Pilih satu Halaman

Ruang Berita / Kenyataan Media / MAVCOM Menyangkal Dakwaan

MAVCOM Menyangkal Dakwaan

12 Sep, 2019

 

 

KENYATAAN MEDIA
Petikan daripada: Dr Nungsari Radhi, Pengerusi Eksekutif, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM)

Saya telah membaca komen-komen yang dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Group di LinkedIn berkenaan MAVCOM. Sebagai pengawalselia, saya mempunyai kewajipan untuk membuat pernyataan secara bertanggungjawab serta berdasarkan fakta. Dalam konteks ini, saya ingin menegaskan mengenai perkara-perkara berikut.

Sejak penubuhan Suruhanjaya pada Mac 2016, kami telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang memanfaatkan pengguna dan pemain industri. Ianya terlalu banyak untuk dinyatakan di sini, tetapi saya akan memberikan beberapa contoh bagi manfaat khalayak ramai. Contohnya, Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) memastikan pengguna penerbangan hanya membuat bayaran bagi perkhidmatan yang dipilih oleh pengguna sahaja. Kami juga telah menghapuskan caj-caj tersembunyi seperti fi klia2. Sementara itu, fi pemprosesan bayaran tidak boleh dicaj secara berasingan daripada tambang asas tiket penerbangan. Kami percaya peraturan-peraturan ini membawa kepada ketelusan dan membolehkan pengguna penerbangan untuk menikmati penjimatan dari segi wang, dan dapat buat keputusan yang lebih bijak. Kami juga percaya bahawa aduan pengguna penerbangan kini dikendalikan dengan lebih serius, dan bayaran balik kepada pengguna penerbangan dibuat dalam tempoh 30 hari dari tarikh permintaan untuk bayaran balik tersebut.

Kerja-kerja yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya adalah amat mustahak. Sebagai contoh, antara Januari 2018 dan Ogos 2019, Suruhanjaya telah memberi lebih daripada 93 peratus Hak Trafik Udara (ATR) yang dipohon oleh syarikat penerbangan. Ini adalah selaras dengan proses telus yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya susulan daripada rundingan dengan syarikat-syarikat penerbangan termasuk AirAsia. AirAsia merupakan penerima utama ATR di mana lebih daripada 50 peratus daripada kesemua ATR yang diproses telah diberikan kepada mereka. Kami juga menyedari bahawa sebanyak 24 peratus ATR yang diberi kepada AirAsia telah dipulangkan kepada Suruhanjaya memandangkan ianya tidak digunapakai.

Kami juga telah memperkenalkan proses permohonan pelesenan yang mantap yang memastikan hanya pemohon yang serius, berkebolehan dan bersedia untuk beroperasi sahaja dipertimbangkan. Kami juga telah melindungi kepentingan pengguna penerbangan yang terjejas oleh kegagalan sebuah syarikat penerbangan yang lesennya diberikan sebelum penubuhan MAVCOM. Antara lainnya, kami telah memperkenalkan sebuah Rangka Kerja Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (QoS) untuk meningkatkan standard perkhidmatan di lapangan terbang, serta turut bekerjasama dengan pihak industri dan pasaran modal dalam melaksanakan Rangka Kerja Asas Aset Terkawal Selia (Regulated Asset Base Framework) (metodologi bagi pengiraan caj lapangan terbang di Malaysia) yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Suruhanjaya juga telah memperkenalkan FlySmart, iaitu sebuah inisiatif yang berteraskan pengguna sebagai sebahagian daripada usaha Suruhanjaya untuk memperjuangkan hak pengguna dalam sektor penerbangan. Fokus FlySmart adalah untuk memupuk kesedaran, mendidik, dan memperkasakan pengguna penerbangan mengenai hak mereka sebagai pengguna penerbangan. Pada masa ini, orang ramai di Malaysia dapat mengakses maklumat mengenai hak-hak mereka sebagai pengguna penerbangan melalui pelbagai medium, termasuk melalui laman web serta aplikasi mudah alih FlySmart. 

Informasi dan maklumat yang lebih lanjut mengenai Suruhanjaya serta kerja yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya boleh didapati di laman web MAVCOM. Laman web ini juga menempatkan kesemua kenyataan dan penerbitan yang telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya. Jawapan kepada beberapa perkara yang dibangkitkan dalam artikel LinkedIn tersebut juga boleh didapati di laman web ini bagi mereka yang berminat.

Pasukan MAVCOM terdiri daripada bekas pekerja syarikat penerbangan (termasuk AirAsia), lapangan terbang, badan pengawal selia yang lain, sektor swasta dan perkhidmatan awam, adalah merupakan barisan profesional yang berkelayakan. Mereka terdiri daripada profesional dari sektor penerbangan, penganalisis kewangan, ahli ekonomi serta peguam. Walaupun kami mengalami tekanan daripada luar, kami percaya usaha mereka telah memberi pelbagai kebaikan kepada pengguna serta industri.

Suruhanjaya dan kakitangannya terikat untuk bertindak dalam parameter Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771], dan kami berhasrat untuk memastikan pemain industri sama-sama menghormati undang-undang dan peraturan negara – penalti kewangan yang dikenakan oleh Suruhanjaya pada baru-baru ini adalah berdasarkan matlamat ini. Kami juga menyedari bahawa Suruhanjaya juga boleh dikenakan semakan kehakiman. Sebagai contoh, AirAsia telah membuat permohonan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap Suruhanjaya. Dalam kes tersebut, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 Jun 2019, telah menolak permohonan tersebut. 

Terdapat pelbagai pihak berkepentingan dalam industri penerbangan di Malaysia, dan bukan sekadar satu. Oleh itu, peranan Suruhanjaya adalah untuk memastikan bahawa kerja Suruhanjaya memberi manfaat kepada industri secara keseluruhan dan bukan mana-mana pemain industri yang tertentu. Kami bekerja ke arah matlamat tersebut dan akan terus berbuat demikian.Â