Pilih satu Halaman

Ruang Berita / Pengumuman / Penjelasan mengenai maklumat yang terkandung di dalam akhbar The Edge pada 23 Disember 2019

Penjelasan mengenai maklumat yang terkandung di dalam akhbar The Edge pada 23 Disember 2019

7 Jan, 2020

 

Pada 23 Disember 2019, akhbar The Edge Weekly telah menerbitkan sebuah artikel yang menyentuh berkenaan keputusan Kerajaan untuk ‘menggabungkan’ Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM atau Suruhanjaya) dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM). Artikel tersebut mengandungi ungkapan-ungkapan berikut: 

    • “Tiada entiti yang mengenali/mengiktiraf MAVCOM sebagai pihak berkuasa bagi sektor penerbangan awam”;
    • “MAVCOM enggan melaksanakan keputusan Kabinet berkenaan Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC)”;
    • “MAVCOM bebas untuk melaksanakan RAB”;

 

Suruhanjaya ingin membuat sorotan mengenai perkara-perkara yang berikut: 

“Tiada entiti yang mengenali/mengiktiraf MAVCOM sebagai pihak berkuasa bagi sektor penerbangan awam”

MAVCOM telah diwujudkan selaras dengan penggubalan dan pewartaan Akta Parlimen (Akta Suruhanjaya Malaysia 2015 [Akta 771]), untuk berfungsi sebagai pengawal selia ekonomi bebas bagi industri penerbangan awam di Malaysia. Suruhanjaya bertanggungjawab bagi pelbagai fungsi termasuk pelesenan komersial bagi penyedia perkhidmatan dalam industri penerbangan, peruntukan hak lalu lintas udara, persaingan, perlindungan pengguna, penetapan caj-caj lapangan terbang dan pentadbiran bagi obligasi perkhidmatan awam. MAVCOM mula beroperasi pada 1 Mac 2016. Tiada timbul isu mengenai pengiktirafan di bawah undang-undang negara.

Semenjak penubuhan, Suruhanjaya telah berhubung dengan syarikat penerbangan, pengendali lapangan terbang, pengendali darat, pelabur, penganalisa, pihak bank, pengguna, persatuan pengguna, agensi pelancongan, dan agensi kerajaan – kesemua dari dalam dan juga di luar Malaysia – berkenaan perkara-perkara yang dipertanggungjawabkan kepada MAVCOM secara sah. Sebagai salah satu contoh, MAVCOM berhubung dengan lebih daripada 163 syarikat penerbangan tempatan dan asing untuk kesemua permohonan permit pendaratan di Malaysia, melalui sistem AeroFile*. 

Suruhanjaya juga telah berhubung rapat dengan pihak berkuasa asing bagi penerbangan awam dan persaingan, serta persatuan-persatuan industri penerbangan utama di peringkat antarabangsa seperti International Civil Aviation Organisation (ICAO), International Air Transport Association (IATA), Airports Council International (ACI), Association of Air Pacific Airlines (AAPA) dan Organisation for Economic Cooperation and Development (OECD), berhubung perihal yang berkaitan dengan peraturan ekonomi dan perlindungan pengguna bagi industri penerbangan awam di Malaysia, serta di luar negara. Pihak berkepentingan tempatan dan antarabangsa juga telah seringkali mendapatkan pandangan MAVCOM mengenai pelbagai perkara termasuk – ekonomi lapangan terbang, liberalisasi pengangkutan udara, kesalinghubungan udara, perlindungan pengguna dan persaingan di antara syarikat penerbangan.

Pengiktirafan MAVCOM pada tahap antarabangsa juga boleh dilihat apabila MAVCOM telah dijemput untuk memberi pembentangan di pelbagai persidangan antarabangsa yang berkaitan dengan hak penumpang udara serta perundangan lapangan terbang. Suruhanjaya pernah mewakili Malaysia di Bengkel Perlindungan Penumpang yang dianjurkan oleh European Union Aviation Safety Agency di Laos pada bulan Mac 2019 dan sekali lagi di Yangon pada Oktober 2019. MAVCOM merupakan satu-satunya organisasi yang dijemput dari rantau Asia Pasifik ke suatu bengkel antarabangsa berkenaan Hak Penumpang Udara. Bengkel yang dianjurkan oleh Directorate General for Mobility and Transport of the European Commission, telah dihadiri oleh pakar-pakar antarabangsa dari seluruh dunia dan bertujuan untuk perkongsian pengalaman serta pendekatan mengenai hak penumpang udara.

