MAVCOM Memberikan Kelulusan 37 Hak Trafik Udara pada Q4 2019
MAVCOM Memberikan Kelulusan 37 Hak Trafik Udara pada Q4 2019
AirAsia penerima kelulusan ATR tertinggi dengan 37 Hak Trafik Udara bagi tahun 2019
KUALA LUMPUR, 9 Januari 2020 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah mengeluarkan makluman terkini mengenai peruntukan Hak Trafik Udara (ATR) bagi suku keempat tahun 2019 (Q4 2019). Kemaskini ATR terbaharu ini merangkumi peruntukan ATR yang diberikan oleh Suruhanjaya kepada syarikat-syarikat penerbangan bagi tempoh 1 Oktober hingga 31 Disember 2019.
Pada suku akhir 2019, MAVCOM telah meluluskan sebanyak 37 permohonan ATR, iaitu 94.8 peratus daripada kesemua permohonan yang diterima oleh Suruhanjaya pada suku tersebut. Daripada 37 permohonan ATR ini, 12 merupakan kelulusan bagi laluan domestik manakala 25 peratus ialah bagi laluan antarabangsa. MAVCOM telah meluluskan sebanyak 15 ATR untuk laluan antarabangsa, lima ATR ke destinasi China, tiga ATR ke Timur Tengah dan dua ATR ke destinasi-destinasi Asia yang lain.
Bagi keseluruhan tahun 2019, Suruhanjaya telah meluluskan sebanyak 98.9 peratus daripada 175 permohonan ATR yang diterima oleh Suruhanjaya dari 1 Januari hingga 31 Disember 2019. Daripada 173 permohonan yang diluluskan oleh Suruhanjaya, 60 ATR ialah untuk destinasi domestik, 60 untuk destinasi ASEAN, 26 untuk destinasi di China dan 27 untuk destinasi-destinasi Asia yang lain dan Australia.
Pecahan ATR mengikut syarikat penerbangan bagi suku terakhir tahun 2019 menunjukkan bahawa Malindo Air telah menerima kelulusan ATR yang tertinggi iaitu dengan sebanyak 15 ATR, diikuti oleh Kumpulan AirAsia dengan sepuluh ATR dan Malaysia Airlines Berhad dengan tujuh ATR bagi tempoh tiga bulan tersebut. Kumpulan AirAsia menerima jumlah peruntukan ATR tertinggi dengan 75 ATR bagi keseluruhan tahun 2019.
Sementara itu, daripada 37 kelulusan ATR pada suku tahun 2019, 21 ATR telah diluluskan bagi penerbangan yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KUL), tiga dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (BKI) dan 13 dari lapangan terbang Malaysia yang lain.
Tambahan pada itu, terdapat 27 ATR yang telah diluluskan sebelum suku terakhir 2019, yang tidak digunakan oleh syarikat penerbangan dan kemudiannya dikembalikan kepada MAVCOM dalam tempoh tersebut. Bilangan ATR tertinggi yang tidak digunakan oleh syarikat penerbangan adalah daripada Kumpulan AirAsia (16) dan Malaysia Airlines Berhad (enam). Lima permohonan tambahan juga telah ditarik balik secara sukarela oleh syarikat penerbangan (AirAsia – dua; dan Malaysia Airlines – tiga) dalam tempoh tersebut.
Penerbitan Laporan Hak Trafik Udara dikeluarkan secara suku tahunan dan maklumat terkini boleh didapati di laman web MAVCOM (www.mavcom.my).