Pilih satu Halaman

Newsroom / News Releases / MAVCOM mengeluarkan edisi ketiga Laporan Waypoint dan ulasan mengenai Belanjawan 2019

MAVCOM mengeluarkan edisi ketiga Laporan Waypoint dan ulasan mengenai Belanjawan 2019

22 Nov, 2018

Trafik Penumpang Malaysia Akan Mencecah 100 Juta Buat Julung Kalinya Meskipun Kadar Pertumbuhan yang Lebih Perlahan
MAVCOM Mengulas Berkenaan Cadangan REIT Lapangan Terbang dan Levi Pelepasan

KUALA LUMPUR, 22 NOVEMBER 2018 – Trafik penumpang Malaysia pada tahun 2018 dijangka akan meningkat antara 100.3 juta hingga 101.1 juta penumpang pada kadar pertumbuhan antara 1.1 peratus hingga 2.2 peratus pada tahun yang sama. Edisi ketiga Laporan Industri Waypoint yang diterbitkan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) melaporkan kadar pertumbuhan rendah satu angka ini adalah berpunca daripada pengurangan kapasiti penerbangan domestik oleh syarikat-syarikat penerbangan Malaysia. Pada masa yang sama, pertumbuhan trafik antarabangsa dijangka akan melangkaui pertumbuhan trafik domestik bagi tahun ketiga berturut-turut.

Laporan Industri yang terbaru ini memberi tumpuan kepada perkara-perkara seperti tinjauan industri penerbangan, gambaran makro sektor penerbangan, analisa berkenaan struktur dan prestasi industri, serta kajian semula mengenai sektor perkhidmatan pengendalian darat di Malaysia.

Dr. Nungsari Ahmad Radhi, Pengerusi Eksekutif MAVCOM, menerangkan bahawa “Laporan Industri Waypoint ini merupakan sebahagian daripada komitmen Suruhanjaya sebagai pengawalselia ekonomi dan komersial bagi sektor penerbangan, dengan matlamat untuk mewujudkan industri penerbangan Malaysia yang lebih berdaya maju dan memupuk pemahaman yang lebih mendalam mengenai sektor ini secara keseluruhan.”

Sorotan penting dari Laporan Waypoint

Malaysia telah mencatat jumlah penumpang penerbangan antarabangsa dan domestik sebanyak 50.3 juta pada separuh tahun pertama 2018, di mana kadar pertumbuhan ini adalah lebih rendah daripada jangkaan awal MAVCOM antara 6.5 peratus hingga 7.0 peratus. Pertumbuhan ini didorong oleh trafik penumpang antarabangsa bagi separuh tahun pertama 2018, di mana syarikat-syarikat penerbangan tempatan telah menambah kapasiti tempat duduk bagi penerbangan antarabangsa sebanyak 8.8 peratus. Pada masa yang sama, kapasiti tempat duduk domestik menurun sebanyak 4.0 peratus berpunca dari pengurangan kapasiti penerbangan domestik sebanyak 28.1 peratus melalui pelan rasionalisasi rangkaian laluan oleh dua syarikat penerbangan Malaysia.

Pada tahun 2019, pertumbuhan trafik penumpang penerbangan dijangka akan berada pada tahap 2.2 peratus hingga 3.3 peratus, didukung oleh penggunaan swasta dan harga tiket penerbangan yang berpotensi untuk menjadi lebih rendah, berikutan jangkaan bahawa syarikat-syarikat penerbangan Malaysia akan mengubah fokus rangkaian laluan  ke destinasi-destinasi jarak pendek dan sederhana, berbanding ke destinasi-destinasi jarak jauh.

Syarikat-syarikat penerbangan Malaysia telah mencatatkan peningkatan sebanyak 5.3 peratus dari segi tambang purata pada separuh tahun pertama 2018 bagi pasaran domestik serta peningkatan faktor beban purata sebanyak 80.2 peratus, berikutan permintaan yang tinggi dan kapasiti domestik yang lebih rendah. Di samping itu, permintaan bagi penerbangan antarabangsa pada separuh tahun 2018 adalah lebih rendah, di mana faktor beban purata dicatatkan sebanyak 80.5 peratus berbanding faktor beban purata tahun sebelumnya iaitu sebanyak 84.5 peratus. Sejajar dengan tambang purata yang telah diteliti, syarikat-syarikat penerbangan Malaysia dijangka akan lebih berwaspada dengan kapasiti tempat duduk yang dijangka akan meningkat sebanyak 2.6 peratus sahaja pada tahun 2019, didukung oleh permintaan dari pasaran domestik.

Selain itu, pertumbuhan perolehan tempat duduk kilometer tersedia (RASK) pada separuh tahun pertama 2018 adalah mendatar, manakala kos tempat duduk kilometer tersedia (CASK) meningkat sebanyak 0.5 peratus. Angka ini dicapai berdasarkan kenaikan harga bahan api jet global sebanyak 26.0 peratus pada tempoh yang sama. Dengan menolak keuntungan daripada pelupusan sebuah subsidiari, syarikat-syarikat penerbangan Malaysia telah melaporkan kerugian operasi sebanyak RM1.2 juta bagi tempoh enam bulan pertama tahun 2018. Senario ini dijangka akan berterusan berikutan ketidakstabilan harga minyak jet global dan jangkaan prospek pertumbuhan yang lebih lemah di rantau-rantau tertentu, tidak termasuk rantau Asia Pasifik.

