Pilih satu Halaman

Ruang Berita / Kenyataan Media / MAVCOM optimistik prestasi industri akan kekal positif pada tahun 2018

MAVCOM optimistik prestasi industri akan kekal positif pada tahun 2018

28 Mei, 2018

MAVCOM Optimistik Prestasi Industri Akan Kekal Positif Pada Tahun 2018
Trafik Penumpang Penerbangan Malaysia Dijangka Akan Melebihi 100 Juta

KUALA LUMPUR, 28 MEI 2018 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah menerbitkan Waypoint, iaitu Laporan Industri dwi-tahunan yang pertama bagi tahun 2018 yang merupakan sebahagian daripada komitmen Suruhanjaya untuk memupuk pemahaman yang lebih menyeluruh mengenai industri penerbangan di Malaysia.

Laporan Waypoint memberi tumpuan kepada perkara-perkara khusus seperti tinjauan industri penerbangan, gambaran makro sektor penerbangan, analisa berkenaan struktur dan prestasi industri, serta kajian semula mengenai sektor perkhidmatan pengendalian darat di Malaysia.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, YBhg. Gen. Tan Sri Dato’ Sri Abdullah Ahmad, RMAF (B), berkata, “Kami dengan sukacitanya menerbitkan Laporan Industri Waypoint, selaras dengan matlamat kami untuk terus memacu pembangunan industri penerbangan di Malaysia. Sebagai pengawal selia ekonomi bagi industri penerbangan, kami percaya bahawa ia merupakan sebahagian daripada mandat kami untuk mendedahkan pemain-pemain industri, para pelabur, agensi-agensi berkaitan, orang awam dan pihak-pihak berkepentingan yang lain dengan pandangan-pandangan terperinci berkenaan perkembangan semasa industri penerbangan di Malaysia. Kami juga berharap Laporan ini akan memberi ruang kepada pihak-pihak berkepentingan yang relevan untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai peluang-peluang yang mungkin berada dalam sektor ini.”

Sorotan penting dari Laporan Waypoint

  • Industri mencatatkan prestasi yang kukuh pada tahun 2017 berbanding tahun 2016, didukung oleh pertumbuhan trafik penumpang penerbangan Malaysia sebanyak 8.1 peratus pada tahun demi tahun, bersamaan dengan 99.1 juta penumpang antarabangsa dan domestik. Bagi tahun 2018, MAVCOM menjangkakan pertumbuhan trafik menjangkau dari 6.5 peratus kepada 7.0 peratus, di mana jumlah penumpang penerbangan di Malaysia akan melebihi 100 juta buat julung kalinya (Rujuk Gambar Rajah 1). Syarikat-syarikat penerbangan Malaysia juga telah meningkatkan kadar pertumbuhan Perolehan Tempat Duduk Kilometer Tersedia (RASK) melebihi kadar pertumbuhan Kos Tempat Duduk Kilometer Tersedia (CASK) yang membolehkan pengecilan jurang negatif antara RASK dan CASK sebanyak 42.5 peratus pada tahun 2017 berbanding tahun sebelumnya. Di antara tahun 2014 dan 2017, daripada kerugian sebanyak RM0.5 bilion pada tahun 2014, keuntungan operasi bagi industri penerbangan melalui pemulihan yang ketara menghasilkan peningkatan ke RM1.6 bilion pada tahun 2017. Setakat akhir Disember 2017, modal pasaran syarikat-syarikat penerbangan juga meningkat sebanyak 38.4 peratus kepada RM25.6 bilion dari RM18.5 bilion pada awal tahun 2014 mengatasi prestasi FTSE Bursa Malaysia KLCI sebanyak 50.5 peratus di antara 2014 dan 2017. Pertumbuhan kukuh ini dipacu oleh permintaan penerbangan yang tinggi, kawalan inventori tempat duduk yang lebih baik dan persekitaran harga bahan api yang rendah.

Gambar Rajah 1: Trafik Penumpang, 2010 – 2018 (Ramalan)


Sumber: Anggaran MAVCOM, Pemegang-pemegang Lesen Pengendali Aerodrom (AOL)