Tambahan pula, Suruhanjaya telah berkongsi pandangan serta kerja-kerja yang telah dijalankan berkenaan Rangka Kerja Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang, apabila Suruhanjaya telah dijemput untuk memberi ulasan di sebuah bengkel mengenai caj aeronautikal yang dianjurkan oleh ICAO dan IATA. Suruhanjaya juga telah dijemput untuk memberi pembentangan mengenai perundangan perlindungan pengguna serta kerja-kerja berkenaan persaingan di Bengkel Dasar Perlindungan Pengguna dan Bengkel Mengantaramukakan (Interface) Pengguna ASEAN yang berlangsung di Myanmar dan dianjurkan oleh Deutsche Gesellschaft für Internationale Zusammenarbeit (GIZ) dari Jerman.

Selain daripada agensi-agensi antarabangsa, Anggota Suruhanjaya MAVCOM juga terdiri daripada para profesional dari pelbagai latar belakang, yang  diiktiraf dan pakar dalam bidang masing-masing. Akta 771 juga menetapkan bahawa Anggota Suruhanjaya MAVCOM hendaklah terdiri daripada wakil daripada agensi Kerajaan iaitu Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, serta Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi dari Jabatan Perdana Menteri. 

 

MAVCOM “enggan melaksanakan keputusan Kabinet” berkenaan Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC)

Menurut undang-undang, dan secara khususnya, Seksyen 46, Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia [Akta 771], caj-caj aeronautikal hendaklah ditetapkan dan diwartakan oleh MAVCOM. Seksyen 46 Akta 771 selanjutnya mentakrifkan bagaimana caj-caj aeronautikal perlu ditetapkan – di mana kesemua pihak berkepentingan perlu dimaklumkan mengenai metodologi yang dipilih oleh Suruhanjaya. Caj-caj ini juga perlu ditentukan melalui proses rundingan bersama kesemua pihak berkepentingan tersebut. 

Peraturan undang-undang menetapkan bahawa peruntukan-peruntukan di dalam Akta 771 perlu dipatuhi dan Suruhanjaya telah bertindak mengikut undang-undang.

Isu Suruhanjaya yang tidak mewartakan keputusan Kabinet adalah dengan ini tidak berbangkit. Suruhanjaya juga telah turut memberi taklimat kepada Perdana Menteri dan ahli-ahli Kabinet terpilih mengenai penetapan kadar Caj PSC.

 

“MAVCOM boleh melaksanakan RAB”

Rangka kerja RAB bukan sahaja melibatkan pengiraan dan penetapan caj-caj lapangan terbang, tetapi juga tindakan susulan yang lain setelah penetapan caj. Kerja-kerja susulan ini termasuk pemantauan pelan modal dan rancangan perniagaan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB), serta menilai prestasi operasi MAHB. Ini adalah selaras dengan jenis perniagaan jangka panjang lapangan terbang sebagai perniagaan infrastruktur dan rangka kerja RAB sebagai model pendanaan jangka panjang lapangan terbang. Kegagalan untuk melaksanakan kerja-kerja susulan ini dengan betul akan mengakibatkan pengendali lapangan terbang beroperasi dalam suasana kekaburan, menjejas keyakinan pelabur dan rangka kerja RAB tidak bermakna.  

Berikutan pengumuman pembubaran MAVCOM oleh Kementerian Pengangkutan pada Disember 2019, kerja-kerja susulan yang kritikal haruslah dilaksanakan oleh CAAM dalam jangka masa panjang sekiranya implementasi RAB diteruskan. Oleh itu, MAVCOM kini sedang menilai langkah-langkah seterusnya bagi model pendanaan lapangan terbang RAB, selepas pengumuman mengenai ‘penggabungan’ MAVCOM dan CAAM. Pelaksanaan RAB perlu mempertimbangkan kesediaan CAAM untuk melaksanakan tindakan lanjut dan isu-isu yang diutamakan oleh CAAM, terutama sekali disebabkan penurunan taraf CAAM oleh Federal Aviation Administration (FAA) baru-baru ini.

