Pilih satu Halaman

Ruang Berita / Kenyataan Media / Pelancaran FlySmart oleh Menteri Pengangkutan

Pelancaran FlySmart oleh Menteri Pengangkutan

28 Jun, 2018

Pelancaran FlySmart oleh Menteri Pengangkutan
MAVCOM memperjuangkan hak pengguna di Malaysia

SEPANG, Jun 28, 2018 – FlySmart, salah satu inisiatif yang diterajui oleh MAVCOM bagi memperkasakan hak pengguna penerbangan, telah dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan, Yang Berhormat Anthony Loke Siew Fook di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada hari ini.

Pada majlis tersebut, YB Anthony Loke berkata, “Bagi tujuan perlindungan hak dan kepentingan pengguna, MAVCOM telah memperkenalkan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) 2016 pada Julai 2016 yang menyatakan peruntukan yang lebih telus dan jelas mengenai hak pengguna sebagai penumpang penerbangan.”

“Matlamat utama MAVCOM adalah untuk menjadikan industri penerbangan awam di Malaysia berdaya maju dari segi komersial, berorientasikan pengguna dan berdaya tahan, agar dapat menyokong pertumbuhan ekonomi negara.”

Sejak penubuhannya, Suruhanjaya telah berusaha untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pengguna mengenai hak mereka sebagai penumpang udara dan membantu pengguna membuat keputusan yang lebih bijak. Kajian pengguna yang telah dijalankan tahun lepas oleh pihak Suruhanjaya menunjukkan bahawa penumpang udara di Malaysia lebih berminat untuk mempelajari hak-hak mereka melalui media yang lebih menarik, interaktif dan mesra teknologi.

Suruhanjaya telah menyelesaikan 99.3 peratus daripada 3,504 aduan yang telah diterima semenjak penubuhannya. Kebanyakan aduan adalah berkaitan dengan pemprosesan bayaran balik, kehilangan, kerosakan dan kelewatan bagasi, serta penundaan penerbangan.

“Bagi tujuan meningkatkan keberkesanan dalam mendidik pengguna dan mewujudkan kesedaran mengenai hak-hak penumpang, saya dengan besar hati ingin mengumumkan pelancaran FlySmart, sebuah platform yang diperkenalkan oleh MAVCOM bagi membolehkan pengguna mendapatkan maklumat dan mengetahui hak-hak mereka,” tambah YB Anthony Loke.

FlySmart mempunyai beberapa inisiatif yang akan dilancarkan melalui beberapa fasa. Ianya akan merangkumi halaman media sosial khusus, siri rakaman video yang memperincikan hak-hak pengguna serta aplikasi mudah alih khususnya mengenai perjalanan penerbangan.

“Walaupun FlySmart bertujuan memastikan penumpang menyedari hak mereka, pemain industri dan syarikat penerbangan juga perlu meneliti isu-isu yang dibangkitkan serta mengambil langkah-langkah proaktif untuk mengurangkan isu-isu ini sebaik mungkin. Adalah diharapkan dengan adanya FlySmart, ianya akan mendorong syarikat penerbangan dan pihak lapangan terbang supaya lebih bertanggungjawab dan responsif terhadap isu-isu kepetingan pengguna bagi meningkatkan lagi kecekapan industri penerbangan di Malaysia,” kata YB Anthony Loke.

Acara majlis pelancaran pada hari ini menyaksikan pengenalan inisiatif FlySmart yang pertama iaitu laman web FlySmart. Laman web yang tersedia dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris ini menawarkan akses cepat dan mudah dalam menyalurkan maklumat penting mengenai hak pengguna serta tip yang berfaedah dan video bermaklumat khususnya untuk para penumpang udara.

Laman web ini juga bertindak sebagai landasan di mana pengguna boleh saling membantu antara satu sama lain melalui kisah-kisah para pengembara yang telah dibantu oleh MAVCOM dan bagaimana mereka melaksanakan hak mereka. Pengguna juga akan dapat mengemukakan aduan mereka melalui laman web tersebut.

Pengguna yang berminat boleh mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai FlySmart dengan melayari laman web FlySmart di www.flysmart.my.