Pilih satu Halaman

Newsroom / News Releases / MAVCOM berhasrat untuk memastikan sektor penerbangan di Malaysia Timur memenuhi keperluan ekonomi kedua-dua Negeri

MAVCOM berhasrat untuk memastikan sektor penerbangan di Malaysia Timur memenuhi keperluan ekonomi kedua-dua Negeri

17 Jan, 2019

 

MAVCOM berhasrat untuk memastikan sektor penerbangan di Malaysia Timur memenuhi keperluan ekonomi kedua-dua Negeri

KUALA LUMPUR, 17 Januari 2019 – Sebagai pengawal selia ekonomi yang bebas, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) komited untuk memastikan industri penerbangan di Malaysia Timur memenuhi keperluan ekonomi kedua-dua negeri.

Bagi Malaysia Timur berkembang dan menjadi lebih kompetitif di rantau ini, pelbagai langkah perlu dilaksanakan untuk menyokong pertumbuhannya. Oleh kerana perhubungan udara adalah penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi, Suruhanjaya komited untuk memastikan industri penerbangan negeri akan berkembang untuk memudahkan pembangunan perdagangan dan pelancongan di Malaysia Timur.

Program Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) adalah penting untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia Timur terutamanya memandangkan program ini memberikan perkhidmatan utama kepada komuniti setempat bagi bukan sahaja untuk mendapatkan keperluan asas, tetapi juga untuk memberi peluang kepada perusahaan kecil untuk berkembang dan membolehkan kanak-kanak dari masyarakat ini mendapat peluang pendidikan yang lebih baik.

Suruhanjaya berpuas hati dengan perkembangan program RAS. Baru-baru ini, Kementerian Pengangkutan telah mengumumkan bahawa mereka telah menandatangani perjanjian dengan MASwings untuk mengendalikan 40 laluan RAS di Sabah dan Sarawak (untuk tempoh 2019-2024) di bawah perjanjian Obligasi Perkhidmatan Awam (PSO) yang baru.

Dalam pengumuman yang telah dibuat oleh Kementerian Pengangkutan tersebut, enam laluan RAS (Kota Kinabalu-Sandakan, Kota Kinabalu-Tawau, Kota Kinabalu-Miri, Kuching-Miri, Kuching- Bintulu dan Kuching-Sibu) dikelaskan semula sebagai laluan komersial sepenuhnya berkuatkuasa 1 Januari 2019. Laluan-laluan ini tidak lagi memenuhi definisi PSO dan tidak boleh dikategorikan sebagai RAS memandangkan mereka dikendalikan secara bersama oleh MASwings dan syarikat penerbangan komersial lain.

MAVCOM berpendapat bahawa program RAS yang telah ditambah baik ini akan memberi manfaat kepada penumpang di Sabah dan Sarawak dan sektor penerbangan keseluruhannya. Pengumuman baru-baru ini oleh Kerajaan mengenai kemungkinan pembukaan laluan RAS tambahan baru – iaitu Long Pasia di Sabah serta Kapit, Bukit Mabong, Belaga dan Long Silat di Sarawak (apabila terdapat kesediaan infrastruktur) – mencerminkan semangat RAS yang sebenarnya. RAS adalah perkhidmatan udara yang bukan untuk meraih keuntungan, sebaliknya ianya merupakan perkhidmatan yang ditawarkan di kawasan pedalaman di Malaysia Timur di mana pengangkutan udara merupakan mod pengangkutan penting untuk menghubungkan orang ramai di kawasan pedalaman dengan bahagian-bahagian lain di negara ini.

Sebagai tambahan kepada laluan baru yang mungkin diperkenalkan, MASwings juga dikehendaki memperkenalkan laluan baru untuk beberapa destinasi RAS secara berperingkat. Perkhidmatan RAS yang akan diperkenalkan secara peringkat adalah untuk Limbang-Kuching, Long Lellang-Bario, Long Seridan-Bario, serta perkhidmatan kargo khas antara Miri dan Bario, Ba’kelalan, Long Seridan, Long Lellang, Long Akah dan Long Banga (satu penerbangan mingguan setiap laluan).

Selaras dengan mandat MAVCOM, Suruhanjaya akan terus memastikan bahawa perkhidmatan RAS disediakan kepada penumpang dengan cara yang paling cekap dan berkesan serta memastikan penggunaan subsidi kerajaan yang optimum untuk intra-sambungan yang berterusan. Untuk memastikan kebajikan penumpang diberi keutamaan, sistem pengawasan untuk RAS telah dipertingkatkan dan akan turut mengambil kira maklum balas penumpang.

Suatu tinjauan kepuasan penumpang telah dijalankan pada 2018, dan penumpang meyuarakan pandangan bahawa ruang untuk penambahbaikan adalah termasuk pengurangan pembatalan dan kelewatan serta peningkatan frekuensi penerbangan. Penumpang juga berminat untuk melihat lebih banyak diskaun dan promosi serta peningkatan kemudahan asas.

Program RAS adalah penting kerana pengangkutan udara memainkan peranan penting dalam menghubungkan orang ramai di kawasan luar bandar dengan bahagian-bahagian lain di negara. Memandangkan kepentingan RAS yang jelas, Suruhanjaya akan terus berhati-hati mengawasi operasi, menginteraksi dengan pihak berkepentingan tempatan dan mencari peluang lebih lanjut bagi RAS untuk lebih berkhidmat kepada masyarakat Sabah dan Sarawak.