Newsroom / News Releases / MAVCOM Memperuntukkan 53 Hak Trafik Udara bagi Suku Pertama Akhir 2019 (Q1 FY2019)
MAVCOM Memperuntukkan 53 Hak Trafik Udara bagi Suku Pertama Akhir 2019 (Q1 FY2019)
MAVCOM Memperuntukkan 53 Hak Trafik Udara bagi Suku Pertama Akhir 2019 (Q1 FY2019)
Kumpulan AirAsia menerima peruntukan Hak Trafik Udara tertinggi
KUALA LUMPUR, April 3, 2019 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) ingin memaklumkan berkenaan peruntukan Hak Trafik Udara (ATR) yang diberi oleh MAVCOM kepada syarikat-syarikat penerbangan Malaysia bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mac 2019.
Dr. Nungsari Ahmad Radhi, Pengerusi Eksekutif MAVCOM, berkata “Suruhanjaya menyedari bahawa aspek asas untuk menjadikan sektor penerbangan Malaysia lebih kukuh adalah dengan memastikan bahawa ianya dikawalselia secara adil, konsisten dan telus. Sejajar dengan ini dan sebagai sebahagian daripada komitmen keseluruhan Suruhanjaya sebagai pengawalselia aspek ekonomi dan komersial bagi sektor penerbangan, Suruhanjaya telah menerbitkan butiran peruntukan ATR secara bulanan di laman web MAVCOM. Penerbitan ATR bagi suku tahun 2019 ini akan memberi perincian kepada industri mengenai analisis gabungan (consolidated analysis) ATR sepanjang tempoh yang ditinjau.”
Sepanjang 1 Januari hingga 31 Mac 2019, 100 peratus permohonan ATR oleh syarikat-syarikat penerbangan tempatan telah diluluskan oleh MAVCOM dengan jumlah peruntukan sebanyak 53 ATR. Daripada jumlah ini, 52 permohonan telah diluluskan sepenuhnya manakala satu permohonan menerima kelulusan separa. Kumpulan AirAsia menerima peruntukan ATR tertinggi dengan 26 ATR, diikuti dengan Malindo Air dengan 15 ATR.
Daripada 53 permohonan ATR, 32.1 peratus adalah untuk laluan domestik manakala 67.9 peratus adalah untuk laluan antarabangsa. MAVCOM telah meluluskan sebanyak 17 laluan domestik, 13 laluan ke destinasi ASEAN, 11 laluan ke China, dua laluan ke India, lima laluan ke Australasia dan lima laluan ke destinasi Asia yang lain.
Penyelidikan lanjut laporan menunjukkan sebanyak 26 ATR antarabangsa diberi bagi penerbangan yang berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, tiga ATR bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, satu ATR bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai serta lima ATR bagi lapangan-lapangan terbang yang lain di Malaysia.
Di samping itu, sebanyak 20 ATR yang sebelumnya diluluskan oleh MAVCOM tidak digunakan oleh penerima ATR dan dikembalikan kepada Suruhanjaya dalam tempoh 1 Januari ke 31 Mac 2019. Dalam tempoh tersebut, Kumpulan AirAsia telah memulangkan jumlah ATR yang tidak digunapakai tertinggi iaitu sebanyak 13 ATR. Ini diikuti dengan Malindo Air yang telah memulangkan sebanyak lima ATR.
Sebagai rujukan, pada tahun 2018, MAVCOM telah meluluskan sebanyak 205 ATR di mana Kumpulan AirAsia menerima peruntukan ATR tertinggi iaitu sebanyak 98 ATR, diikuti dengan Malindo Air sebanyak 52.
“Dalam proses memperuntukkan ATR, Suruhanjaya melakukan analisis menyeluruh dan mengambil kira pelbagai aspek untuk mempermudahkan pertumbuhan industri yang teratur, aspek persaingan dan pilihan pengguna bagi jangka masa panjang serta pencegahan kesulitan kepada pengguna penerbangan,” kata Dr. Nungsari.
Peruntukan ATR merupakan salah satu tanggungjawab statutori Suruhanjaya di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771]. MAVCOM menilai dan memberi ATR mengikut kriteria yang ditetapkan dalam Akta 771. Mengikut perjanjian perkhidmatan udara, syarikat penerbangan Malaysia dikehendaki untuk mempunyai ATR bagi mengendalikan penerbangan berjadual di mana sekurang-kurangnya salah satu daripada lokasinya adalah di Malaysia. Ini lazimnya diamalkan di negara lain di seluruh dunia. Pemegang ATR dikehendaki menggunakan kesemua kapasiti yang diperuntukkan kepadanya dalam tempoh enam bulan dari tarikh pemberian ATR dan sekiranya gagal, ATR yang tidak digunakan tersebut untuk hendaklah dipulangkan kepada Suruhanjaya.
Suruhanjaya menerbitkan Laporan Hak Trafik Udara secara bulanan yang boleh didapati di laman web MAVCOM di www.mavcom.my. Rumusan mengenai ATR yang diperuntukkan oleh MAVCOM juga akan dikeluarkan setiap suku tahun.