Pilih satu Halaman
Ruang Berita / Kenyataan Media / MAVCOM Memperkenalkan Langkah-Langkah Penambahbaikan Industri Penerbangan Awam Malaysia Dari Segi Ekonomi

MAVCOM Memperkenalkan Langkah-Langkah Penambahbaikan Industri Penerbangan Awam Malaysia Dari Segi Ekonomi

10 Feb, 2020

 

MAVCOM Memperkenalkan Langkah-Langkah Penambahbaikan Industri Penerbangan Awam Malaysia Dari Segi Ekonomi
Rangka kerja institusi yang kukuh diperlukan untuk membangunkan industri penerbangan awam Malaysia yang lebih mapan

 

KUALA LUMPUR, 11 FEBRUARI 2020 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM atau Suruhanjaya) telah menerbitkan satu kertas cadangan bagi membangunkan sektor penerbangan awam di Malaysia. Kertas cadangan ini diterbitkan oleh Suruhanjaya atas permintaan Kementerian Pengangkutan (MoT) pada tahun 2016, di mana ianya adalah sebahagian daripada Strategi Penerbangan Nasional (NAS). Kertas cadangan ini juga selaras dengan Dasar Pengangkutan Negara, yang bertujuan untuk mewujudkan jejak global dan mengantarabangsakan perkhidmatan pengangkutan Malaysia. 

Kertas cadangan ini telah pun disiapkan pada bulan Disember 2018. Penyediaan kertas cadangan ini mengambil kira penyelidikan dan analisis dalaman serta sesi libat urus antara Suruhanjaya dan pihak-pihak berkepentingan dalam industri. Suruhanjaya telah mempertimbangkan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh pihak-pihak berkepentingan dalam industri termasuk syarikat-syarikat penerbangan, operator-operator lapangan terbang dan pengendali-pengendali darat di Malaysia; kementerian-kementerian seperti MoT, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Kewangan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan; agensi-agensi kerajaan seperti TalentCorp Malaysia, Unit Perancang Ekonomi dan Jabatan Perangkaan Malaysia; serta pengawal-pengawal selia termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Suruhanjaya / Agensi Pengangkutan Awam Darat dan Bank Negara Malaysia.

Pada bulan Disember 2019, Kerajaan Malaysia telah membuat keputusan untuk membubarkan MAVCOM dan memindahkan beberapa fungsi Suruhanjaya ke CAAM. Justeru itu, Suruhanjaya beranggapan ianya adalah sesuai untuk kertas cadangan ini diterbitkan bagi rujukan pihak industri dan pihak awam, sebelum pembubaran MAVCOM.

Dr. Nungsari Ahmad Radhi, Pengerusi Eksekutif MAVCOM, menyatakan “Kami ingin mengutarakan pandangan MAVCOM mengenai industri penerbangan awam termasuk peluang-peluang dalam industri ini, sebelum kami melepaskan peranan kami sebagai pengawalselia ekonomi bagi sektor penerbangan negara. Kami percaya bahawa cadangan-cadangan ini akan diberi pertimbangan sewajarnya untuk pembangunan industri dan manfaat pengguna.”

MAVCOM telah mengenalpasti bahawa penambahbaikan ketersambungan udara sebagai matlamat utama bagi sektor penerbangan Malaysia, dan seterusnya menggariskan tiga Teras Strategik bagi mencapai matlamat tersebut. Teras pertama adalah penubuhan dan pengekalan persekitaran komersial yang adil dan kompetitif. Suruhanjaya menyokong suatu persekitaran kompetitif yang mantap antara pemain-pemain industri berserta kewujudan rangka kerja perundangan di Malaysia untuk membangunkan sektor penerbangan awam yang berprestasi tinggi. Campur tangan kerajaan yang memihak kepada mana-mana pemain industri tertentu perlu dikurangkan. Pada masa yang sama, perundangan persaingan yang kukuh perlu ada untuk memastikan persekitaran yang adil bagi pemain-pemain industri.

Kedua adalah penyediaan infrastruktur lapangan terbang yang cekap dan berkesan dari segi penyampaian perkhidmatan dan operasi. Lapangan terbang memainkan peranan utama dalam memudahkan ketersambungan udara bagi Malaysia, dan ianya juga merupakan sebahagian besar daripada pengalaman penumpang. Oleh itu, pembangunan sektor lapangan terbang di Malaysia perlu diberikan penekanan yang sewajarnya dalam menggariskan hala tuju jangka panjang industri penerbangan awam Malaysia. Pembangunan model pembiayaan lapangan terbang oleh Suruhanjaya melalui kaedah Rangka Kerja Asas Aset Terkawal Selia (Regulated Asset Base – RAB Framework), serta cadangan Suruhanjaya untuk memberikan autonomi komersial yang lebih besar kepada operator-operator lapangan terbang Malaysia, antara lainnya, telah dibuat berdasarkan objektif ini.

Ketiga adalah penubuhan asas modal insan yang kukuh bagi menyokong pembangunan sektor penerbangan awam. Ketersambungan udara serta infrastruktur lapangan terbang yang lebih baik hanya dapat dicapai sekiranya ia didokong oleh modal insan yang cekap dan berkesan. Suruhanjaya juga telah menggariskan cadangan-cadangan untuk memupuk lebih banyak bakat dalam sektor ini. 

Lanjutan daripada itu, Suruhanjaya menekankan bahawa ketiga-tiga Teras Strategik ini perlu disokong oleh satu rangka kerja institusi yang kukuh bagi industri penerbangan awam di Malaysia. Kementerian Pengangkutan, sebagai penggubal dasar industri dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), sebagai pengawalselia teknikal dan, juga pengawalselia ekonomi pada masa akan datang bagi industri penerbangan, perlu diperkukuhkan untuk memastikan kedua-dua entiti mempunyai kepakaran yang mencukupi, mengamalkan tadbir urus yang baik, terbuka kepada rundingan, telus, serta menghormati undang-undang Malaysia. Seterusnya, Suruhanjaya menekankan bahawa CAAM perlu dijadikan pengawalselia bebas untuk menangani isu-isu berkaitan penarafan ke Kategori 2 oleh Federal Aviation Administration (FAA)  Amerika Syarikat, dan untuk memaksimumkan keberkesanan peranannya. 

Tambah Dr. Nungsari, “Industri penerbangan awam sedang menghadapi pelbagai cabaran, termasuk kemalangan-kemalangan udara, penurunan penarafan CAAM, coronavirus, serta tuduhan-tuduhan tingkah laku tidak wajar. Walau bagaimanapun, Suruhanjaya berharap langkah-langkah akan diambil oleh industri, khususnya oleh Kementerian Pengangkutan dan CAAM, untuk mengembalikan Malaysia ke kedudukannya sebagai hab penerbangan yang berdaya tahan serta dihormati di peringkat global. Suruhanjaya percaya bahawa kertas cadangan yang diterbitkan pada hari ini akan menyumbang ke arah untuk menjadikan objektif ini sebuah realiti.”

Di samping itu, Suruhanjaya juga telah menerbitkan satu laporan mengenai “Kesan dan Implikasi Ekonomi Akibat daripada Penurunan Penarafan CAAM”. 

Kertas Cadangan Jangka Panjang MAVCOM untuk Industri Penerbangan Awam di Malaysia (2021-2030) boleh didapati di pautan ini.

Laporan mengenai Kesan dan Implikasi Ekonomi Akibat daripada Penurunan Penarafan CAAM boleh didapati di pautan ini.