Ruang Berita / Kenyataan Media / Syarikat Penerbangan Malaysia Dijangka Akan Menetapkan Harga Tambang Penerbangan yang Kompetitif Pada Tahun 2019 Bagi Menangani Kadar Permintaan yang Semakin Rendah
Syarikat Penerbangan Malaysia Dijangka Akan Menetapkan Harga Tambang Penerbangan yang Kompetitif Pada Tahun 2019 Bagi Menangani Kadar Permintaan yang Semakin Rendah
TSyarikat Penerbangan Malaysia Dijangka Akan Menetapkan Harga Tambang Penerbangan yang Kompetitif Pada Tahun 2019 Bagi Menangani Kadar
Permintaan yang Semakin Rendah
KUALA LUMPUR, 15 MEI 2019 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah menerbitkan edisi keempat Laporan Industri dwi-tahunan Waypoint, yang memberikan gambaran menyeluruh mengenai industri penerbangan Malaysia. Selain daripada tinjauan berkenaan industri penerbangan, laporan Waypoint juga merangkumi analisa mengenai struktur serta prestasi industri.
Menurut laporan tersebut, MAVCOM meramalkan peningkatan trafik penumpang penerbangan di antara 105.5 juta hingga 106.7 juta, bersamaan dengan pertumbuhan trafik di antara 2.9 hingga 4.1 peratus berbanding tahun 2018. MAVCOM menjangkakan ketidakpastian yang lebih besar pada masa hadapan berikutan kadar pertumbuhan ekonomi global dan tempatan yang dijangka akan menjadi lebih perlahan secara marginal.
Dr. Nungsari Ahmad Radhi, Pengerusi Eksekutif MAVCOM, berkata, “Pada tahun 2019, kami menjangkakan tekanan terhadap hasil (yield) dan seterusnya memberi tekanan ke atas keuntungan syarikat-syarikat penerbangan Malaysia. Ini berikutan kadar pertumbuhan kapasiti tempat duduk yang diramal akan melangkaui kadar pertumbuhan trafik penumpang penerbangan. Secara purata, harga minyak jet pada tahun 2019 dijangka akan menjadi lebih rendah berbanding tahun lepas, dan ini akan mengurangkan tekanan kewangan yang dialami oleh syarikat-syarikat penerbangan.”
Sorotan penting daripada Laporan Waypoint
Pada tahun 2018, Malaysia telah mencatat jumlah penumpang penerbangan antarabangsa dan domestik sebanyak 102.5 juta. Peningkatan trafik penumpang penerbangan antarabangsa sebanyak 5.5 peratus menjadi pendorong utama pertumbuhan kadar trafik penumpang. Kadar pertumbuhan trafik penumpang penerbangan yang semakin rendah adalah berikutan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang lebih rendah iaitu sebanyak 4.7 peratus (berbanding 5.9 peratus pada tahun 2017), serta pengurangan kapasiti tempat duduk oleh syarikat penerbangan Malaysia dan asing sebanyak 6.4 peratus dan 4.5 peratus, berbanding 8.6 peratus dan 15.6 peratus pada tahun 2017.
Purata perolehan tempat duduk kilometer tersedia (RASK) pada tahun 2018 bertambah secara marginal kepada 16.3 sen. Ini adalah kerana purata tambang antarabangsa yang telah menurun sebanyak 2.4 peratus kepada RM486, manakala purata harga tambang domestik kekal tidak berubah pada RM221. Purata kos tempat duduk kilometer tersedia (CASK) telah meningkat sebanyak 5.1 peratus kepada 17.8 sen, berpunca daripada kenaikan harga bahan api jet global sebanyak 28.8 peratus pada tempoh yang sama. Walaupun terdapat sedikit kenaikan kapasiti sebanyak 3.2 peratus dan pertumbuhan RASK yang rata, purata faktor beban pada tahun 2018 menurun sedikit kepada 81.8 peratus, menggambarkan kadar permintaan yang lemah.
Walaupun jumlah kedatangan pelancong ke Malaysia secara keseluruhannya telah menurun sebanyak 0.5 peratus kepada 25.8 juta pada tahun 2018, data dari Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) menunjukkan bahawa ketibaan pelancong ke Malaysia pada tahun lepas meningkat sebanyak 11.4 peratus kepada 15.2 juta, setelah menolak jumlah pelancong dari Singapura. Pelancong yang tiba ke Malaysia dari Singapura mempunyai beberapa pilihan bagi pengangkutan alternatif melalui perjalanan darat seperti melalui Tambak Johor atau dengan menaiki kereta api. Data yang sama juga menunjukkan bahawa penambahan jumlah ketibaan pelancong sebanyak 1.6 juta pelancong dari Indonesia, China, Korea Selatan, India, Taiwan, Filipina, Vietnam, Amerika Syarikat, dan Jerman.
Nungsari berkata “Suruhanjaya sedang memantau kadar pertumbuhan kapasiti permintaan bagi penerbangan domestik dengan teliti, mengambil kira jangkaan penambahan kapasiti tempat duduk di mana ia akan memberi kesan yang ketara terhadap prestasi kewangan syarikat-syarikat penerbangan Malaysia. Pertumbuhan trafik antarabangsa bergantung kepada pelbagai faktor, tetapi kami ingin melihat peningkatan jumlah trafik penumpang penerbangan bagi destinasi ASEAN.”
Edisi keempat laporan Waypoint boleh didapati di pautan ini.
Laporan-laporan Waypoint diterbitkan sebanyak dua kali setahun dan boleh didapati di halaman Penyelidikan dan Laporan.