Ruang Berita / Kenyataan Media / MAVCOM dan MOTAC memperingatkan jemaah umrah untuk berwaspada apabila merancang ibadah umrah
MAVCOM dan MOTAC memperingatkan jemaah umrah untuk berwaspada apabila merancang ibadah umrah
Kuala Lumpur, 5 Januari 2017: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (“MAVCOM” atau “Suruhanjaya”) bersama dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (“MOTAC”) ingin menasihati ejen-ejen pelancongan yang menawarkan pakej umrah serta penumpang penerbangan yang merancang untuk membuat ibadah umrah supaya berwaspada apabila membuat urusan perjalanan umrah mereka.
MAVCOM dan MOTAC telah menerima maklumat bahawa Ritz Airline Berhad (“Ritz Airlines”) telah menandatangani Perjanjian Memorandum Persefahaman (“MoU”) bersama Marwa Vacations untuk mengendalikan sebanyak 32 penerbangan umrah (Kuala Lumpur – Jeddah; Kuala Lumpur – Madinah). Berdasarkan sebuah artikel berita, Ritz Airlines merancang untuk memulakan operasi penerbangan mulai Februari 2017 dengan menawarkan tiket pergi dan balik berjumlah RM2,950.
Sebuah entiti adalah diwajibkan untuk mempunyai, antara lainnya, sebuah Lesen Perkhidmatan Udara (“ASL”) atau Permit Perkhidmatan Udara (“ASP”) yang sah untuk membawa melalui udara atau menggunakan mana-mana pesawat bagi membawa penumpang, mel atau kargo untuk sewa atau upah dalam perjalanan berjadual atau tidak berjadual di antara dua tempat atau lebih, di mana sekurang-kurangnya salah-satu tempat tersebut adalah Malaysia. Suruhanjaya ingin menekankan bahawa sehingga kini, Ritz Airlines tidak mempunyai sebarang ASL atau ASP yang sah, samaada yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771] atau di bawah Akta Penerbangan Awam 1969 [Akta 3]. Ini bermakna, Ritz Airlines tidak boleh meminta, menuntut, menerima atau mengutip sebarang bayaran, pertimbangan, ganjaran atau faedah yang diperolehi daripada operasi perkhidmatannya atau dari mana-mana pihak; ini juga termasuk lain-lain aktiviti untuk membawa melalui udara atau menggunakan mana-mana pesawat bagi membawa penumpang, mel atau kargo. Oleh yang demikian, Ritz Airlines mungkin telah disalahtafsir oleh khalayak ramai sebagai sebuah syarikat penerbangan yang dibenarkan untuk beroperasi sedemikian melalui artikel tersebut.
Suruhanjaya telah mengeluarkan surat amaran kepada Ritz Airlines untuk berhenti memasarkan perkhidmatannya serta mengiklankan dirinya sebagai sebuah syarikat penerbangan komersial.
Dalam pada itu, MOTAC sedang menyiasat Marwa Vacations kerana syarikat ini tidak dilesenkan oleh Kementerian tersebut. Semua perniagaan pengendali pelancongan dan agensi pelancongan (tiket) adalah dikehendaki oleh Akta Industri Pelancongan 1992 untuk memperoleh lesen di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Beroperasi tanpa lesen merupakan kesalahan dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
MAVCOM dan MOTAC juga ingin menggesa pengguna supaya lebih berwaspada apabila membuat sebarang pelan penerbangan dan perjalanan bagi memastikan mereka tidak menghadapi sebarang kesulitan dalam mengerjakan ibadah umrah mereka.