MAVCOM memenangi Anugerah Informasi Wawasan 2019 di Anugerah IDC Digital Transformation
MAVCOM memenangi Anugerah Informasi Wawasan 2019
di Anugerah IDC Digital Transformation
KUALA LUMPUR, 30 September 2019 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah dinamakan penerima anugerah ‘Informasi Wawasan untuk Malaysia bagi tahun 2019’ ‘(2019 Information Visionary for Malaysia)’ oleh Perbadanan Data Antarabangsa (IDC) pada majlis Anugerah IDC Digital Transformation (DXa) Malaysia ke-3, baru-baru ini.
MAVCOM telah diiktiraf bagi Sistem Pengurusan Aduan FlySmart (CMS), yang digunakan oleh Suruhanjaya bagi pengurusan proses penyelesaian aduan pengguna penerbangan. Anugerah IDC Digital Transformation ini mengiktiraf sumbangan dan pencapaian organisasi yang telah berjaya meningkatkan operasi perniagaan mereka melalui aplikasi teknologi digital.
Sebagai sebuah badan pengawal selia ekonomi bebas dalam industri penerbangan, MAVCOM bertanggungjawab untuk memastikan pengguna dimaklumkan mengenai hak-hak mereka sebagai pengguna penerbangan dan memastikan pengguna mempunyai akses yang mudah apabila memerlukan bantuan bagi penyelesaian aduan mereka. Selaras dengan matlamat ini, MAVCOM telah melancarkan CMS pada bulan Mei 2016. Sejak daripada itu, Suruhanjaya telah membuat penambahbaikan ke atas CMS secara berperingkat bagi memudahkan pengendalian aduan pengguna dengan cara yang lebih cekap dan berkesan. Sehingga kini, sebanyak 5,725 aduan telah didaftarkan melalui CMS, dan 97.1 peratus daripada aduan tersebut telah diselesaikan oleh MAVCOM.
CMS boleh di akses oleh pengguna menerusi pelbagai platform digital termasuk laman web FlySmart www.flysmart.my, yang terdapat dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, serta FlySmart Facebook dan Instagram. Di samping itu, aplikasi mudah alih FlySmart yang khusus bagi pengguna penerbangan ini menyediakan pengguna dengan platform yang mudah untuk mendapatkan maklum balas atau membuat aduan serta bagi mengetahui status aduan mereka dari dalam aplikasi tersebut. Aplikasi mudah alih ini juga membolehkan pengguna menerima sebarang notifikasi berhubung status penerbangan dan makluman penting dari masa ke semasa.
Semasa menerima anugerah tersebut, Azmir Zain, Ketua Pegawai Operasi, MAVCOM berkata, “Platform CMS FlySmart merupakan satu inisiatif yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya untuk memperkasakan pengguna penerbangan dan pada masa yang sama memastikan penyedia perkhidmatan penerbangan mengambil tindakan yang perlu untuk meningkatkan tahap perkhidmatan mereka. Kami telah mendapati platform ini menjadi pelengkap kepada Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016.”
“Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pengguna, pihak yang berkepentingan dalam industri dan pasukan kami di MAVCOM. Suruhanjaya telah diberi penghormatan dan pengiiktirafan di atas usaha-usaha kami dalam memodenkan tugas penting ini dan berjanji akan terus komited terhadap memanfaatkan penggunaan teknologi dalam melaksanakan tanggungjawab Suruhanjaya dengan lebih cekap dan berkesan,” tambahan beliau.

Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Azmir Zain (kanan), menerima anugerah ‘Informasi Wawasan untuk Malaysia bagi tahun 2019′ oleh Perbadanan Data Antarabangsa (IDC) di Anugerah IDC Digital Transformation (DXa) Malaysia ke-3.

Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Azmir Zain, menerima anugerah ‘Informasi Wawasan untuk Malaysia bagi tahun 2019′ oleh Perbadanan Data Antarabangsa (IDC) di Anugerah IDC Digital Transformation (DXa) Malaysia ke-3.