Pilih satu Halaman
Ruang Berita / Kenyataan Media / Pertumbuhan Trafik Penumpang Penerbangan Melebihi Ramalan Sebanyak 5.0 Peratus Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020

Pertumbuhan Trafik Penumpang Penerbangan Melebihi Ramalan Sebanyak 5.0 Peratus Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020

10 Dis, 2019

 

Pertumbuhan Trafik Penumpang Penerbangan Melebihi Ramalan Sebanyak 5.0 Peratus Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020

 

KUALA LUMPUR, 10 DISEMBER 2019 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah menerbitkan edisi kelima Laporan Industri dwi-tahunan Waypoint. Laporan Waypoint ini memberi gambaran keseluruhan prestasi industri penerbangan Malaysia bagi separuh pertama 2019 (1H19) serta hala tuju industri bagi tahun 2020.

Mengikut ramalan MAVCOM, trafik penumpang pada tahun 2020 dijangka akan meningkat antara 5.0 peratus tahun ke tahun (YoY) dan 6.0 peratus YoY, bersamaan dengan jumlah trafik penumpang antara 114.9 juta dan 116.0 juta penumpang. Suruhanjaya meramalkan pertumbuhan trafik ini akan didorong oleh Tahun Melawat Malaysia 2020, serta peningkatan kapasiti tempat duduk domestik sebanyak 3.2 peratus YoY. Pertumbuhan pada tahun 2020 ini adalah berikutan ramalan MAVCOM pada tahun 2019 yang telah disemak semula kepada antara 109.1 juta dan 109.7 juta penumpang penerbangan, iaitu bersamaan pertumbuhan antara 6.4 peratus dan 7.0 peratus YoY. Pertumbuhan trafik penumpang bagi 1H19 ialah 5.2 peratus YoY. 

Sorotan Penting daripada Laporan Waypoint 

Pada 1H19, Malaysia telah merekodkan ketibaan pelancong melalui udara sebanyak 4.8 juta, bersamaan dengan pertumbuhan sebanyak 8.8 peratus YoY. Ini adalah lebih tinggi daripada pertumbuhan yang direkodkan bagi ketibaan pelancong secara keseluruhan melalui kesemua mod pengangkutan, iaitu sebanyak 4.9 peratus YoY, bersamaan dengan 13.4 juta. Peningkatan ini terutamanya disebabkan oleh ketibaan pelancong yang lebih tinggi dari Indonesia, China, dan Thailand, yang mengimbangi penurunan ketibaan pelancong dari Singapura dan Brunei. Secara kolektif, kelima-lima negara ini menyumbang kepada 78 peratus daripada jumlah ketibaan pelancong pada 1H19.

Pada 1H19, purata margin keuntungan operasi syarikat-syarikat penerbangan Malaysia jatuh kepada 0.3 peratus YoY kerana peningkatan kos. Walaupun purata kos tempat duduk kilometer tersedia (CASK) menyaksikan kenaikan sebanyak 5.9 peratus YoY kepada 17.9 sen, purata perolehan tempat duduk kilometer tersedia (RASK) telah menyusut sebanyak 2.2 peratus kepada 15.9 sen. MAVCOM mengambil maklum bahawa jurang negatif RASK-CASK pada 1H19 adalah lebih besar berbanding tempoh yang sama pada tahun 2018. Ini menunjukkan keuntungan syarikat-syarikat penerbangan Malaysia yang semakin menurun serta mencerminkan persekitaran operasi yang mencabar bagi industri penerbangan di Malaysia. Pertumbuhan trafik penumpang domestik yang lebih kukuh berbanding pertumbuhan trafik penumpang antarabangsa juga boleh mempengaruhi pendapatan pengendali aerodrom pada tahun 2020, oleh kerana Caj Perkhidmatan Penumpang yang lebih rendah bagi penerbangan domestik.

Pada tahun 2020, kapasiti tempat duduk syarikat-syarikat penerbangan Malaysia dijangka akan meningkat sebanyak 2.0 peratus YoY berbanding dengan 4.3 peratus YoY pada tahun sebelumnya. Lanjutan daripada itu, purata harga tambang syarikat-syarikat penerbangan dijangka akan kekal atau meningkat sedikit disebabkan oleh peningkatan kapasiti yang lebih rendah. Faktor ini juga mungkin membolehkan syarikat-syarikat penerbangan tempatan meningkatkan faktor beban mereka.

Dr. Nungsari Ahmad Radhi, Pengerusi Eksekutif MAVCOM, berkata, “Suruhanjaya mengambil maklum mengenai perkembangan pembangunan hab lapangan-lapangan terbang alternatif pada tahun 2019 di lapangan terbang Johor Bahru, Kuching, dan Kota Kinabalu – selari dengan peruntukan tempat duduk yang lebih banyak oleh syarikat penerbangan ke lapangan-lapangan terbang tersebut yang membolehkan lebih banyak pilihan ke destinasi-destinasi domestik. Peruntukan tempat duduk yang lebih ke destinasi lapangan-lapangan terbang ini menyokong pertumbuhan domestik pada tahun 2019, dan dijangka akan berterusan pada tahun 2020, di mana laluan dalam Sabah dan Sarawak akan mengalami pertumbuhan tertinggi.”

Kertas Teknikal bertajuk, Pengurusan Permintaan Lapangan Terbang: Peranan Slot Lapangan Terbang juga diterbitkan bersama edisi kelima Waypoint. Kertas Teknikal ini membincangkan peranan slot dalam pengurusan permintaan lapangan terbang, di mana slot adalah kebenaran yang diberikan kepada syarikat-syarikat penerbangan untuk menggunakan pelbagai infrastruktur lapangan terbang yang berkaitan dengan operasi pelepasan atau pendaratan.

Sebuah lapangan terbang dianggap sesak apabila infrastrukturnya tidak mampu menangani permintaan pada hampir setiap masa (Tahap 3) atau semasa tempoh puncak (Tahap 2). Di Malaysia, hanya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur diklasifikasikan sebagai lapangan terbang Tahap 3, seperti yang dikelaskan oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA). Sebanyak sembilan lapangan terbang lain di negara ini juga mengalami kesesakan penumpang penerbangan dan mengendalikan kadar penumpang yang lebih banyak daripada kapasiti reka bentuk terminal masing-masing.

Peruntukan slot bagi lapangan-lapangan terbang di Malaysia dikendalikan oleh National Slot Coordination Malaysia. Sebagai pengawalselia bagi perihal persaingan industri penerbangan, MAVCOM juga membuat pertimbangan mengenai langkah-langkah yang berkaitan dengan slot ketika membuat penilaian bagi permohonan untuk pengecualian atau pencantuman. Oleh sebab pertumbuhan industri serta tekanan yang semakin meningkat terhadap infrastruktur lapangan terbang, peruntukan slot dijangka akan memainkan peranan yang lebih besar dalam pengurusan permintaan lapangan terbang di Malaysia. Penyelesaian lain seperti meningkatkan kecekapan operasi dan menaik taraf sistem pengurusan trafik udara juga perlu diterokai sebelum membuat pengembangan kepada infrastruktur lapangan terbang.

Laporan Waypoint boleh didapati dalam bentuk PDF di sini.

Kertas Teknikal mengenai Pengurusan Permintaan Lapangan Terbang: Peranan Slot Lapangan Terbang boleh dimuat turun di sini.