan Harvard University, serta Ijazah Sarjana dalam Kajian Strategik dan Perhubungan Antarabangsa dari University of Lancaster.

YBhg. Datuk Seri Hj. Saripuddin Kassim

Datuk Seri Haji Saripuddin Kassim kini berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan. Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Hal-Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia.

Beliau memiliki Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya, Diploma Lanjutan Pengurusan Awam dari INTAN dan Sarjana Pentadbiran Awam (Kewangan Korporat) dari University of Hartford, Connecticut, Amerika Syarikat.

YBhg. Dato’ Mah Weng Kwai

Dato’ Mah Weng Kwai merupakan bekas hakim Mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Rayuan. Beliau pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pendakwaraya dan Peguam Kanan Persekutuan di Jabatan Peguam Negara selain menganggotai Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang, Malaysia dan Lembaga Disiplin Peguambela dan Peguamcara.

Dato’ Mah Weng Kwai pernah menyandang jawatan Presiden Majlis Peguam Malaysia (2001-2003) dan Presiden LAWASIA (2006-2008) dan kini merupakan seorang Konsultan di firma undang-undang Tetuan MahWengKwai & Associates. Beliau juga adalah panel Timbang Tara Pusat Timbang Tara Serantau Kuala Lumpur.

Dato’ Mah Weng Kwai dilantik sebagai Barrister-at-Law, Majlis Peguam England pada tahun 1971 dan Peguambela dan Peguamcara, Majlis Peguam Malaysia pada tahun 1972. Beliau juga memiliki Sarjana Undang-Undang dari University of Sydney di mana beliau adalah Felo di dalam Senat universiti tersebut.

YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Chor Chee Heung

Tan Sri Dato’ Seri Chor Chee Heung telah menjawat pelbagai jawatan dalam Kerajaan Persekutuan dari 1996 hingga 2013 termasuklah sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Timbalan Menteri Kewangan dan Setiausaha Parlimen Kementerian Pengangkutan. Beliau pernah mewakili kerajaan dan Parlimen di persidangan Asean dan Pertubuhan Antara Parlimen ASEAN (AIPO). Beliau kini berkhidmat sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif di Tenaga Nasional Berhad dan juga Penasihat di Melati Ehsan Berhad serta merupakan Pengerusi Maxim Holdings Berhad.

Tan Sri Dato’ Seri Chor Chee Heung pernah berkhidmat sebagai peguam dari 1981 sehinggalah beliau dilantik sebagai ahli kabinet pada 1996.

YBhg. Datuk Seri Long See Wool

Datuk Seri Long See Wool telah berkhidmat selama lebih 34 tahun di Kementerian Pengangkutan di mana beliau mempunyai pengkhususan dalam sektor penerbangan. Jawatan terakhir yang dipegang beliau sebelum persaraannya pada 2014 adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan. Datuk Seri Long See Wool memiliki ijazah dan diploma dari Universiti Malaya dan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

YBhg. Dato’ Fauziah Yaacob

Y. Bhg. Dato’ Fauziah Yaacob telah berkhidmat sebagai pengarah beberapa syarikat termasuk Telekom Malaysia Bhd, Pos Malaysia Bhd, dan agensi-agensi kerajaan lain seperti MyIPO dan MyPower. Kerjayanya dalam sektor awam juga menyaksikan beliau memegang beberapa jawatan dalam Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengangkutan. Jawatan terakhir sebelum persaraannya daripada perkhidmatan awam pada 2015 adalah Timbalan Setiausaha Agung Perbendaharaan (Pelaburan).

Y. Bhg. Dato’ Fauziah Yaacob juga pernah berkhidmat sebagai Pengurus Kanan Kuala Lumpur International Airport Bhd dari 1993 hingga 1996. Beliau memiliki ijazah dan diploma dari pelbagai institusi termasuk University of Liverpool, Universiti Malaya, dan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

YBhg. Dato’ Ir. Dr. Shaik Hussein

Dato’ Ir. Dr. Shaik Hussein bin Mydin telah berkhidmat sebagai Timbalan Pengerusi, Lembaga Pengarah, di Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang sejak 2013. Beliau juga adalah Pengerusi Jabatan Perancangan dan Pembangunan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA).

Dato’ Ir. Dr. Shaik Hussein bin Mydin memiliki kelulusan Doktor Falsafah dalam Kejuruteraan (Pembinaan dan Teknologi) dari Universiti Teknologi Malaysia. Beliau juga merupakan lulusan Sarjana Sains dengan pengkhususan dalam Pengurusan Projek dari Universiti Sains Malaysia. Selain itu, beliau juga memiliki ijazah, diploma dan sijil berkaitan dengan bidang kejuruteraan awam dari institusi-institusi tempatan.

Di samping itu juga, Dato’ Ir. Dr. Shaik Hussein bin Mydin menganggotai pelbagai badan profesional di Malaysia termasuk Lembaga Kejuruteraan Malaysia (BEM) dan Institut Kejuruteraan Malaysia (IEM).

Dr. Nungsari Ahmad Radhi

Dr. Nungsari adalah Pengarah Urusan Prokhas Sdn Bhd, iaitu sebuah syarikat di bawah Menteri Kewangan, Diperbadankan, dan beliau juga adalah ahli Lembaga Pengarah Pengurusan Danaharta Nasional Berhad, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad dan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad. Beliau juga memegang jawatan sebagai Pegawai Prinsipal DanaInfra Nasional Berhad dan menganggotai Lembaga Pengarah bagi Lembaga Pinjaman Perumahan Sektor Awam.

Dalam kerjayanya selama 30 tahun, beliau pernah menjadi ahli akademik, penasihat korporat, penyelidik ekonomi, Ahli Parlimen dan penasihat dasar. Beliau memiliki ijazah kedoktoran PhD dalam bidang Ekonomi dari Purdue University dan merupakan kolumnis untuk The Edge sejak tahun 2000.