MAVCOM akan mengumumkan Caj Perkhidmatan Penumpang baru pada September 2019
MAVCOM akan mengumumkan Caj Perkhidmatan Penumpang baru pada September 2019
Pengumuman : Selaras dengan Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771], pihak Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah dipertanggungjawabkan dengan fungsi untuk menetapkan metodologi dan caj bagi perkhidmatan penerbangan termasuk untuk menetap kadar Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC). Dalam menentukan kadar caj tersebut, Suruhanjaya dikehendaki mengambil kira kriteria-kriteria tertentu seperti yang ditetapkan di dalam Akta 771.
Suruhanjaya akan memperkenalkan suatu Rangka Kerja Regulated Asset Base (RAB Framework) untuk menentukan caj lapangan terbang. Sehubungan dengan itu, Suruhanjaya telah menjalankan kajian yang menyeluruh dan telah bekerjasama rapat dengan kesemua Kementerian yang berkaitan dan pihak berkepentingan industri termasuk syarikat penerbangan, pengendali lapangan terbang serta komuniti pelaburan sejak tahun 2017.
Metodologi RAB ini merupakan sebuah mekanisme berasaskan kos yang diiktiraf secara global dan merupakan sebuah modal pendanaan lestari bagi lapangan terbang. RAB Framework juga mengambil kira kesan kepada pengguna lapangan terbang. Metodologi ini juga akan meringankan beban Kerajaan Malaysia (GoM) daripada menyalurkan subsidi ke lapangan terbang seperti kaedah semasa.
Suruhanjaya berada di peringkat akhir dalam menetapkan kadar baru PSC. Kadar baru tersebut akan diumumkan dalam beberapa minggu akan datang dan akan diwartakan bagi pelaksanaan pada Januari 2020.