Pilih satu Halaman
Ruang Berita / Kenyataan Media / MAVCOM Akan Membuat Penilaian Mengenai Kelayakan dan Kesesuaian Eksekutif-eksekutif AirAsia dan AirAsia X

MAVCOM Akan Membuat Penilaian Mengenai Kelayakan dan Kesesuaian Eksekutif-eksekutif AirAsia dan AirAsia X

3 Feb, 2020


MAVCOM Akan Membuat Penilaian Mengenai
Kelayakan dan Kesesuaian Eksekutif-eksekutif AirAsia dan AirAsia X

KUALA LUMPUR, 3 Februari 2020 – Berikutan keputusan penghakiman yang dibuat oleh Crown Court di Southwark, London mengenai dakwaan rasuah yang melibatkan Airbus SE dan dua individu yang berkaitan dengan AirAsia Berhad (“AirAsia”) dan AirAsia X Berhad (“AirAsia X”), yang juga dilaporkan oleh pihak media pada 1 Februari 2020, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (“Suruhanjaya”) akan membuat penilaian sama ada terdapat apa-apa pelanggaran kepada Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771] dan “Guidelines on Fit and Proper Person” (“Garis Panduan”) yang diterbitkan oleh Suruhanjaya. 

AirAsia dan AirAsia X adalah pemegang Lesen-lesen Perkhidmatan Udara yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya. Oleh itu, AirAsia dan AirAsia X serta individu-individu utama yang bertanggungjawab dari syarikat-syarikat penerbangan tersebut adalah tertakluk kepada Akta 771 serta Garis Panduan ini. 

Dakwaan-dakwaan yang dibuat menyentuh bidang kuasa pelbagai agensi di Malaysia. Suruhanjaya akan bekerjasama dengan semua pihak berkuasa yang berkenaan mengenai perkara ini.