Newsroom / Announcements / Penyamarataan Lengkap Caj Perkhidmatan Penumpang (“PSC”) dari tahun 2018
Penyamarataan Lengkap Caj Perkhidmatan Penumpang (“PSC”) dari tahun 2018
Penyamarataan Lengkap Caj Perkhidmatan Penumpang (“PSC”) dari tahun 2018
Suruhanjaya memperkenalkan rangka kerja baharu bagi peningkatkan mutu perkhidmatan lapangan terbang
KUALA LUMPUR, 30 NOVEMBER 2017 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (“Suruhanjaya”) pada hari ini mengumumkan penyamarataan Caj Perkhidmatan Penumpang (“PSC”) yang akan dilaksanakan di semua lapangan terbang di Malaysia.
Susulan daripada pengumuman yang telah dibuat oleh Suruhanjaya pada Oktober 2016 berkenaan pindaan kepada PSC, hanya kadar PSC di klia2 bagi destinasi antarabangsa selain ASEAN lebih rendah dari kadar PSC di semua lapangan terbang lain di Malaysia. Kadar PSC di klia2 untuk destinasi tersebut ditetapkan pada kadar RM50, manakala kadar untuk lapangan-lapangan terbang lain di Malaysia ditetapkan pada kadar RM73.
Bermula 1 Januari 2018, kadar PSC untuk destinasi antarabangsa selain ASEAN di klia2 akan ditetapkan pada RM73, yang merupakan kadar yang disamaratakan berbanding semua lapangan terbang lain di Malaysia. Tiada perubahan terhadap semua kadar PSC bagi lapangan-lapangan terbang lain di Malaysia. Kadar yang dipinda ini akan dikenakan hanya kepada tiket yang dikeluarkan pada dan selepas tarikh 1 Januari 2018. Tiket yang dikeluarkan sebelum tarikh ini tidak akan dikenakan kadar baharu tersebut walaupun tarikh penerbangan dijadualkan pada atau selepas 1 Januari 2018.
PSC Semasa (RM) |
Pindaan PSC, bermula 1 Januari 2018 (RM) |
|||||
Domestik | ASEAN | Antarabangsa (selain ASEAN) |
Domestik | ASEAN |
Antarabangsa |
|
KLIA |
11 |
35 | 73 | 11 | 35 | 73 |
klia2 |
11 |
35 | 50 | 11 | 35 |
73 |
Lapangan-lapangan terbang lain |
11 | 35 | 73 | 11 | 35 |
73 |
Jadual 1 – Kadar PSC yang akan berkuatkuasa bermula 1 Januari 2018
Sumber: MAVCOM
Susulan daripada pindaan terkini, pihak Suruhanjaya mendapati bahawa kadar PSC di Malaysia masih kekal antara yang paling rendah di peringkat global.
MAVCOM, yang telah ditubuhkan pada Mac 2016 sebagai satu entiti bebas yang mengawal selia perkara ekonomi bagi industri penerbangan awam di Malaysia, bertanggungjawab terhadap penetapan caj aeronautik lapangan terbang, termasuk PSC, sebagaimana dalam seksyen 46 Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015.
Sepertimana yang telah diumumkan oleh pihak Suruhanjaya pada bulan Oktober 2016, ciri-ciri utama pindaan terhadap kadar PSC bermula pada tahun 2017 adalah seperti berikut:
- pengenalan kepada kategori baharu PSC yang lebih rendah untuk penerbangan ke negara-negara ASEAN;
- kadar PSC yang sama rata di klia2 dan lapangan-lapangan terbang lain di Malaysia, yang akan diperkenalkan secara berperingkat dengan:
- menyamaratakan secara terus kadar PSC bagi penerbangan domestik dan ASEAN;
- mengurangkan perbezaan di antara PSC antarabangsa jarak jauh (selain ASEAN) di klia2 dan lapangan-lapangan terbang lain di Malaysia; dan
- menjalankan penyemakan PSC dalam masa setahun pada tahun 2017 untuk penyamarataan kadar PSC yang lengkap
- Pindaan kadar domestik dan antarabangsa untuk semua lapangan terbang; dan
- Pembentukan rangka kerja untuk meningkatkan tahap perkhidmatan lapangan terbang di Malaysia.
