Pilih satu Halaman
Ruang Berita / Kenyataan Media / MAVCOM akan Memastikan Kerajaan Tidak Dibebankan oleh Bayaran Subsidi Lapangan Terbang

MAVCOM akan Memastikan Kerajaan Tidak Dibebankan oleh Bayaran Subsidi Lapangan Terbang

23 Okt, 2019

 

MAVCOM akan Memastikan Kerajaan Tidak Dibebankan oleh Bayaran Subsidi Lapangan Terbang
Pengguna penerbangan di hampir semua lapangan terbang komersial di Malaysia akan menikmati PSC yang lebih rendah

KUALA LUMPUR, 23 Oktober 2019: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) kini berada di peringkat akhir dalam proses melengkapkan Rangka Kerja Asas Aset Terkawal Selia (Regulated Asset Base – RAB) yang akan menjadi asas bagi pembiayaan dan pembangunan rangkaian lapangan terbang di Malaysia. Ini selaras dengan tanggungjawab berkanun Suruhanjaya seperti yang termaktub di dalam Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771]. Jumlah perbelanjaan pembangunan yang dirancang bagi tempoh pengawalseliaan (2020-2022) serta Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) baru, fi pendaratan dan fi parkir pesawat akan diumumkan tidak lama lagi.

Suruhanjaya telah menjalankan kajian terperinci mengenai rangka kerja RAB sejak tahun 2017 dan kajian ini telah melibatkan lebih daripada 80 pihak-pihak berkepentingan termasuk Kementerian yang berkaitan seperti Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi. Pihak berkepentingan lain yang terlibat termasuk syarikat penerbangan, syarikat pengendali lapangan terbang serta badan penerbangan antarabangsa dan institusi kewangan.

 Sepanjang tempoh dua tahun ini, Suruhanjaya juga telah menerbitkan pelbagai maklumat serta kertas-kertas rundingan untuk mendapatkan maklum balas bagi pembangunan rangka kerja RAB yang seterusnya menghasilkan perbelanjaan pembangunan, PSC, fi pendaratan dan fi parkir untuk lapangan terbang di Malaysia. Informasi serta kertas-kertas rundingan ini juga dimuat naik ke laman web MAVCOM untuk maklum balas pihak berkepentingan.

Suruhanjaya menjangkakan rangka kerja RAB yang lengkap ini akan:

  • Memastikan penyediaan pembiayaan yang mencukupi untuk memenuhi keperluan penyelenggaraan dan pembangunan lapangan-lapangan terbang di Malaysia;
  • Mengenakan syarat-syarat bagi perbelanjaan modal yang lebih berdisiplin dalam sektor lapangan terbang Malaysia;
  • Menghapuskan sebarang keperluan untuk pemberian subsidi atau perbelanjaan oleh kerajaan dalam pembangunan dan pengurusan lapangan terbang;
  • Memperkenalkan kadar PSC yang berbeza bagi kumpulan lapangan terbang berdasarkan pada tahap kemudahan dan perkhidmatan;
  • Mengurangkan PSC untuk hampir kesemua lapangan terbang komersial di Malaysia dan memastikan caj lapangan terbang di Malaysia kekal di antara yang terendah di rantau ini;
  • Menyediakan ruang persaingan yang lebih adil dan saksama serta membolehkan persaingan yang sihat dalam sektor penerbangan; dan
  • Memastikan ketelusan dan persekitaran kawal selia yang tinggi bagi para pelabur.

 Suruhanjaya telah membentangkan rangka kerja RAB yang mempunyai empat peringkat kumpulan lapangan terbang dengan kadar PSC yang berbeza kepada Kerajaan Malaysia sebagai penggubal dasar, termasuk Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Dr. Nungsari Ahmad Radhi berkata, “MAVCOM amat menghargai maklum balas YAB Perdana Menteri mengenai rangka kerja RAB yang akan diperkenalkan oleh Suruhanjaya.

Dalam taklimat kepada YAB Perdana Menteri, MAVCOM telah memberikan penerangan mengenai usaha-usaha yang telah dijalankan untuk memberi manfaat kepada penumpang, dan bagaimana suatu mekanisme pembiayaan yang jelas dan telus perlu dilaksanakan untuk memastikan pelaburan yang mencukupi, terutamanya di beberapa lapangan terbang utama yang memerlukan dana pembangunan yang besar. Rangka kerja RAB yang dicadangkan oleh Suruhanjaya dapat mencapai matlamat ini tanpa sebarang beban fiskal kepada Kerajaan. Malah, Kerajaan akan menikmati pulangan dalam bentuk User Fee yang dibayar oleh pengendali lapangan terbang kepada pihak Kerajaan. Suruhanjaya menganggarkan bahawa Kerajaan perlu menanggung pemberian subsidi sebanyak RM300 juta setahun sekiranya PSC tidak ditetapkan dengan tepat dan perbelanjaan pembangunan yang tidak mencukupi akan berterusan. Dengan rangka kerja RAB yang akan diperkenalkan oleh Suruhanjaya, Kerajaan akan dapat memperuntukkan jumlah tersebut ke arah bidang lain yang lebih kritikal di negara ini.”

Suruhanjaya menganggarkan lebih daripada 20 juta penumpang di Malaysia akan menikmati PSC yang lebih rendah setelah rangka kerja RAB ini diperkenalkan. Antara lapangan-lapangan terbang yang dijangka akan mengenakan PSC yang lebih rendah ialah Langkawi, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching, Miri, Sibu, Tawau, Lahad Datu, Kota Bharu dan Alor Setar.

“Rangka kerja RAB adalah selaras dengan Akta 771 dan berlandaskan dengan pandangan pihak-pihak berkepentingan dalam menentukan kadar-penetapan caj yang adil dan berasaskan ekonomi. Penetapan kadar caj mesti dilihat secara menyeluruh dan tidak memberi kelebihan kepada sebarang entiti khusus, serta mempunyai pelbagai manfaat untuk memberi keyakinan kepada pelabur dalam sektor penerbangan bagi tempoh jangka panjang. Adalah amat penting bagi sebarang keputusan yang dibuat berkenaan dengan pelaksanaan PSC dan pembangunan lapangan terbang dapat dilaksanakan dengan teratur serta mematuhi perundangan (rule of law), tanpa mencetuskan sebarang kekeliruan, keraguan serta memberi tekanan kepada pasaran,” tambah Dr Nungsari. 

  MAVCOM akan terus berusaha untuk memastikan pelaksanaan kadar baru ini bermula pada 1 Januari 2020 dan akan membuat pengumuman selanjutnya.Â