Sumber-Sumber / Soalan Lazim (FAQs)

Soalan Lazim (FAQs)

Mengenai MAVCOM

1. Apakah Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM)?

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) merupakan sebuah badan bebas yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 untuk mengawal selia sektor penerbangan awam di dalam aspek komersial dan ekonomi.

Matlamat kami adalah untuk melahirkan industri penerbangan yang berdaya maju, berteraskan kepentingan kepenggunaan serta berdaya saing bagi mendokong pertumbuhan ekonomi negara. Fungsi MAVCOM adalah termasuk mengawal selia hal-ehwal ekonomi berkaitan industri penerbangan awam; menyediakan mekanisme perlindungan bagi pengguna serta mekanisme bagi penyelesaian pertikaian di antara ahli industri penerbangan; mentadbir dan menguruskan hak-hak trafik udara; serta menasihati pihak Kerajaan, mentadbir dan menguruskan laluan-lauan penerbangan yang tertakluk di bawah Kewajipan Perkhidmatan Awam.

2. Apakah tanggungjawab MAVCOM?

MAVCOM bertanggungjawab terhadap hal-ehwal berkaitan penerbangan, termasuk:

  • mengawal selia urusan ekonomi berkaitan industri penerbangan awam;
  • menyediakan mekanisme perlindungan pengguna;
  • menyediakan mekanisme penyelesaian pertikaian antara ahli industri penerbangan;
  • mentadbir dan mengurus hak-hak trafik udara; dan
  • menasihati pihak Kerajaan, mentadbir dan menguruskan laluan-laluan di bawah kewajipan perkhidmatan awam.

3. Apakah latar belakang penubuhan MAVCOM?

Penubuhan MAVCOM merupakan salah satu inisiatif yang termaktub di dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) sebagai kaedah untuk memperbaiki struktur industri penerbangan awam. Susulan itu, Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 telah digubal dan diluluskan oleh Parlimen yang membawa kepada penubuhan rasmi Suruhanjaya ini pada 1 Mac 2016.

 

Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015

1. Bagaimana saya boleh mempelajari Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015?

Anda boleh memuat turun keseluruhan Akta menerusi pautan ini.

 

Aduan Pengguna

1. Sebagai pengguna, bagaimana boleh saya kemukakan aduan kepada MAVCOM?

Sebagai langkah permulaan, kami menyarankan agar anda menghubungi syarikat penerbangan atau lapangan terbang berkaitan bagi memberi peluang kepada mereka untuk menyelesaikan isu anda. Susulan itu, jika anda tidak berpuas hati dengan maklum balas yang diberikan oleh pihak syarikat penerbangan atau lapangan terbang terbabit, anda boleh kemukakan aduan anda kepada kami menerusi borang dalam talian.

2. Apakah perkara berkaitan penerbangan yang boleh saya adukan kepada MAVCOM?

Kami akan menerima aduan berkaitan apa sahaja perkhidmatan penerbangan di Malaysia. Sila berhubung dengan kami jika aduan anda berkait dengan syarikat penerbangan dan/atau lapangan terbang yang membabitkan penerbangan yang sama ada mendarat atau berlepas dari Malaysia.

3. Bagaimanakah saya boleh memeriksa status aduan yang saya kemukakan?

Selepas anda mengemukakan aduan, anda akan menerima e-mel pemberitahuan beserta nombor rujukan kes. Sila simpan nombor rujukan tersebut untuk tujuan semakan status aduan anda menerusi halaman Semak Status. 

4. Saya terlupa nombor rujukan kes? Bagaimana boleh saya dapatkannya semula?

Anda boleh e-mel kami di consumer@mavcom.my dan kami akan membantu mengesannya semula.

5. Apa akan berlaku selepas saya kemukakan aduan kepada MAVCOM?

MAVCOM akan mengkaji dan menilai semua aduan dalam tempoh 7 hari ianya diterima. Selepas itu, kami akan menyalurkan aduan tersebut kepada syarikat penerbangan dan/atau lapangan terbang untuk mendapatkan maklumbalas daripada mereka.

Syarikat penerbangan dan/atau lapangan terbang dikehendaki untuk memberi resolusi kepada anda di dalam tempoh 30 hari. Susulan dari itu, MAVCOM akan meneliti resolusi mereka dan, jika perlu, membuat keputusan tentang kes aduan tersebut.

Sila rujuk Soalan Lazim Pengguna (FAQs) untuk lebih banyak FAQ berkaitan tambang udara, penundaan penerbangan, pembatalan penerbangan, dilarang menaiki pesawat, orang kurang upaya, bagasi hilang/rosak/lewat, pampasan, identiti syarikat penerbangan dan kemudahan-kemudahan lapangan terbang.

 

Hal-ehwal Industri Penerbangan

1. Apakah ada kemungkinan MAVCOM akan menggalakkan dasar perlindungan terhadap syarikat penerbangan tertentu?

Mandat kami adalah untuk mempromosikan pertumbuhan industri penerbangan negara. Menurut undang-undang, kami dikehendaki melaksanakan tugas kami dengan saksama tanpa memihak kepada mana-mana syarikat penerbangan atau kepentingan kumpulan industri tertentu.

2. Jika saya sebuah syarikat penerbangan, bagaimanakah caranya untuk menyemak penyelesaian pertikaian?

Lihat seksyen penyelesaian pertikaian dalam laman web kami untuk butiran lanjut. Bagi mengutarakan permintaan untuk penyelesaian pertikaian, sila kenal pasti dan muat turun borang berkaitan dari seksyen Sumber-sumber di laman web kami.

 

Permohonan Lesen

1. Apakah proses dan prosedur untuk memohon lesen syarikat penerbangan?

Anda boleh memohon Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) atau Permit Perkhidmatan Udara (ASP) daripada MAVCOM, dan menghantar permohonan bertulis anda kepada MAVCOM untuk penilaian kami. Borang-borang dan templat permohonan boleh dimuat turun dari seksyen Sumber-sumber di laman web kami. Semak keterangan lesen/permit yang anda mohon bagi memastikan anda memohon lesen/permit yang bersesuaian.

MAVCOM akan hanya menilai permohonan anda sebaik sahaja menerima permohonan bertulis, dokumen sokongan serta bayaran yang berkaitan.

Permohonan bagi Sijil Pengendali Udara (AOC) hendaklah dikemukakan kepada Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

 

Menghubungi Suruhanjaya

1. Bagaimana saya boleh menghubungi MAVCOM?

Bagi aduan pengguna, anda boleh gunakan borang dalam talian kami. Bagi sebarang pertanyaan berkenaan dengan Bahagian VII (Persaingan), Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015, sila e-mel kepada: competition@mavcom.my. Bagi sebarang pertanyaan, anda boleh e-mel kami di enquiries@mavcom.my atau telefon kami di +603 2772 0600.