Pilih satu Halaman

Ruang Berita / Kenyataan Media / MAVCOM Menyangkal Tuduhan oleh Tan Sri Tony Fernandes

MAVCOM Menyangkal Tuduhan oleh Tan Sri Tony Fernandes

15 Mei, 2018

Suruhanjaya telah membuat laporan polis

KUALA LUMPUR, 15 MEI 2018 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (“MAVCOM”), berikutan kenyataan awal kami bertarikh 13 Mei 2018 ingin menyatakan bahawa:

  • Suruhanjaya menyangkal tuduhan bahawa Suruhanjaya memberitahu AirAsia Berhad (“AirAsia”) untuk membatalkan semua 120 penerbangan tambahan yang dipohon oleh AirAsia semasa tempoh Pilihan Raya Umum Malaysia ke-14 (“PRU14”).
  • Suruhanjaya pada hakikatnya telah meluluskan semua 66 penerbangan tambahan yang telah dipohon oleh AirAsia pada 23 April 2018.
  • Suruhanjaya tidak pernah mengeluarkan apa-apa arahan kepada AirAsia atau mana-mana syarikat penerbangan lain untuk mengurangkan atau membatalkan apa-apa penerbangan yang telah memenuhi keperluan pengawalseliaan.
  • MAVCOM berpendapat tuduhan yang dibuat oleh Tan Sri Tony Fernandes adalah satu perkara yang serius dan telah membuat laporan polis.

Untuk makluman lanjut, semua permohonan penerbangan tambahan yang diterima oleh Suruhanjaya adalah dibuat melalui Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (“CAAM”). AirAsia pada 13 April 2018 dan 18 April 2018, telah meminta sebanyak 54 penerbangan tambahan (27 perjalanan pergi balik dengan jumlah maksimum penumpang sebanyak 13,660) yang akan beroperasi semasa PRU14 dan penerbangan tambahan tersebut telah diluluskan oleh MAVCOM pada 17 April 2018 dan 18 April 2018. Pada 20 April 2018 (Jumaat) jam 3.20 petang, AirAsia selanjutnya telah meminta 86 penerbangan tambahan (43 perjalanan pergi balik dengan jumlah penumpang maksimum sebanyak 15,480) yang akan beroperasi semasa PRU14.

Walau bagaimanapun, pada 23 April 2018 (Isnin) jam 8.17 pagi, Suruhanjaya telah menerima permohonan penerbangan yang disemak semula oleh AirAsia untuk 66 penerbangan tambahan (33 perjalanan pergi balik dengan jumlah penumpang maksimum  sebanyak 12,274) bagi tempoh 6-13 Mei 2018, bagi tujuan menggantikan permohonan awalnya. Dalam e-mel AirAsia kepada Suruhanjaya, AirAsia menyatakan bahawa permohonannya yang terdahulu hendaklah diabaikan. Suruhanjaya telah mengambil maklum permohonan yang disemak semula oleh AirAsia dan selanjutnya meluluskan permohonan tersebut pada hari yang sama.

Selain daripada AirAsia, setakat 24 April 2018, Suruhanjaya telah meluluskan permohonan penerbangan tambahan oleh syarikat penerbangan tempatan yang lain berjumlah 166 penerbangan (83 perjalanan pergi balik dengan jumlah penumpang maksimum sebanyak 26,434).

Pada 19 April 2018 dan 20 April 2018, YBhg. Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Abdullah Ahmad TUDM (B) selaku Pengerusi Eksekutif MAVCOM telah berkomunikasi dengan semua syarikat penerbangan untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung sama ada terdapat permintaan yang memadai untuk penerbangan tambahan yang diminta. Suruhanjaya ingin sekali lagi memberi penekanan bahawa Suruhanjaya tidak mengeluarkan apa-apa arahan kepada mana-mana syarikat penerbangan untuk mengurangkan atau membatalkan apa-apa penerbangan. Hanya AirAsia membuat keputusan untuk mengurangkan permohonan penerbangan tambahan manakala Firefly, Malaysia Airlines dan Malindo Air mengekalkan permohonan asal mereka.

Berdasarkan fakta yang dinyatakan, Suruhanjaya berpendapat tuduhan Tan Sri Tony Fernandes bahawa MAVCOM telah memaklumkan AirAsia untuk membatalkan “120 penerbangan tambahan yang akan membawa 26,000 penumpang” adalah tidak berasas dan berniat jahat.

Suruhanjaya telah diberi mandat di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771] untuk bertindak sebagai pengawal selia bebas hal ekonomi dan komersial berhubung industri penerbangan awam di Malaysia. Matlamatnya adalah untuk mempromosikan industri penerbangan awam yang berdaya maju dari segi komersial, berorientasikan pengguna dan berdaya tahan agar dapat menyokong pertumbuhan ekonomi negara. Suruhanjaya tidak sekali pun menyalahgunakan kuasa yang diberi oleh Akta 771 atau gagal memenuhi matlamatnya dalam perkara ini. Walhal, Suruhanjaya menunaikan kewajipannya dalam tempoh masa yang singkat bagi memudahkan aktiviti syarikat penerbangan untuk tujuan PRU14 yang telah diadakan pada 9 Mei 2018.

Tambahan pula, berhubung kenyataan Tan Sri Tony Fernandes bahawa “dalam masa 24 jam, kami dipanggil oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia“, Suruhanjaya menafikan bahawa mana-mana kakitangan AirAsia telah dipanggil pada bila-bila masa (antara 17 April – 13 Mei 2018) untuk berjumpa dengan Suruhanjaya mengenai perkara ini.

MAVCOM telah membuat laporan polis mengenai perkara ini.