Meskipun jumlah kedatangan pelancong ke Malaysia mencatatkan penurunan sebanyak 1.7 peratus pada dua suku pertama tahun ini, ini merupakan peningkatan yang ketara berbanding penurunan sebanyak 7.3 peratus yang dicatatkan pada suku keempat 2017. Penurunan bilangan pelancong dari Singapura merupakan faktor utama penurunan ketibaan pelancong secara keseluruhan pada separuh tahun pertama 2018, di mana pelancong dari Singapura mewakili 40.8 peratus daripada jumlah ketibaan pelancong ke Malaysia. Waypoint juga menyentuh mengenai peningkatan bilangan pelancong dari China (35.9 peratus), Indonesia (15.3 peratus), Korea Selatan (33.7 peratus), India (14.7 peratus) dan Taiwan (20.9 peratus), di mana pelancong dari negara yang disenaraikan menyumbang kepada 30.4 peratus daripada jumlah ketibaan pelancong pada separuh tahun pertama 2018. Ini merupakan petanda baik bagi sektor penerbangan di mana pelancong dari negara-negara tersebut lebih cenderung untuk melancong ke Malaysia menggunakan pengangkutan udara berbanding pelancong dari Singapura.

“Suruhanjaya berharap data dan maklumat yang dikeluarkan berkenaan industri penerbangan secara keseluruhannya akan memberi pemain-pemain industri gambaran yang lebih jelas mengenai cabaran dan peluang yang sedia ada di dalam sektor ini. Walaupun pasaran domestik dijangka akan memacu pertumbuhan industri, syarikat-syarikat penerbangan tempatan harus lebih berwaspada terhadap persekitaran operasi yang mencabar – terutamanya harga minyak jet global yang berubah-ubah yang boleh menjejaskan keuntungan syarikat-syarikat penerbangan Malaysia.” tambah Nungsari.

Sebuah kertas teknikal berkenaan perjanjian perkhidmatan udara (ASA) juga telah diterbitkan seiring dengan edisi Waypoint pada kali ini. ASA merupakan perjanjian yang ditandatangani di antara dua atau lebih negara sebagai asas perundangan bagi penyediaan perkhidmatan penerbangan antarabangsa. Sorotan daripada laporan teknikal ini menunjukkan bahawa adanya keperluan bagi dasar penerbangan Malaysia untuk menjadi lebih sejajar dengan objektif ekonomi dan kesalinghubungan (connectivity) negara. Laporan ini juga menghuraikan tentang kepentingan pendekatan yang lebih strategik apabila menandatangani ASA dengan negara-negara lain bagi memastikan penerbangan yang lebih kerap dengan pengurangan ketidakpadanan di antara askes pasaran dan permintaan oleh syarikat-syarikat penerbangan serta pengguna.

Di dalam Ulasan Belanjawan 2019 yang diterbitkan secara berasingan, seiring dengan edisi Waypoint pada kali ini, MAVCOM telah mengutarakan pandangan terhadap dua usul berkaitan industri penerbangan yang telah dibentangkan oleh Kerajaan pada Belanjawan 2019 baru-baru ini. Kerajaan telah mengusulkan dua inisiatif, iaitu inisiatif untuk memperkenalkan satu REIT Lapangan Terbang dan inisiatif untuk memperkenalkan Levi Pelepasan yang akan dikenakan ke atas semua penumpang ke destinasi antarabangsa.

MAVCOM ingin menekankan bahawa bahawa cadangan untuk memperkenalkan satu REIT Lapangan Terbang perlu dibangunkan dengan cara yang boleh memanfaatkan industri penerbangan di Malaysia. Suruhanjaya juga telah menekankan faktor-faktor yang harus diambil kira di dalam proses membangunkan inisiatif ini seperti struktur ekonomi pengendali-pengendali lapangan terbang di Malaysia, kos kepada pengguna, struktur industri, potensi untuk meneruskan subsidi secara silang (cross-subsidisation) dalam rangkaian lapangan terbang dan kecekapan proses perancangan modal lapangan terbang masa depan. Suruhanjaya memerlukan maklumat lebih lanjut berkenaan REIT Lapangan Terbang untuk melakukan penilaian yang lebih menyeluruh dan akan menyediakan analisis yang lebih teliti setelah pihak Suruhanjaya mempunyai maklumat tersebut.

MAVCOM juga mengambil maklum berkenaan Levi Pelepasan yang akan diperkenalkan yang berkemungkinan tidak konsisten dengan garis panduan International Civil Aviation Organisation (ICAO) dan amalan-amalan baik antarabangsa, di mana ia akan meningkatkan kos perjalanan kepada penumpang penerbangan serta implikasi lanjut terhadap caj lapangan terbang di bawah Rangka Kerja Caj Aeronautikal yang sedang dibangunkan oleh Suruhanjaya.

Laporan Waypoint boleh didapati dalam bentuk PDF di sini.

Kertas Teknikal mengenai perjanjian perkhidmatan udara boleh dimuat turun di sini dan Ulusan Belanjawan 2019 yang disertakan bersama Laporan Waypoint boleh didapati di sini.

Untuk maklumat lanjut, sila lawati halaman Data Industri kami.