Pilih satu Halaman

Ruang Berita / Pengumuman / MAVCOM mengenakan penalti kewangan terhadap AirAsia Berhad dan AirAsia X Berhad bagi ketidakpatuhan kepada Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan 2016

MAVCOM mengenakan penalti kewangan terhadap AirAsia Berhad dan AirAsia X Berhad bagi ketidakpatuhan kepada Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan 2016

4 Dis, 2018

Pada Q2 2018, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah mengenakan penalti terhadap kedua-dua AirAsia Berhad dan AirAsia X Berhad kerana tidak mematuhi subperenggan 3(1) Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC). MACPC menyatakan bahawa sesuatu syarikat penerbangan hendaklah memaparkan harga muktamad tambang penerbangan yang perlu dibayar bagi perkhidmatan pengangkutan udara yang ditawarkan atau yang diterbitkan oleh syarikat penerbangan dalam apa-apa bentuk, termasuk dalam Internet, di mana harga muktamad yang diterbitkan hendaklah termasuk kesemua cukai, fi, caj, surcaj yang tidak dapat dielakkan pada masa penerbitan. AirAsia Berhad dan AirAsia X Berhad telah dikenakan penalti berjumlah RM160,000 bagi setiap syarikat penerbangan kerana telah mengiklankan harga tiket penerbangan yang memperdayakan pengguna. Kedua-dua syarikat penerbangan telah membuat pembayaran penuh – di mana AirAsia telah membuat bayaran pada 26 Oktober 2018 dan AirAsia X pada 9 November 2018.

MACPC mulai berkuat kuasa pada 1 Julai 2016, dan diterbitkan sejajar dengan matlamat MAVCOM untuk melindungi hak-hak dan kepentingan pengguna. Sebagai kod perlindungan pengguna pertama yang khusus bagi industri penerbangan Malaysia, MACPC memberi ketelusan lanjut mengenai obligasi-obligasi pengendali perkhidmatan penerbangan terhadap pengguna dan panduan yang lebih jelas bagi pengguna mengenai hak-hak dan kepentingan mereka sebagai penumpang penerbangan.

 

 

 

 

 

Â