Ruang Berita / Kenyataan Media / Pengerusi Eksekutif Baru Bagi MAVCOM
Pengerusi Eksekutif Baru Bagi MAVCOM
KUALA LUMPUR, 20 JULAI 2018 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (“MAVCOM”) mengalu-alukan pelantikan Dr. Nungsari Ahmad Radhi sebagai Pengerusi Eksekutif yang, seperti yang diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Yang Berhormat Anthony Loke Siew Fook.
Sepanjang kerjaya beliau selama 30 tahun, beliau telah berkhidmat dalam bidang akademik, penasihat korporat, penyelidikan ekonomik dan penasihat dasar. Beliau memegang ijazah kedoktoran PhD dalam bidang Ekonomi daripada Purdue University.
Sebelum pelantikan beliau sebagai Pengerusi Eksekutif, Dr. Nungsari telah berkhidmat sebagai salah seorang Anggota Suruhanjaya di MAVCOM sejak penubuhannya pada 1 Mac 2016. Beliau juga merupakan Pengarah Urusan Prokhas Sdn. Bhd., sebuah syarikat di bawah Kementerian Kewangan dan juga merupakan salah seorang ahli lembaga pengarah Pengurusan Danaharta Nasional Berhad, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad dan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad.
Dengan pelantikan Dr. Nungsari, beliau akan mengambil alih kesemua tugas eksekutif yang dilaksanakan oleh bekas Pengerusi Eksekutif iaitu YBhg. Jen. Tan Sri Dato’ Sri Abdullah Ahmad, TUDM (B). Pelaksanaan tugas beliau akan disokong oleh Anggota Suruhanjaya dan pengurusan kanan MAVCOM.
YBhg. Jen. Tan Sri Dato’ Sri Abdullah Ahmad yang terdahulunya memegang jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif MAVCOM telah meninggalkan Suruhanjaya awal bulan Julai. Suruhanjaya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada YBhg. Jen Tan Sri Dato ‘Sri Abdullah Ahmad di atas kepimpinannya sejak dua tahun lalu.