Pilih satu Halaman
Ruang Berita / Kenyataan Media / Malaysia Merupakan Pasaran Penumpang Penerbangan Ketiga Terbesar di ASEAN

Malaysia Merupakan Pasaran Penumpang Penerbangan Ketiga Terbesar di ASEAN

15 Ogo, 2017

Malaysia Merupakan Pasaran Penumpang Penerbangan Ketiga Terbesar di ASEAN

Gambaran industri utama yang lain dinyatakan dalam Laporan Industri Pertama MAVCOM

KUALA LUMPUR, 15 OGOS 2017 – Industri penerbangan di Malaysia bersiap sedia untuk pertumbuhan berterusan dalam trafik penumpang bagi tahun 2017. Berdasarkan Laporan Industri pertama Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), yang dikenali sebagai Waypoint, pertumbuhan trafik penumpang dalam tahun 2017 dijangka mendahului kadar pertumbuhan dalam tahun 2016 sementara purata tambang terus menyusut sejak tahun 2010.

Diterbitkan pada hari ini, Waypoint bertujuan untuk memberi suatu gambaran keseluruhan mengenai industri penerbangan di Malaysia, berserta ulasan mengenai isu-isu semasa yang memberi kesan kepada sektor ini. Sebagai Laporan Industri pertama Suruhanjaya, ringkasan mengenai latar belakang kajian semula keadaan industri dari tahun 2010 sehingga tahun 2016 turut disertakan dan dianalisa.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, YBhg. Gen. Tan Sri Dato’ Sri Abdullah Ahmad, RMAF, (B), menyatakan bahawa, “Selain daripada mandat kami untuk melindungi hak pengguna, sebahagian tumpuan utama MAVCOM adalah untuk mengawal selia aspek komersial dan ekonomi sektor ini. Laporan Industri Waypoint ini adalah hasil daripada usaha kami untuk memberi gambaran dan pemahaman yang menyeluruh mengenai industri penerbangan di Malaysia. Kami percaya bahawa ketelusan dan kejelasan ini juga akan menggalakkan perkembangan yang lebih kukuh dalam sektor ini.”

Sorotan Utama

Waypoint memberi tumpuan kepada lima perkara khusus yang merupakan ciri utama pemahaman kepada sektor penerbangan, yakni gambaran keseluruhan industri dari segi makro, struktur, pencapaian, serta lapangan terbang dan infrastruktur.

Secara keseluruhannya, industri penerbangan telah menyumbang terhadap ekonomi domestik sebanyak RM5.1 bilion secara purata setiap tahun antara tahun 2010 dan 2015.

Sorotan utama daripada Laporan termasuklah ramalan MAVCOM berhubung pertumbuhan trafik penumpang dalam tahun 2017 pada peratusan antara 7.8 dan 8.8 peratus, bersamaan dengan anggaran antara 98.3 juta dan 99.2 juta penumpang.

Ini adalah berikutan permintaan yang lebih tinggi terhadap pengangkutan udara memandangkan purata tambang menyusut dalam masa beberapa tahun kebelakangan ini, di mana tambang untuk laluan antarabangsa menunjukkan penurunan yang lebih berbanding dengan laluan domestik. Pada masa yang sama, syarikat penerbangan di Malaysia dijangka meningkatkan kapasiti mereka sebanyak 14.3 peratus dalam tahun ini.

MAVCOM juga menyatakan bahawa Malaysia, yang merupakan pasaran penerbangan ketiga terbesar di ASEAN berlandaskan trafik penumpang, telah menampakkan prestasi yang baik dalam rangkaiannya dengan peningkatan daripada 107 pada tahun 2010 kepada 116 pada tahun 2016 berhubung beberapa destinasi antarabangsa yang diberikan oleh lapangan terbang di Malaysia.

Laporan ini juga menyatakan bahawa, walaupun penyedia perkhidmatan tidak berjadual di Malaysia secara kolektif mencatat sebanyak RM158.9 juta dalam keuntungan operasi, hanya firma yang beroperasi berlandaskan sewa atas permintaan dan juga segmen minyak dan gas dilaporkan mencatat batas keuntungan operasi yang positif.

MAVCOM mengambil maklum bahawa perbelanjaan modal penting diperlukan untuk memenuhi keperluan kapasiti bagi lapangan terbang utama di Malaysia, yang telah melebihi kapasiti reka bentuk terminal secara teori atau dijangka akan melebihi kapasiti-kapasiti ini dalam masa lima tahun yang akan datang. Ini termasuk lapangan terbang di Pulau Pinang, Subang, Langkawi, Kota Bharu, Miri, Kuching dan Kota Kinabalu.

“Gambaran yang diperolehi daripada Waypoint menunjukkan bahawa, walaupun terdapat hala tuju yang positif bagi industri penerbangan di Malaysia, suasana operasi dijangka terus mencabar. Sungguhpun demikian, masih terdapat peluang dalam sektor ini dan kami berharap agar ini akan menggalakkan pemain industri menerokai cara ini untuk mencungkil potensi yang wujud dalam sektor ini. Yang lebih penting, kami percaya bahawa terdapat peluang kerjasama dengan industri yang lain seperti sektor pelancongan, yang akan mendahului pertumbuhan keseluruhan dalam ekonomi negara kita,” menurut Abdullah.

Laporan Waypoint akan diterbit dua kali setahun oleh MAVCOM.

Laporan Waypoint boleh didapati dalam bentuk PDF di sini.

Kertas Teknikal mengenai Pengganda Sektor Penerbangan yang disertakan bersama Laporan Waypoint boleh dimuat turun di sini.

Untuk maklumat lanjut, sila lawati halaman Data Industri kami.