Pilih satu Halaman
Ruang Berita / Kenyataan Media / MAVCOM Mengenakan Penalti Kewangan terhadap AirAsia, AirAsia X dan MA Sepang, sebuah subsidiari di bawah MAHB

MAVCOM Mengenakan Penalti Kewangan terhadap AirAsia, AirAsia X dan MA Sepang, sebuah subsidiari di bawah MAHB

10 Sep, 2019

 

 

MAVCOM Mengenakan Penalti Kewangan terhadap AirAsia, AirAsia X dan MA Sepang, sebuah subsidiari di bawah MAHB
Syarikat penerbangan melanggar kod perlindungan pengguna dan pengendali lapangan terbang gagal memenuhi sasaran kualiti perkhidmatan

 

KUALA LUMPUR, 10 September 2019 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah mengenakan penalti kewangan terhadap AirAsia Berhad (AirAsia), AirAsia X Berhad (AirAsia X) dan Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. (MA Sepang), yang merupakan sebuah subsidiari di bawah Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang mengendalikan operasi di kedua-dua terminal Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA dan klia2). AirAsia, AirAsia X dan MA Sepang telah mengesahkan menerima surat daripada Suruhanjaya berhubung pengenaan penalti kewangan tersebut pada Jumaat, 6 September 2019. 

Selaras dengan usaha MAVCOM untuk melindungi pengguna daripada caj-caj yang tidak adil dan tidak patut dikenakan oleh syarikat-syarikat penerbangan, MAVCOM telah mengenakan penalti kewangan kepada AirAsia dan AirAsia X kerana tidak mematuhi Kod Pelindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) oleh sebab kedua-dua syarikat penerbangan tersebut telah mengenakan caj bagi kad kredit, kad debit serta yuran pemprosesan perbankan dalam talian, yang berasingan daripada tambang asas. Manakala, MA Sepang telah dikenakan penalti kewangan kerana tidak memenuhi beberapa sasaran bagi elemen kualiti perkhidmatan yang ditetapkan oleh MAVCOM pada suku pertama 2019. 

Ketidakpatuhan AirAsia dan AirAsia X kepada MACPC 

MACPC telah dikuatkuasakan pada 1 Julai 2016 dan diterbitkan sejajar dengan matlamat MAVCOM untuk melindungi hak-hak dan kepentingan pengguna penerbangan. Sebagai kod perlindungan pengguna pertama yang digubal khusus bagi industri penerbangan Malaysia, MACPC menggalakkan ketelusan terutamanya mengenai obligasi-obligasi pengendali perkhidmatan penerbangan terhadap pengguna penerbangan dan berperanan sebagai panduan yang lebih jelas bagi pengguna mengenai hak-hak dan kepentingan mereka sebagai pengguna penerbangan. Dalam memastikan agar hak-hak pengguna penerbangan dilindungi dengan lebih efektif, MACPC telah ditambahbaik dengan pindaan yang dikuatkuasakan pada 1 Jun 2019.  

Mulai 1 Jun 2019, Suruhanjaya telah membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan kepada peruntukan baharu di dalam MACPC. Hasil daripada pemantauan yang dilakukan, Suruhanjaya telah mendapati bahawa AirAsia dan AirAsia X telah tidak mematuhi subperenggan 3(2) MACPC yang memperuntukkan syarikat penerbangan untuk menzahirkan sepenuhnya harga muktamad tambang penerbangan. Sebagai sebahagian daripada proses bagi menentukan ketidakpatuhan telah dilakukan, MAVCOM telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada kedua-dua syarikat penerbangan tersebut dan memberikan beberapa peluang kepada AirAsia dan AirAsia X untuk mengemukakan sebab atau faktor untuk mengurangkan kuantum penalti kewangan tersebut.

Seksyen 69 (4) Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771] dan perenggan 22 MACPC memberi kuasa kepada Suruhanjaya untuk mengenakan penalti kewangan bagi ketidakpatuhan kepada MACPC, suatu amaun yang tidak melebihi RM 200,000 dan dalam hal ketidakpatuhan kedua atau yang berikutnya, suatu amaun sepuluh kali daripada penalti kewangan yang dikenakan bagi ketidakpatuhan yang pertama. Setelah penilaian menyeluruh dan mengambil kira representasi bertulis oleh kedua-dua syarikat penerbangan tersebut, Suruhanjaya telah memutuskan untuk mengenakan penalti sebanyak RM 200,000 terhadap AirAsia dan AirAsia X bagi ketidakpatuhan pertama kepada subperenggan 3(2) MACPC, bagi tempoh mulai 1 Jun 2019 hingga 9 Ogos 2019.

Ketidakpatuhan MAHB kepada Rangka Kerja Kualiti Perkhidmatan QoS di KLIA dan klia2

Objektif pengenalan Rangka Kerja Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (Rangka Kerja QoS Lapangan Terbang) oleh MAVCOM adalah untuk meningkatkan tahap perkhidmatan di lapangan terbang bagi pengguna lapangan terbang, penumpang, syarikat penerbangan dan pengendali darat.

Pelaksaan Rangka Kerja QoS Lapangan Terbang di kedua-dua KLIA dan klia2 telah dilaksanakan sejak 1 September 2018. Mengikut proses bagi penentuan ketidakpatuhan, MAVCOM telah mendapati bahawa MA Sepang telah gagal untuk memenuhi beberapa keperluan di dalam Rangka Kerja QoS Lapangan Terbang bagi tempoh Januari hingga Mac 2019. Menurut seksyen 98A(3)(b) Akta 771, Suruhanjaya diberi kuasa untuk mengenakan jumlah penalti yang tidak melebihi lima peratus daripada perolehan tahunan MA Sepang.

Setelah mengambil kira representasi bertulis daripada MA Sepang serta faktor dan sebab yang dikemukakan oleh MA Sepang untuk mengurangkan kuantum penalti kewangan tersebut, Suruhanjaya telah mengenakan penalti sebanyak RM 1,179,889 pada MA Sepang.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Dr. Nungsari Ahmad Radhi, berkata “trafik udara di Malaysia pada hari ini merekodkan lebih daripada 100 juta penumpang setahun. Dengan mengambil kira  jumlah pengguna penerbangan yang besar ini, Suruhanjaya telah menetapkan MACPC dan Rangka Kerja QoS Lapangan Terbang, yang telah direka khas untuk melindungi hak dan kepentingan pengguna penerbangan, serta sebagai suatu cara untuk meningkatkan tahap perkhidmatan dalam industri penerbangan Malaysia.

“Tindakan yang dikenakan ini juga bertujuan untuk mendorong industri penerbangan di Malaysia ke arah peningkatan tahap perkhidmatan, integriti dan ketelusan, selaras dengan objektif jangka panjang MAVCOM untuk industri.” tambah Dr Nungsari.