Pilih satu Halaman
Ruang Berita / Kenyataan Media / Trafik Penumpang Malaysia Dianggarkan Menurun Antara 36.2 dan 38.1 Peratus pada 2020 kerana COVID-19

Trafik Penumpang Malaysia Dianggarkan Menurun Antara 36.2 dan 38.1 Peratus pada 2020 kerana COVID-19

27 Mac, 2020

 

Trafik Penumpang Malaysia Dianggarkan Menurun Antara 36.2 dan 38.1 Peratus pada 2020 kerana COVID-19
Dasar yang jelas dan pelaksanaan tadbir urus yang baik adalah penting bagi Kerajaan dalam menentukan apa-apa bantuan kewangan untuk syarikat-syarikat penerbangan

 

KUALA LUMPUR, 27 MAC 2020 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) hari ini menerbitkan edisi keenam Laporan Industrinya, Waypoint, yang memaparkan prospek Suruhanjaya bagi industri pada tahun 2020. Selain itu, Suruhanjaya juga menerbitkan “Ulasan Mengenai Bantuan Kerajaan Kepada Industri Penerbangan Berikutan Pandemik Covid-19”.

Berikutan pandemik COVID-19, MAVCOM telah mengkaji semula prospek sektor penerbangan Malaysia pada tahun 2020. Seperti yang digariskan dalam penerbitan Waypoint hari ini, MAVCOM membuat semakan semula unjuran bagi trafik penumpang Malaysia daripada pertumbuhan antara 4.6 peratus dan 5.7 peratus, kepada penurunan antara 36.2 peratus dan 38.1 peratus tahun ke tahun (YoY). Ini bermakna unjuran trafik penumpang adalah antara 67.7 juta dan 69.7 juta pada tahun 2020, penurunan yang ketara berbanding jumlah penumpang seramai 109.2 juta pada 2019. 

Unjuran trafik penumpang tersebut telah mengambil kira pembatalan penerbangan oleh syarikat-syarikat penerbangan Malaysia dan asing sebanyak 14.0 juta tempat duduk (bagi tempoh antara Januari dan Disember 2020). Ini adalah tambahan kepada pengurangan tempat duduk sebanyak 15 peratus bagi laluan domestik dan 20 peratus bagi laluan antarabangsa. Walau bagaimanapun, Suruhanjaya menekankan bahawa perkembangan yang belum pernah terjadi ini akan berlanjutan di Malaysia dan seluruh dunia, lantas menjejaskan prospek industri penerbangan negara. Oleh itu, MAVCOM akan terus memantau perkembangan industri dan membuat semakan terhadap unjuran trafik penumpang dengan sewajarnya.  

Syarikat-syarikat penerbangan Malaysia sedang mengurangkan kapasiti tempat duduk pada 2020 sebagai tindak balas terhadap permintaan perjalanan udara yang rendah dan sekatan perjalanan yang dikenakan oleh negara-negara di seluruh dunia. 7.3 juta tempat duduk telah dibatalkan (sehingga 26 Mac 2020), mewakili 8.6 peratus daripada jumlah kapasiti tempat duduk bagi syarikat penerbangan Malaysia pada tahun 2020. Syarikat-syarikat penerbangan asing yang beroperasi dari dan ke Malaysia juga telah mengurangkan kapasiti tempat duduk sebanyak 6.7 juta (24.5 peratus daripada jumlah kapasiti tempat duduk bagi syarikat penerbangan asing) pada tahun 2020.

Selaras dengan penurunan permintaan yang drastik, operator-operator industri penerbangan kini mengalami kesukaran dalam mengekalkan status kewangan mereka. Mengenai pemberian bantuan oleh Kerajaan kepada operator-operator industri, terutamanya syarikat penerbangan, Suruhanjaya telah menyatakan pandangannya dalam “Ulasan Mengenai Bantuan Kerajaan Kepada Industri Penerbangan Berikutan Pandemik Covid-19”. MAVCOM berpendapat bahawa kerana kepentingan awam lain yang juga bersaing untuk mendapatkan bantuan fiskal awam seperti sektor kesihatan dan perusahaan kecil-sederhana, Kerajaan sepatutnya dilihat hanya sebagai pilihan terakhir untuk operator industri penerbangan untuk mendapatkan bantuan fiskal awam.

MAVCOM juga menyarankan bahawa prinsip-prinsip tadbir urus yang baik perlu dipatuhi sekiranya Kerajaan memilih untuk memberikan bantuan kewangan kepada syarikat-syarikat penerbangan. Sememangnya, prinsip-prinsip tersebut harus dilaksanakan ke atas mana-mana penerima bantuan Kerajaan untuk mengelakkan penyalahgunaan dana awam.

Sebagai langkah tambahan bagi mengukuhkan daya tahan kewangan industri penerbangan dalam tempoh masa panjang, MAVCOM juga menggesa Kerajaan untuk mempertimbangkan peraturan pemilikan bagi memudahkan syarikat penerbangan  memperoleh dana dari pasaran modal domestik dan antarabangsa. Suruhanjaya juga menekankan kepentingan pematuhan kepada peruntukan kawalan penggabungan yang terkandung dalam Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 sekiranya penyatuan dalam industri ingin diterokai bagi memastikan kepentingan industri dan pengguna tetap dilindungi.

Dr. Nungsari Ahmad Radhi, Pengerusi Eksekutif MAVCOM berkata, “Industri penerbangan mungkin adalah industri yang paling teruk terjejas disebabkan oleh wabak pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia. Ini kerana kebanyakan syarikat penerbangan terpaksa menghentikan perkhidmatan dan seterusnya menyebabkan mereka mengalami meletakkan kebanyakan syarikat penerbanganmereka di dalam masalah kewangan yang serius. Laporan Waypoint juga menggambarkan suasana suram bagi industri penerbangan dalam tempoh terdekat. Daya tahan syarikat penerbangan dalam landskap industri penerbangan domestik dan global apabila krisis telah berakhir adalah perkara yang masih belum pasti.  Malaysia memerlukan industri penerbangan yang menyokong pertumbuhan ekonomi negara serta permintaan pengangkutan udara. Oleh itu, negara memerlukan ketersambungan destinasi serta persaingan yang sihat dalam kalangan syarikat penerbangan. Krisis seperti ini memerlukan penyelesaian radikal termasuk penyatuan dalam industri dan dasar liberalisasi yang lebih jauh, mengambil kira kepentingan negara untuk industri penerbangan. Keperluan berdaya saing akan memastikan kepentingan pengguna dilindungi dengan sewajarnya dan pelaksanaan tadbir urus yang baik. Industri ini mengalu-alukan sebarang bantuan daripada Kerajaan, dalam apa jua bentuk, tetapi kami sedar permintaan sumber awam pada masa ini adalah sukar. “

Laporan Waypoint kini dikeluarkan setiap suku tahun. Salinan laporan Waypoint dan Ulasan tersebut boleh didapati di laman web MAVCOM di www.mavcom.my.