MAVCOM Terus Melindungi Hak Pengguna Penerbangan Semasa PKP Melalui Kod Perlindungan Pengguna
Â
KUALA LUMPUR, 8 April 2020: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Suruhanjaya) ingin merujuk kepada kenyataan akhbar dari Persatuan Agensi-Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) yang dikeluarkan hari ini.
COVID-19 telah mengakibatkan industri penerbangan di seluruh dunia melalui salah satu tempoh yang paling mencabar. Penempahan tiket perjalanan penumpang telah merosot, dan pendapatan syarikat penerbangan telah menurun dengan amat ketara. Ini telah menyebabkan syarikat-syarikat penerbangan menghadapi cabaran yang amat berat dalam menguruskan sumber dan dana aliran tunai mereka. Keadaan luar biasa dan luar jangkaan ini tidak terkecuali berlaku di Malaysia.
MAVCOM menganggarkan trafik penumpang di Malaysia akan berkurangan antara 36.2 peratus dan 38.1 peratus bagi tahun 2020 berbanding tahun sebelumnya akibat dari wabak COVID-19. Sementara itu, IATA menjangkakan bahawa negara-negara Asia Pasifik akan mengalami penurunan dari segi permintaan penumpang sebanyak 34 peratus kepada 44 peratus pada tahun ini.
Setakat ini, syarikat penerbangan yang beroperasi di Malaysia telah menunjukkan pembatalan kira-kira 13.6 juta tempat duduk, atau 12.3 peratus daripada operasi berjadual tahunan. Syarikat-syarikat penerbangan di Malaysia juga telah menerima permintaan pembayaran balik dari penumpang yang sangat tinggi, dan mereka sedang berusaha untuk mengendalikannya.
Oleh itu, syarikat penerbangan mungkin mengambil masa lebih lama daripada biasa untuk memberi maklum balas kepada pengguna. Cabaran kewangan yang dihadapi oleh syarikat penerbangan juga memerlukan mereka untuk menyediakan pelbagai bentuk pembayaran balik, termasuk wang tunai, baucar, pembayaran balik secara kredit dan penangguhan perjalanan.
Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia, yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya pada 2016 untuk melindungi kepentingan pengguna penerbangan, telah menggariskan bahawa syarikat penerbangan harus menyelesaikan aduan dan membuat bayaran balik kepada pengguna dalam tempoh 30 hari selepas menerima aduan tersebut. Memandangkan keadaan semasa yang mencabar serta untuk melancarkan operasi industri penerbangan, Suruhanjaya ini telah memberikan beberapa kelonggaran dari segi masa yang mereka perlukan untuk memberi maklum balas dan menyelesaikan permintaan bayaran balik buat sementara waktu.
Pada masa yang sama, untuk memastikan kepentingan pengguna tetap dilindungi, Suruhanjaya telah menetapkan bahawa syarikat penerbangan perlu menyelesaikan aduan dan permintaan bayaran balik dibuat dengan secepat dan sebaik mungkin. Suruhanjaya juga akan memantau prestasi syarikat penerbangan dalam usaha penyelesaian ini.
Di bawah MACPC, pengguna boleh menerima pampasan untuk pembatalan yang dibuat oleh syarikat penerbangan yang terbabit. Walau bagaimanapun, peraturan ini tidak terpakai jika pembatalan itu adalah di dalam ‘hal keadaan luar biasa’, iaitu sesuatu keadaan di luar kawalan syarikat penerbangan itu.
Langkah-langkah pembendungan wabak COVID-19 ini melibatkan syarat-syarat kuarantin dan larangan perjalanan, bukan sahaja di Malaysia, tetapi di negara-negara di seluruh dunia. Keadaan ini dianggap sebagai hal keadaan luar biasa di mana syarikat penerbangan harus mematuhi segala langkah-langkah keselamatan.yang disarankan.
MAVCOM telah menyediakan soalan-soalan lazim yang telah dimuatnaik di laman web FlySmart, di mana pengguna boleh merujuk kepada maklumat mengenai permintaan bayaran balik semasa tempoh COVID-19 ini. Sila rujuk https://flysmart.my/bm/soalan-lazim-covid/, atau hubungi kami di 1800 18 6966. Suruhanjaya juga menggalakkan pengguna untuk merujuk kepada laman web syarikat penerbangan masing-masing untuk memastikan terma-terma yang terpakai untuk permintaan pembayaran balik. Walaubagaimanapun, syarikat penerbangan boleh menggunakan budi bicara komersil masing-masing, sama ada untuk melonggarkan syarat-syarat tiket semasa pembelian bagi memanfaatkan pengguna.
Suruhanjaya amat bersimpati terhadap kemelut yang dihadapi oleh pengguna dan akan terus berusaha untuk memberi perlindungan kepada pengguna penerbangan di Malaysia. Kami juga berharap semua pihak yang berkepentingan terus bekerjasama dalam menangani isu yang julung kali terjadi ini, untuk kelangsungan dan manfaat jangka panjang industri penerbangan di Malaysia.