Pilih satu Halaman

Ruang Berita / Kenyataan Media / MAVCOM Menghapuskan Caj-caj Tersembunyi Untuk Perjalanan Udara

MAVCOM Menghapuskan Caj-caj Tersembunyi Untuk Perjalanan Udara

24 Mei, 2019

 

MAVCOM Menghapuskan Caj-caj Tersembunyi Untuk Perjalanan Udara
Pindaan terbaru kepada MACPC menggalakkan para pengguna untuk menggunakan dan memperkasakan hak-hak mereka sebagai pengguna penerbangan

 

KUALA LUMPUR, 24 MEI 2019 – Timbalan Menteri Pengangkutan, Yang Berhormat Dato’ Kamarudin Jaffar, hari ini mengumumkan pindaan-pindaan terbaru kepada Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC), yang akan mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2019. Beliau membuat pengumuman ini di majlis perasmian aplikasi mudah alih FlySmart, iaitu sebuah inisiatif berteraskan pengguna yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

Dalam ucapan beliau, Kamarudin menjelaskan bahawa MAVCOM akan melaksanakan pindaan-pindaan kepada MACPC yang akan memberi kesan positif secara langsung kepada pengguna. “MACPC mengandungi panduan mengenai hak penumpang. Sejak pelaksanaannya pada julung kali, MAVCOM telah mendapat banyak maklum balas dari pengguna dan perubahan-perubahan dalam MACPC adalah hasil maklum balas tersebut serta perundingan dengan pemain penerbangan di Malaysia. Saya amat bersukacita kerana pindaan-pindaan kepada MACPC ini akan mempertingkatkan lagi perlindungan bagi hak-hak pengguna penerbangan.”

Dengan pindaan kepada MACPC, syarikat penerbangan kini dikehendaki mempamerkan harga muktamad tambang penerbangan. Selaras dengan MACPC, syarikat penerbangan wajib menzahirkan harga muktamad tiket penerbangan bagi tujuan pengiklanan dan juga sewaktu pembelian tiket. Harga muktamad ini hendaklah merangkumi tambang asas termasuk semua caj yang perlu dibayar kepada syarikat penerbangan, cukai dan fi yang dikenakan oleh kerajaan, fi dan caj yang ditetapkan di bawah mana-mana undang bertulis, dan juga surcaj bahan api. Ini sebenarnya menghapuskan caj tersembunyi, seperti caj pembayaran kad dan yuran pentadbiran. Caj lain seperti perkhidmatan tambahan yang dibeli oleh pengguna secara pilih-masuk (opt-in) juga perlu dipaparkan dan dimasukkan ke dalam harga muktamad semasa membuat pembayaran.

Berkuat kuasa 1 Jun 2019, pembayaran balik tiket penerbangan perlu diremit kepada pengguna penerbangan dalam masa 30 hari dari tarikh permohonan bayaran balik tersebut. Ini terpakai bagi tiket penerbangan yang dibeli melalui ejen pelancongan, di mana syarikat penerbangan perlu membuat bayaran balik kepada ejen tersebut dalam jangka masa yang sama. Pindaan kepada MACPC juga termasuk pembayaran balik bagi caj perkhidmatan penumpang, cukai, fi, dan caj yang ditetapkan di bawah mana-mana undang bertulis, tanpa mengira sama ada tiket yang dibeli mempunyai nilai bayaran balik (refundable) atau tidak. Syarikat penerbangan pula hanya dibenarkan untuk mengenakan fi pemprosesan maksimum sebanyak 5 peratus jika tiket yang dibeli tiada nilai bayaran balik (non-refundable).

Pengendali syarikat penerbangan pula harus mempamerkan MACPC dengan jelas bagi makluman pengguna, manakala syarikat penerbangan perlu memaklumkan pengguna mengenai hak-hak mereka melalui semua platform yang munasabah sebaik mungkin.

