Pilih satu Halaman

Ruang Berita / Kenyataan Media / Timbalan Menteri Pengangkutan Melancarkan AeroFile

Timbalan Menteri Pengangkutan Melancarkan AeroFile

14 Ogo, 2018

Timbalan Menteri Pengangkutan Melancarkan AeroFile
MAVCOM menerajui penambahbaikan yang memberi manfaat kepada industri

 

KUALA LUMPUR, 14 Ogos, 2018 AeroFile, sebuah inisiatif yang merangkumi kerjasama pelbagai agensi dan diterajui oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), telah dilancarkan hari ini oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Yang Berhormat Dato’ Kamarudin Jaffar.

AeroFile merupakan sebuah sistem pemfailan automatik bagi semua permohonan permit pendaratan untuk penerbangan komersial yang beroperasi ke atau dari Malaysia. Permohonan yang dahulunya dihantar melalui e-mel dan faks kini akan diproses melalui AeroFile.

Semua maklumat yang relevan akan disimpan ke dalam sistem dan sebagai hasilnya, sistem ini akan mencetuskan pelbagai penapis automatik (automatic filters) untuk memudahcara proses permohonan. Dengan AeroFile, syarikat penerbangan tidak lagi perlu mengemukakan dokumen-dokumen sokongan bagi setiap permohonan mereka berulang kali seperti yang diamalkan sebelum ini.

AeroFile telah dibangunkan untuk mengurangkan bebanan kertas kerja, meningkatkan ketelusan serta memendekkan masa pemprosesan sambil mengurangkan ruang bagi kesilapan yang boleh terhasil daripada kecuaian manusia. Kesemua penambahbaikan adalah tanpa sebarang kos kepada syarikat-syarikat penerbangan.

Syarikat penerbangan asing dan tempatan di Malaysia (yang mendarat dan berlepas dari Malaysia) akan menggunakan sistem baru ini bagi penerbangan komersial berjadual dan tidak berjadual. AeroFile juga boleh digunakan untuk permohonan yang melibatkan penerbangan komersial yang melalui ruang udara Malaysia. Program perintis AeroFile telah dijalankan dari 1 hingga 30 April 2018 dan dilancarkan pada 1 Ogos.

Semasa ucapannya di majlis pelancaran AeroFile, YB Dato ‘Kamarudin Jaffar, berkata, “Sektor penerbangan yang kukuh adalah mustahak bagi Malaysia. Adalah penting bahawa teknologi digunakan dengan sewajarnya bagi memudahcara perkembangan sektor. Saya dengan sukacitanya melancarkan AeroFile, yang menandakan suatu pencapaian penting dalam pembangunan industri penerbangan negara.”

Sistem ini juga akan mencetuskan beberapa peringatan kepada syarikat penerbangan dan pihak berkenaan berhubung tempoh sah kesemua dokumen operasi syarikat penerbangan, termasuklah pengesahan bagi Lesen Perkhidmatan Udara (ASL), Permit Perkhidmatan Udara (ASP) dan Hak Trafik Udara (ATR).

“Memandangkan jangkauan bidang kuasa sistem AeroFile yang merangkumi pelbagai agensi, saya difahamkan bahawa MAVCOM telahpun bekerjasama dengan agensi-agensi lain yang bertanggungjawab ke atas permit laluan udara dan pendaratan, iaitu Pihak Berkuasa Penerbangan Awam permohonan Malaysia (CAAM) dan National Slot Coordination Malaysia (NSCM), untuk membangunkan platform AeroFile ini,” tambah YB Dato’ Kamarudin Jaffar.

Pembangunan AeroFile mengambil masa dan melibatkan perjumpaan yang kerap diantara pelbagai pihak berkepentingan untuk mengenal pasti isu dan mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada pihak-pihak berkepentingan. Diantara pihak yang MAVCOM telah berjumpa untuk mendapatklan maklum balas termasuklah syarikat penerbangan tempatan seperti Malaysia Airlines Berhad, AirAsia Group, Malindo Air, Firefly, Raya Airways, dan syarikat penerbangan asing seperti Singapore Airlines dan Cathay Pacific.

Selain fungsinya sebagai platform untuk permohonan permit pendaratan, AeroFile juga bertindak sebagai sumber maklumat penting bagi operasi sebuah syarikat penerbangan. Ianya mengandungi senarai terkini pengendali darat berlesen bagi semua lapangan terbang di Malaysia, waktu operasi lapangan terbang, pesawat-pesawat yang disahkan oleh International Civil Aviation Organisation (ICAO) serta senarai aerodrom di seluruh dunia yang didaftarkan di bawah ICAO.

“Kementerian yakin Suruhanjaya ini akan terus memperkenalkan inisiatif-inisiatif yang membawa industri penerbangan tempatan ke peringkat seterusnya untuk manfaat pemain industri, negara dan orang awam,” kata YB Dato ‘Kamarudin Jaffar.