Pilih satu Halaman

Ruang Berita / Kenyataan Media / MAVCOM Meluluskan 100% Hak Trafik Udara bagi Suku Kedua Akhir 2019 (Q2 2019)

MAVCOM Meluluskan 100% Hak Trafik Udara bagi Suku Kedua Akhir 2019 (Q2 2019)

9 Jul, 2019

 

MAVCOM Meluluskan 100% Hak Trafik Udara bagi Suku Kedua Akhir 2019 (Q2 2019)
Kumpulan AirAsia menerima peruntukan Hak Trafik Udara tertinggi

 

KUALA LUMPUR, 9 Julai 2019 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) baru-baru ini memaklumkan peruntukan Hak Trafik Udara (ATR) suku tahunan kedua (Q2 2019) yang merangkumi peruntukan yang diberikan kepada syarikat-syarikat penerbangan bagi tempoh 1 April hingga 30 Jun 2019.

Bagi tempoh 1 April hingga 30 Jun 2019, aplikasi ATR menyaksikan kadar kelulusan 100 peratus oleh MAVCOM. Sebanyak 51 peruntukan diluluskan dengan satu permohonan yang menerima kelulusan separa.

Daripada 51 permohonan ATR, 37.3 peratus adalah untuk laluan domestik manakala 62.7 peratus adalah untuk laluan antarabangsa. MAVCOM telah meluluskan sebanyak 19 laluan domestik, 22 laluan ke destinasi ASEAN, 5 laluan ke China, 2 laluan ke India dan 3 laluan ke destinasi Asia yang lain. 

Penyelidikan lanjut laporan menunjukkan sebanyak 36 ATR antarabangsa diberi bagi penerbangan yang berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, 6 ATR bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu serta 9 ATR bagi lapangan-lapangan terbang yang lain di Malaysia. KUL khususnya, menyaksikan kenaikan 38.5 peratus berbanding 26 ATR pada suku pertama 2019.

Bagi suku kedua tahun 2019, Kumpulan AirAsia menerima jumlah peruntukan tertinggi iaitu sebanyak 22 ATR. Ini diikuti oleh Malaysia Airlines Berhad dan Malindo Air dengan 19 dan 8 masing-masing peruntukan bagi tempoh yang sama.

Di samping itu, sejumlah 33 ATR yang sebelum ini diluluskan oleh MAVCOM tidak digunakan oleh penerima ATR dan dikembalikan kepada MAVCOM pada suku kedua 2019. Dalam tempoh tersebut, bilangan ATR yang tidak digunakan yang tertinggi adalah dari Kumpulan AirAsia dengan 19, diikuti oleh Malindo Air dengan 10. Empat permohonan tambahan juga telah ditarik balik secara sukarela oleh syarikat penerbangan pada tempoh itu.

Bagi tempoh enam bulan dari 1 Januari hingga 30 Jun 2019, MAVCOM telah meluluskan 100 peratus daripada 104 permohonan kumulatif ATR yang diterima. MAVCOM telah meluluskan dalam tempoh ini 36 ATR domestik, 35 untuk destinasi ASEAN, 16 untuk destinasi di China, dan baki 17 untuk destinasi Asia lain dan Australia. Kumpulan AirAsia menerima jumlah tertinggi peruntukan ATR bagi separuh pertama tahun ini, dengan 38.

Suruhanjaya menerbitkan Laporan Hak Trafik Udara secara bulanan yang boleh didapati di laman web MAVCOM di www.mavcom.my. Rumusan mengenai ATR yang diperuntukkan oleh MAVCOM juga akan dikeluarkan setiap suku tahun.