  • Berdasarkan unjuran yang dibuat oleh agensi-agensi antarabangsa termasuk IATA, harga minyak mentah dijangka akan meningkat di antara 10.7 peratus hingga 30.5 peratus pada tahun 2018 berbanding pada tahun sebelumnya. Ini mungkin akan memberi tekanan ke atas keuntungan syarikat penerbangan, yang sedia sensitif terhadap persekitaran penerbangan tambang murah yang kompetitif.
  • Pada tahun 2017, rangkaian udara Malaysia bertambah baik dengan pertambahan lapan destinasi antarabangsa dengan anggaran tempat duduk sebanyak 360,000. Rantau Asia telah dan akan terus menjadi fokus utama bagi pembangunan rangkaian udara Malaysia, berdasarkan fakta bahawa 59.8 peratus hak trafik udara yang diberikan oleh MAVCOM kepada syarikat-syarikat penerbangan Malaysia pada tahun 2017 adalah untuk laluan ke ASEAN, China dan India. Selain itu, sebanyak 56.4 peratus lapangan terbang yang dihubungkan dengan Malaysia merupakan lapangan-lapangan terbang di rantau Asia Pasifik yang bertumpu untuk memberi khidmat penerbangan jarak dekat dan sederhana di seluruh destinasi di rantau ini.
  • Secara keseluruhannya, pengendali-pengendali perkhidmatan komersial yang tidak berjadual telah melaporkan peningkatan margin keuntungan operasi sebanyak 16.7 peratus pada tahun 2017, berbanding 10.4 peratus pada tahun 2016. Namun demikian, prestasi kewangan bagi setiap sub-segmen adalah pelbagai di mana hanya kerja udara (pembenihan awan atau lebih dikenali sebagai cloud seeding, dan pemetaan), minyak dan gas, dan sub-segmen perkhidmatan penerbangan sewa khas yang meraih keuntungan.

Abdullah menambah, “Secara keseluruhannya, industri penerbangan Malaysia berada pada kedudukan yang baik bagi mengekalkan pertumbuhan, walaupun berdepan pelbagai cabaran yang akan dihadapi seperti keuntungan operasi yang semakin mengecil dan kenaikan harga minyak. Dua tahun yang lepas merupakan tahun-tahun yang kukuh bagi industri penerbangan dan ini boleh dilihat melalui pertumbuhan trafik penumpang penerbangan, keuntungan operasi industri dan modal pasaran syarikat-syarikat penerbangan awam yang tersenarai di Bursa Malaysia, terutama sekali apabila dibandingkan dengan tempoh lampau yang terdekat. Cabaran-cabaran ini akan terus kekal, namun pihak MAVCOM masih optimistik bahawa prestasi industri yang positif seperti tahun-tahun sebelumnya akan berterusan pada tahun 2018.”

Sebuah Kertas Teknikal berkenaan rangkaian udara juga telah diterbitkan oleh Suruhanjaya seiring dengan Laporan Waypoint. Rangkaian udara merupakan salah satu komponen penting bagi menggalakkan pelancongan dan perdagangan untuk ekonomi sesebuah negara, di mana 54.0 peratus pelancong antarabangsa menggunakan pengangkutan udara dan 35.0 peratus nilai perdagangan dunia, yang dilihat dari segi jumlah, dibawa secara udara.

Salah satu sorotan penting yang terkandung di dalam kertas teknikal ini adalah berkenaan rangkaian udara Malaysia. Bandar-bandar yang mempunyai keterhubungan udara yang tinggi dianggap bagus dalam hierarki bandar-bandar global. Oleh yang demikian, untuk meningkatkan rangkaian udara Malaysia, Suruhanjaya melalui laporan ini mula mengenal pasti kedudukan kompetitif Malaysia dari segi keterhubungan udara yang kemudiannya dibandingkan dengan negara jiran-jiran ASEAN. Secara purata, kedudukan keterhubungan Negara Anggota ASEAN kekal sama di antara tahun 2016 dan 2017.

Kertas Teknikal ini juga membuat kesimpulan bahawa dari segi destinasi-ke-destinasi atau point-to-point, Malaysia mempunyai rangkaian keempat tertinggi di ASEAN selepas Thailand, Singapura dan Indonesia. Ini kerana Indonesia, Singapura dan Thailand mempunyai rangkaian udara yang lebih tinggi ke lapangan-lapangan terbang yang mempunyai bahagian trafik antarabangsa (International traffic share) yang lebih tinggi, di dalam dan di luar Asia Pasifik. Selain itu, Singapura dan Thailand mempunyai sambungan kepada lebih banyak destinasi serta memiliki lebih banyak tempat duduk ke destinasi-destinasi tersebut berbanding Malaysia.

Dari segi penumpang transit, Lapangan Terbang Antarabangsa (KUL) merupakan lapangan terbang hab antarabangsa yang kedua terbesar di ASEAN selepas Lapangan Terbang Changi Singapura (SIN). Sehingga tahun 2017, KUL merupakan hab antarabangsa bagi trafik dalam Asia (intra-Asia) yang menghubungkan penumpang bagi penerbangan dengan negara China, India, Thailand dan Indonesia. Ini merupakan anjakan dari posisi KUL pada tahun 2010 yang dulunya menghubungkan penumpang ke Australia, Eropah, dan Asia Tenggara.

Laporan Waypoint boleh didapati dalam bentuk PDF di sini.

Kertas Teknikal mengenai Mentakrif dan Menilai Rangkaian Udara yang disertakan bersama Laporan Waypoint boleh dimuat turun di sini.

Untuk maklumat lanjut, sila lawati halaman Data Industri kami.

Laporan-laporan Waypoint berserta Kertas Teknikal diterbitkan sebanyak dua kali setahun dan informasi selanjutnya boleh didapati di laman web MAVCOM, www.mavcom.my.