Sekiranya implementasi RAB diteruskan, Suruhanjaya percaya bahawa model pendanaan lapangan terbang RAB perlu dilaksanakan secara bermakna dan profesional. Rangka kerja RAB, jika dilaksanakan dengan betul, akan memberikan manfaat-manfaat berikut bagi industri penerbangan serta pengguna:

  • Memastikan pembiayaan yang mencukupi untuk keperluan penyelenggaraan dan pembangunan lapangan terbang Malaysia;
  • Menghasilkan perbelanjaan modal yang lebih berdisiplin dalam sektor lapangan terbang Malaysia;
  • Menghapuskan sebarang keperluan subsidi atau perbelanjaan kerajaan dalam pembangunan dan pengurusan lapangan terbang;
  • Mewujudkan kadar PSC yang berbeza untuk lapangan terbang secara berkumpulan, bergantung pada tahap perkhidmatan dan infrastruktur mereka;
  • Mengurangkan PSC untuk hampir semua lapangan terbang komersial di Malaysia dan memastikan caj lapangan terbang di Malaysia kekal di antara yang terendah di rantau ini;
  • Membolehkan persekitaran yang sama rata dan sesuai untuk persaingan yang sihat dalam sektor penerbangan; dan
  • Memastikan ketelusan yang lebih tinggi dan memberi kepastian lebih kepada pelabur.

Sebagai tambahan kepada rangka kerja RAB, manfaat-manfaat di atas juga terpakai bagi inisiatif-inisiatif semasa MAVCOM yang lain, termasuk rangka kerja Kualiti Perkhidmatan (QoS) Lapangan Terbang dan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016. Suruhanjaya menilai langkah seterusnya bagi model pendanaan RAB lapangan terbang, dengan mengambil kira faktor-faktor ini.

 

“Penggabungan MAVCOM dan CAAM”

Suruhanjaya mentafsirkan keputusan kerajaan untuk memansuhkan Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 sebagai pembubaran MAVCOM. 

Pihak Suruhanjaya tidak pasti akan bagaimana, serta fungsi-fungsi MAVCOM yang mana akan diambil alih oleh CAAM, kerana tiada rundingan yang dibuat dengan Suruhanjaya mengenai keputusan ini. Isu penting yang sedang dihadapi oleh industri penerbangan Malaysia pada hari ini adalah isu penurunan taraf CAAM oleh FAA dari Kategori 1 kepada Kategori 2. Dalam pandangan Suruhanjaya, keputusan untuk menggabung MAVCOM dan CAAM tidak berupaya untuk menangani isu mendesak ini. Dakwaan yang telah dibuat secara terbuka bahawa ‘penggabungan’ ini akan membantu kedudukan kewangan CAAM dan menjadi penyelesaian kepada isu penurunan taraf CAAM oleh FAA – secara khususnya, adalah tidak berasas. 

Suruhanjaya ingin memberi penekanan sekali lagi bahawa ia tidak dirujuk sebelum keputusan ini dibuat. Jika Suruhanjaya telah dirujuk mengenai keputusan penggabungan tersebut, Kabinet akan mendapat manfaat dari pelbagai pandangan dalam mencapai keputusannya. 

Walau bagaimanapun, Suruhanjaya akan berusaha ke arah peralihan fungsi-fungsi berkanun MAVCOM kepada CAAM pada bulan-bulan yang akan datang dan berharap bahawa Kementerian Pengangkutan akan memberikan kerjasama penuh untuk memastikan proses tersebut dilaksanakan dengan cara yang saksama. Suruhanjaya juga berharap, demi industri penerbangan di Malaysia, bahawa pengawalselia penerbangan tunggal yang terhasil daripada ‘penggabungan’ ini, merupakan pengawalselia yang bebas, dan tidak memberi atau tunduk kepada tekanan politik atau kehendak pihak-pihak berkepentingan (regulatory capture or political interference) dan menetapkan taraf piawaian industri dengan integriti dan profesionalisme.

*AeroFile adalah suatu sistem pemfailan automatik yang dibangunkan oleh MAVCOM pada tahun 2018. Sistem ini mengurangkan masa pemprosesan permohonan permit pendaratan dari 30 hari (apabila fungsi ini dijalankan oleh Kementerian Pengangkutan) kepada tujuh hari bekerja bagi penerbangan berjadual dan dari 14 hingga tiga hari bekerja bagi penerbangan yang tidak dijadualkan.

Pautan ke artikel The Edge:

Bahagian 1

Bahagian 2

Bahagian 3