Menurut Dr. Nungsari Ahmad Radhi, Pengerusi Eksekutif MAVCOM, “Sehubungan dengan peranan Suruhanjaya seperti tertakluk di dalam Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015, kami percaya bahawa pindaan-pindaan kepada MACPC ini akan memberi perlindungan yang lebih baik kepada pengguna penerbangan dan secara keseluruhannya mempertingkatkan tahap perkhidmatan dalam industri penerbangan.”

Dalam pindaan terbaru MACPC ini, adanya peruntukan mengenai perkhidmatan kerusi roda bagi orang kurang upaya (OKU), penzahiran terma dan syarat sewaktu pembelian tiket penerbangan, dan tanggungjawab syarikat penerbangan untuk memastikan kakitangannya atau ejen pengendalian yang dilantik mempunyai pengetahuan yang mencukupi mengenai MACPC.

MACPC mula diperkenalkan pada 1 Julai 2016 dan matlamat utamanya ialah untuk melindungi hak dan kepentingan pengguna penerbangan. Kod ini mengandungi panduan berkaitan hak-hak pengguna dan proses untuk membuat aduan. Kod ini juga menggariskan penalti yang boleh dikenakan terhadap ketidakpatuhan kepada Kod. Pindaan-pindaan kepada MACPC telah diwartakan pada 10 Mei 2019.

Sejak pelaksanaan MACPC, MAVCOM telah menerima pelbagai maklum balas daripada pengguna penerbangan, pengendali lapangan terbang dan syarikat-syarikat penerbangan di Malaysia. Hasil dari maklum balas yang diberi, MAVCOM telah memperbaik Kod tersebut dan beberapa pindaan telahpun dibuat sejajar dengan matlamat Suruhanjaya untuk melindungi hak pengguna penerbangan.

Sebagai pengawalselia sektor penerbangan Malaysia, MAVCOM juga bertanggungjawab untuk memelihara kepentingan pengguna industri penerbangan.

“Sejak ditubuhkan, MAVCOM telah mengambil pelbagai langkah untuk mendidik pengguna mengenai hak-hak mereka. Salah satu langkah yang diambil adalah dengan pelancaran aplikasi mudah alih FlySmart,” tambah Kamarudin.

“Walaupun MAVCOM telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memajukan lagi pembangunan industri, memastikan tahap bermain yang saksama, persaingan yang adil dan banyak lagi, Suruhanjaya menyedari sepenuhnya keperluan untuk memastikan kepuasan pengguna tetap menjadi keutamaan utama,” kata Dr. Nungsari.

FlySmart merupakan sebuah inisiatif oleh MAVCOM dimana pengguna boleh memperolehi maklumat mengenai hak-hak mereka melalui pelbagai platform di bawah FlySmart, seperti Instagram, Facebook dan laman web FlySmart. Pelancaran aplikasi mudah alih FlySmart pada hari ni, memperkenalkan satu lagi platform untuk memudahkan pengguna mengakses dan memperolehi maklumat mengenai hak-hak mereka, di samping dapat membuat aduan secara langsung mengunakan telefon bimbit. Pengguna juga dapat mengesan status aduan mereka menggunakan aplikasi mudah alih ini. Inisiatif FlySmart ini bukan sahaja diperkenalkan untuk mendidik pengguna, tetapi merupakan platform untuk menggalakkan para pengguna berkongsi pengalaman serta memperkasakan hak-hak mereka dengan bantuan Suruhanjaya.

Selain daripada aplikasi mudah alih FlySmart yang baru diperkenalkan ini, pengguna juga boleh mengakses laman web FlySmart (www.flysmart.my) dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, serta melalui platform media sosial khas FlySmart di Facebook dan Instagram. Inisiatif FlySmart yang berteraskan pengguna ini mula diperkenalkan pada bulan Jun tahun lalu melalui laman web dan platform media sosial FlySmart, bagi memudahkan pengguna untuk memperoleh tip penerbangan dan informasi berkaitan hak-hak mereka, serta memudahkan pengguna membuat aduan kepada MAVCOM.

Pindaan penuh kepada Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (Pindaan) 2019 boleh didapati di halaman Perudangan.