Pengumuman hari ini melengkapkan proses penyamarataan PSC yang telah dijalankan secara berperingkat di klia2 dengan lapangan terbang Malaysia yang lain. Kadar baharu ini adalah berdasarkan hasil penilaian terhadap semakan yang dibuat oleh pihak Suruhanjaya pada awal tahun 2017 susulan daripada pengumuman yang telah dibuat oleh Suruhanjaya pada Oktober 2016. Hasil penilaian juga telah mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada penggiat industri.
Di samping itu, pihak Suruhanjaya juga sedang membangunkan rangka kerja pengawalseliaan untuk meningkatkan tahap perkhidmatan di lapangan-lapangan terbang di Malaysia, bagi memberi isyarat kepada pengendali lapangan-lapangan terbang di Malaysia untuk meningkatkan tahap perkhidmatan, seperti yang telah diumumkan pada Oktober 2016. Objektif rangka kerja Kualiti Perkhidmatan (Lapangan Terbang QoS) ini adalah untuk meningkatkan tahap keselesaan penumpang di lapangan terbang, memastikan pengendali lapangan-lapangan terbang mengutamakan tahap perkhidmatan pengguna serta meningkatkan kepuasan pengguna (user experience) lapangan terbang yang lebih baik untuk syarikat penerbangan, pengendali darat dan pengguna lapangan terbang lain di Malaysia.
Rangka kerja Lapangan Terbang QoS telah dibangunkan dengan mengambil kira proses rundingan bersama industri dan akan menjadi penanda aras ke atas tahap perkhidmatan dan petunjuk prestasi untuk pelbagai tanda aras kepuasan pengguna (user experiences) di lapangan terbang termasuk isu-isu seperti kebersihan tandas, tanda jalan (wayfinding), penyediaan dan kualiti infrastruktur, tempoh giliran dan kelewatan bagasi. Sekiranya tahap perkhidmatan lapangan terbang ini tidak dikekalkan atau dicapai, pengendali lapangan terbang tersebut akan dikenakan penalti kewangan berjumlah sehingga 5.0 peratus daripada pendapatan aeronautik lapangan terbang mereka. Rangka kerja QoS Lapangan Terbang ini akan dilaksanakan secara berperingkat di semua lapangan terbang di Malaysia, bermula dengan KLIA dan klia2 pada Q3 2018.
Butiran lanjut mengenai Rangka Kerja Lapangan Terbang QoS akan diperkenalkan kepada umum dalam waktu terdekat.
Pengerusi Eksekutif MAVCOM, YBhg. Gen. Tan Sri Dato’ Sri Abdullah Ahmad, RMAF (B), berkata, “Suruhanjaya telah menjalankan proses penilaian yang jitu sebelum mengambil keputusan untuk menyamaratakan PSC di seluruh lapangan-lapangan terbang di Malaysia yang kami percaya adalah lebih adil. Selain daripada memastikan caj-caj lapangan terbang di Malaysia masih kekal antara yang paling rendah di rantau ini, kami menjangkakan langkah penyamarataan PSC ini membolehkan penguntukkan subsidi tersebut digunakan bagi tujuan-tujuan penting yang lain. Penyamarataan lengkap PSC ini akan memajukan Malaysia di persada penerbangan antarabangsa dan kami berharap dapat memperkukuhkan lagi sektor penerbangan Malaysia.
“Rangka Kerja Lapangan Terbang QoS ini merupakan salah satu mekanisme yang diperkenalkan oleh MAVCOM untuk terus memperkasakan pengguna. Kami berharap dapat menguatkuasakan rangka kerja Lapangan Terbang QoS bermula pada tahun 2018 sebagai sebahagian daripada usaha kami untuk melindungi pengguna dan memastikan user experience bertambah baik secara keseluruhan. Ia juga bertujuan untuk meningkatkan tahap perkhidmatan di lapangan terbang disamping memastikan pengendali lapangan terbang mengambil tanggungjawab untuk meningkatkan lagi tahap perkhidmatan mereka.
“Kami amat fokus terhadap impak jangka panjang dan mampan terhadap hasil kerja yang kami laksanakan. Hasil kerja dari semakan kadar PSC dan rangka kerja Lapangan Terbang QoS bertujuan untuk menjaga kepentingan pengguna, meningkatkan lagi user experience, menggalakkan persaingan secara adil, memastikan pengendali lapangan-lapangan terbang terus meningkatkan tahap perkhidmatan mereka serta mengangkat status Malaysia sebagai hab penerbangan serantau. Pada masa yang sama, Suruhanjaya akan terus berusaha untuk melindungi hak-hak pengguna melalui Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016,” tambah Abdullah.